Niujie:Perkampungan Islam Beijing

Home » Niujie:Perkampungan Islam Beijing

Niujie(牛街) ialah sebuah perkampungan islam yang  terkenal di Beijing. 牛bermaksud lembu dan 街 ialah jalan. Jadi Niujie bermaksud jalan lembu.

Nama ini diambil besar kemungkinan kerana disekitar jalan ini terdapat banyak kedai yang menjual daging halal terutamanya daging lembu.

Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak restoran halal.

Halal food

Negara yang sering dikaitkan dengan ideologi komunis ini sebenarnya memiliki penduduk muslim yang sangat ramai melebihi jumlah penduduk Negara Malaysia.

Jika di Beijing, kawasan Niujie sahaja terdapat lebih kurang 13000 orang islam. Ini menjadikan Niujie sebagai kawasan berpenduduk Muslim terbesar di Beijing.

Muslim in China

Jika anda datang ke sini, anda akan dapat melihat ramai orang yang bertudung dan berkopiah.

Sedang anda berjalan-jalan disekitar kawasan ini jangan terkejut jika ada yang memberi salam pada anda. Lemparkan senyuman manis anda dan jawab salam mereka!

Pola taburan masyarakat islam di China terbahagi kepada dua. Ia bermaksud adanya provinsi atau kawasan tertentu yang menjadi tumpuan dan yang kedua ialah petempatan bercampur dengan orang Han iaitu bangsa majoriti disini.

Orang islam di China sering disebut 回族(Huízú)kaum Hui atau orang Hui kerana ia mewakili majoriti penduduk islam di China.

Selain orang Hui,orang islam di China juga terdiri daripada kaum Uygur,Kazak,Kirgiz,Uzbek,Tatar,Tajik,Dongxiang,Salad an Bao’an.

Di Beijing sendiri terdapat banyak masjid tetapi masjid dikawasan Niujie ini atau dikenali sebagai Masjid Niujie ini merupakan masjid utama di Beijing kerana ia merupakan masjid tertua.

Masjid Niujie

Masjid yang dibina pada tahun 996 ini telah merentasi enam zaman. Bermula dari Dinasti Liao, Dinasti Song, Dinasti Yuan, Dinasti Ming, Dinasti Qing hingga era China moden saat ini.

Masjid Niujie

Di China agama islam disebut 伊斯兰教(Yīsīlánjiào)dan terdapat banyak teori yang menceritakan cara kedatangan islam ke China.

Pengunjung bukan muslim yang ingin melawat masjid ini dibenarkan untuk melawat ke keseluruh kawasan masjid kecuali ruang solat utama.

Seni Bina Masjid Niujie

Kompleks masjid berkeluasan 6000 meter persegi ini memiliki gabungan seni bina China dan Arab. Jika dari luar seni binanya menunjukkan keindahan tipikal seni bina China tetapi dibahagian dalamnya banyak bercirikan islam.

Masjid Niujie

Ketika era pemerintahan dinasti Liao, kaum muslim tidak dibenarkan untuk mendirikan bangunan dengan gaya seni bina selain seni bina tradisional China tetapi pengecualian diberikan terhadap kaligrafi Arab.

Jadi kita dapat lihat kebanyakan masjid tua di Beijing mempunyai gaya arkitektur yang hampir sama dan ini secara tidak langsung dapat mengekalkan kebudayaan China itu sendiri.

Kompleks masjid Niujie ini atau dalam Bahasa Mandarin disebut 牛街清真寺(Niú jiē qīngzhēnsì)terdiri daripada ruang solat utama, ruang solat wanita,tempat wudhuk, ruang pameran,pejabat dan kedai menjual barangan muslim.

Sebaik anda melangkah masuk ke ruang solat anda akan dapat melihat tulisan kaligrafi yang sangat cantik terukir pada kayu-kayu yang menjadi penoggak gedung.Kaligrafi ayat-ayat Al-Quran dalam aksara Arab dan China,lukisan bunga serta hiasan kaca berwarna menghiasi ruang ibadah.

Masjid Niujie Beijing

Ruangan ini hanya dapat menampung jemaah seramai 1000 orang dalam satu masa, jadi sekiranya terdapat ramai orang yang ingin bersolat kain akan dibentang diluar ruang solat utama.Pada hari kebiasaan bilangan mereka yang datang untuk bersolat tidak ramai, bilangan akan bertambah apabila hari Jumaat untuk solat Jumaat.

Sementara ketika Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Korban masjid ini akan menjadi tumpuan utama masyarakat muslim di seluruh Beijing, ia bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat muslim China tetapi juga orang islam dari pelbagai negara yang tinggal di Beijing termasuk kami pelajar Malaysia.

Kenapa masjid Niujie menjadi pilihan?

Salah satu sebabnya ialah disini sambutan perayaan itu lebih meriah berbanding di masjid-masjid lain selain jika datang ke masjid Niujie sebelum pulang boleh singgah di pasaraya halal berhampiran untuk mencari makanan halal seperti ayam, roti, manisan dan sebagainya.

Muslim in China
Suasana ketika solat jumaat
Muslim in China
Saat ketika hari raya Kredit: Instagram:geodou
Masjid Niujie
Suasana ketika hari raya

Menjelang bulan Ramadhan, masjid Niujie ini juga menjadi tempat berkumpul masyarakat muslim di Beijing untuk berbuka puasa bersama-sama.

Menariknya suasana berbuka di masjid di China ini, ketika berbuka puasa anda akan dihidangkan dengan teh China yang panas selain buah tembikai yang menjadi hidangan wajib pada setiap hari.

Setelah usai solat, pekerja masjid akan menjemput anda untuk menjamu pelbagai hidangan yang tersedia. Sambil makan bolehlah anda bersembang bersama masyarakat islam disana.

Jika di Malaysia kita tidak boleh nafikan wujudnya rasa dimana islam itu milik orang melayu sehingga melahirkan rasa takut bagi kaum lain untuk memeluk islam, islam juga disalah ertikan dimana masuk islam bermaksud masuk melayu atau menjadi melayu. Hakikat tidak, islam bukan milik mana-mana kaum didunia.

Sebab itu kita digalakkan untuk mengembara untuk melihat kepelbagaian masyarakat islam, islam itu tidak terbatas pada sempadan negara, warna kulit mahupun kaum tertentu.

Melihat kepelbagaian ini akan membuat kita merasakan bahawa islam itu sangat indah dan sesungguhnya pertalian sesama akidah itu jauh lebih kuat berbanding pertalian darah.

Melihat senyuman pak cik- mak cik disitu sungguh dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga di tanah air.Jika ada kelapangan waktu, ada diantara kami yang akan datang beberapa jam awal sebelum berbuka untuk bersama-sama orang masjid menyediakan hidangan untuk berbuka.

Muslin in China
Kredit; Instagram:march_nz

”Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara,kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat’’ (Al-Hujurat:10).

Di kompleks Masjid Niujie ini juga terdapat ruang pameran atau mini muzium yang menyimpan barang-barang peninggalan para imam, termasuk Al-Quran, foto-foto aktiviti di masjid dan banyak lagi dan jika anda ingin mengetahui sejarah masjid ini dengan lebih mendalam lagi boleh singgah ke ruang pameran ini.

Jika anda tidak boleh berbahasa Mandarin jangan risau kerana penerangan yang terdapat di mini muzium ini terdiri daripada 3 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Arab.

Pelancong Malaysia sememangnya sudah dikenali disini, biasanya petugas masjid akan bertanya kita dari Malaysia atau Indonesia. Jadi bawalah imej positif itu kerana kemana sahaja kita pergi kita membawa bersama imej negara kita.

Hari raya di China
Pelajar Malaysia menyambut hari raya di Masjid Niujie

Bagi mereka yang ingin melancong ke Beijing, masjid Niujie adalah destinasi wajib untuk dikunjungi dan jika anda tidak tahu untuk mencari makanan halal, datang sahaja ke Niujie!

Disini juga terdapat sebuah pasaraya halal yang menjual pelbagai jenis makanan. Bagi saya sendiri, setiap kali pergi ke Niujie pasti akan singgah ke pasaraya ini untuk membeli kek dan roti halal.

Pasaraya halal Niujie
Pasaraya halal di Niujie

Tips: Anda boleh menaiki subway untuk sampai ke sini, berhenti di stesen 广安门内(Guǎng’ānmén),keluar pintu B dan jalan lebih kurang 800m .

Jangan lepaskan peluang untuk mengenali masyarakat islam di China, luaskan mata kita untuk melihat keindahan islam di serata dunia!

Scroll to Top