Kenangan Ramadhan (Bahagian 2): Saksi Setia

Home » Kenangan Ramadhan (Bahagian 2): Saksi Setia

Kenangan Ramadhan (Bahagian 1) di sini

Lokasi Masjid Madian

Madian (马甸:mǎ diàn) terletak di daerah Haidian.

Ia adalah kawasan yang ramai penduduk Muslim kaum Hui menetap semasa Dinasti Ming.

Pernah direkodkan bahawa bilangan penduduk Muslim Kaum Hui hampir sama dengan bilangan penduduk Muslim Kaum Hui yg menetap di Niujie (Niujie terletak di daerah Xuanwu, kawasan bilangan Muslim paling ramai di Beijing).

MASJID MADIAN: TINGGALAN DINASTI QING

Disebabkan bilangan Muslim yg ramai, sebuah masjid telah dibina di Madian semasa Dinasti Qing, iaitu semasa pemerintahan Maharaja Kang Xi (1661-1772).

Semasa Revolusi Budaya (1966-1976), masjid Madian pernah ditutup untuk aktiviti keagamaan. Sejak zaman Dinasti Qing sehingga tahun 1945, masjid Madian menjadi pusat melatih imam.

Para jemaah sedang solat berjemaah

Pada zaman dahulu, kawasan Madian merupakan pusat perdagangan daging kambing dan lembu halal. Cukai jual-beli daging halal, zakat daripada umat Islam tempatan serta wang sewa tanah menjadi sumber pendapatan bagi masjid tersebut. (Sumber lain : wikipedia)

SENI BINA MASJID MADIAN

Masjid Madian dibangunkan dengan seni bina cina lama iaitu Siheyuan, menjadikan masjid ini seperti masjid-masjid lain di Beijing yang tetap mengekalkan budaya dalam binaan masjid.

Ia secara tidak langsung menyampaikan mesej betapa agama Islam begitu berharmoni dengan budaya masyarakat setempat.

Ini tidak hanya dapat dilihat dari Siheyuan, tetapi juga dengan seni bina bumbung yang melengkung di hujung dan ukiran naga di hujung.

Naga di dalam masyarakat Cina mempunyai makna yang tersendiri. Bagi mereka, naga adalah simbol kepada maharaja. Adanya simbol ini ia membawa maksud bahawa pembinaan masjid ini diiktiraf boleh maharaja.

Ruang solat wanita

Terdapat juga bekas besar yang juga diukir dengan ukiran naga dan juga bekas yang terdapat tulisan khat Arab yang bertulis “Assalamualaikum”. Bekas ini berfungsi sebagai bekas yang akan menakung air hujan yang turun. Ia juga penting untuk memadam api sekiranya berlaku kebakaran.

BERTEMU ZHANG AYI

Di sini, saya bertemu dengan seorang wanita bernama Zhang Yu Ling atau lebih mesra dipanggil dengan Zhang Ayi. Ketika pertama kali berkunjung ke masjid ini, tujuan utama saya pada waktu itu adalah untuk bertemu dengan Zhang Ayi.

Tapi sayang, Zhang Ayi tidak ada di masjid ketika itu. Maka, kesempatan berada di masjid Madian pada ketika itu saya manfaatkan dengan mengikuti kelas mengaji.

Ustaz yang mengajar begitu fasih berbahasa Arab dan para pelajar kebanyakkan adalah warga emas dan kanak-kanak.

Kami tersenyum tatkala melihat Muqaddam yang mereka gunakan adalah sama dengan Muqaddam yang digunakan oleh orang Malaysia.

Kesempatan Ramadhan kali ini saya gunakan sekali lagi untuk mengunjungi Masjid Madian dengan harapan kali ini saya dapat bertemu dengan Zhang Ayi.

Alhamdulillah, pertemuan dengan Zhang Ayi kali ini menyempatkan kami berbicara tentang banyak hal, terutamanya mengenai pembinaan masjid di Beijing dan sejarah Islam di China.

Mak Cik Zhang (Zhang Ayi) tidak jemu menuntut ilmu dan berkongsi bersama kami

SAKSI SETIA

Zhang Ayi turut berkongsi tentang kewujudan pohon di kawasan masjid yang telah berusia ratusan tahun.

Kebanyakkannya ditanam semasa pembinaan masjid dijalankan. Pokok yang sudah berusia ratusan tahun ini dipanggil dengan panggilan Gu Shu (古树 gǔshù) yang bermaksud pokok kuno (Ancient tree). Jika dikaji usia pokok ini, kita boleh mengetahui usia masjid tersebut.

Pokok tua di perkarangan masjid ini adalah saksi kepada perkembangan Islam di Madian juga melindungi masjid ini daripada hujan dan angin kuat sejak ratusan tahun yg lalu.

Ratusan tahun telah berlalu. Ramai dalam kalangan penduduk Muslim kaum Hui telah berpindah kerana kawasan sekitar masjid telah dimajukan dengan pembangunan bandar yang serba moden.

Namun, pada masa yang sama saya merasakan bahawa di sinilah letaknya keistimewaan kota Beijing——Kota lama yang sedang membangun. Ia pesat namun masih berhati-hati dalam menjaga ciri dan identiti bangsa Cina.

Pohon tua di lapangan masjid ini adalah saksi perubahan dan pembangunan kota dan masyarakat di sini, juga menjadi saksi setia semua jenis peristiwa dari Dinasti Qing sehingga hari ini.

Scroll to Top