Kenangan Ramadhan (Bahagian 1) : Impian

Menjelang Hari ke-6 menyambut Syawal, umat Islam di serata dunia rata-ratanya sedang berada dalam mood kemenangan. Meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan yang hanya mendatangi orang-orang yang terpilih. Mengapa saya katakan begitu? Kerana ada orang yang begitu ingin memasuki bulan Ramadhan tetapi ajalnya sudah sampai dan pergilah dia menghadap Tuhan yang menciptakan dia.

Bercerita tentang pengalaman peribadi, Ramadhan setiap tahun membuka selakan kenangan terhadap pemergian orang yang saya sayangi. Saya memanggil orang itu dengan panggilan “Abah”. Abah pergi menemui Tuhan ketika hari pertama Ramadhan, 14 tahun yang lalu. Ketika itu, masih jelas di pandangan saya akan kelibat abah yang melambaikan tangan setelah saya mencium tangannya yang sedikit berkedut sebelum menghidupkan enjin motor dan bertolak meninggalkan rumah kecil kami.

Saya percaya, Ramadhan bagi setiap orang mempunyai makna dan kenangan yang tersendiri. Pemergian Abah di bulan Ramadhan tidak saya rasai ketika itu kerana umur saya yang ketika itu baru berusia 8 tahun membuatkan saya masih bingung bagaimana seharusnya menyingkapi pemergian Abah.

topi kaum Uygur

Begitulah Ramadhan setiap tahun yang datang membawa kenangan tentang pemergian Abah. Sehinggalah dua tahun lalu, saya terbaca sebuah artikel yang menulis bahawa kita tidak sepatutnya menangisi mereka yang meninggalkan kita demi menemui Tuhan kerana memang perjalanan kehidupan setiap manusia akan melalui perjalanan yang sebegitu.

Kita harus menangisi mereka yang masih hidup tetapi hatinya sudah mati dari mengingati Tuhan dan terperangkap dalam penjara dunia. Benar, baris kata yang menyedarkan saya bahawa Ramadhan hadir bagi menghidupkan hati-hati yang sudah layu, membebaskan mereka yang sudah sekian lama terperangkap dengan nafsu dan sistem manusia yang mencengkam dan mengajarkan kita tentang sebuah kata kebaikan yang boleh dilakukan oleh semua orang.

Kedatangan Ramadhan tidak hanya bagi menjauhi manusia dari makan dan minum tetapi juga mengajak kita menghayati betapa luas rahmat Tuhan yang dilimpahkan kepada kita. Bulan Ramadhan adalah bulan yang dilingkupi dengan udara kesucian.

Muslim di seluruh dunia berlumba-lumba melakukan kebaikan dengan menyediakan juadah berbuka bagi orang yang berpuasa, membantu kewangan masjid yang digunakan bagi pembangunan masjid, sumbangan kepada orang yang memerlukan dan penyediaan makanan iftar, dan tidak terkecuali mereka yang begitu baik melayani tetamu masjid dengan layanan yang amat istimewa.

Misi Ramadhan Kali Ini

Ramadhan kali ini saya memutuskan untuk pergi sedikit jauh dari kawasan saya menetap. Saya dan seorang rakan saya bersetuju untuk melakukan kembara masjid di sekitar Beijing. Beijing mempunyai lebih 70 buah masjid, sudah pasti kembara kali ini tidak memungkinkan saya menghabiskan lawatan ke semua masjid ini.

Setiap masjid yang saya kunjungi memberikan saya perasaan yang berbeza-beza, yang sudah pastinya sangat istimewa buat saya.

Masjid pertama yang saya kunjungi ialah Masjid Niujie. Masjid Niujie adalah masjid tertua di China. Iftar dan terawih di masjid ini agak meriah lantaran ramainya Muslim yang hadir ke masjid ini bagi membuka puasa dan menunaikan solat terawih. Masjid Niujie terletak di daerah Xuanwu, dan di sekitar masjid ini adalah perkampungan Muslim kaum Hui. Jadi, tidak hairanlah mengapa setiap kali perayaan Aidil Fitri, Aidil Adha atau solat terawih, ramai Muslim yang mengunjungi masjid ini.

Memerhati suasana sambutan Ramadhan di sini, fikiran saya terbawa kepada beberapa kisah rakan saya tentang ketidakrelaan mereka datang ke Beijing. Kisah mereka berbeza dengan kisah saya.

Saya memilih Beijing dengan rela hati, meski tidak tahu apa yang Beijing akan tawarkan pada saya dalam masa tempoh 5 tahun menuntut di sini.

5 tahun di sini, saya fikir, sepatutnya bukan menunggu dan mengharap apa yang di China akan tawarkan. Tapi mencari. Kerana hasil sesuatu sebuah pencarian itu terasa lebih berharga dari apa yang datang kepada kita dengan senang.

 sepatutnya bukan menunggu dan mengharap apa yang di China akan tawarkan. Tapi mencari.

Antaranya ialah agama. Beberapa pesanan ringkas saya hantar kepada rakan saya.
“Saya mahu mengenal semula agama ini. Mula dari zero.”

Hari ini, menjejakkan kaki ke Masjid Niujie adalah saranan dari salah seorang penggerak Buku Jalanan Titi, yang seperti biasa banyak memberi idea-idea yang gesaan memanfaatkan masa-masa dan kesempatan di Beijing.

Sebelum memulakan solat, Imam berkongsi tentang Hadis pertama dalam Kitab Hadis 40, karangan Imam Nawawi. Hadis yang berkisar tentang niat.

Banyak yang boleh dikenang dan direnung dari hadis ini. Dari niat memohon untuk datang ke China dahulu, niat belajar Bahasa Mandarin, niat menjalani bulan Ramadhan kali ini dan niat menjalani hidup sebagai Muslim.

Masjid Niujie
Kredit: Instagram:march_nz

Saya pernah mendengar beberapa kisah tentang penyesalan datang ke China, belajar kursus yang mereka tidak minat dan sebagainya. Saya hormati kisah mereka kerana kisah saya tidak sama dengan kisah mereka. Hari ini, saya menemui satu lagi sebab mengapa saya perlu mensyukuri peluang dan kesempatan berada di sini.

Salah satunya ialah agama. Maha Suci Tuhan, Dia memberi kepada sesiapa yang Dia kehendaki dengan cara yang Maha Bijaksana. Tidak ada penyesalan datang ke sini bagi saya, kerana di sini saya menemui begitu banyak perkara. Menemui dan mengenali ramai orang. Tenggelam bersama kisah mereka membuatkan saya banyak belajar. Hari ini, saya mendengar satu kisah betapa besar kesedihan yang dirasai oleh seorang rakan saya ketika dia mula-mula tiba di sini. Namun, hari ini ketika saya melihat dia, saya mengagumi seni Allah Yang Maha Bijaksana dalam mengatur hidup manusia.

Ramadhan kali ini, impian saya tidak besar. Hanya ingin kembali memahami agama ini.

About The Author

Scroll to Top