Kejadian Empat Musim Di China
Musim di China mempunyai empat musim yang berbeza iaitu musim panas, musim bunga, musim luruh dan musim sejuk. China merupakan sebuah Negara yang sangat besar. Pastinya cuaca dan suhu di setiap kawasan berbeza mengikut iklim kawasan di China.
Iklim di China tidak sama mengikut kawasannya. Kawasan utara seperti Beijing, Inner Mongolia mempunyai iklim musim sejuk Artik. Manakala kawasan tengah China seperti Shanghai mempunyai iklim sederhana. Zon selatan pula seperti Guangzhou mempunyai iklim lebih panas kerana kawasannya yang berada berdekatan dengan garisan khatulistiwa.
Bagaimana Kejadian Empat Musim Di China Boleh Berlaku
Bentuk bumi adalah sfera dan mempunyai dua kutub iaitu kutub utara dan kutub selatan. Bulatan bayangan di permukaan bumi yang membahagikan hemisfera utara dan hemisfera selatan dipanggil garisan Khatulistiwa. Paksi bumi pula adalah satu garisan bayangan merentas bumi dari kutub Utara ke kutub selatan.
Bumi berputar di atas paksinya mengikut arah lawan jam. Bumi berputar dari arah barat ke timur. Putaran bumi akan menyebabkan berlakunya kejadian siang dan malam. Putaran bumi di atas paksinya juga mengakibatkan hanya sebahagian bumi yang menerima cahaya matahari dan sebahagian lagi menjadi gelap pada waktu-waktu tertentu.
Sebagai contoh, kita menonton perlawanan bola sepak di antara Manchester United menentang Liverpool secara langsung di rumah. Ketika perlawanan berlangsung, mereka bermain ketika waktu petang. Akan tetapi, kita menonton perlawanan secara langsung di Malaysia pada waktu malam.
Peredaran Bumi Dan Kecondongan Paksi
Peredaran Bumi dan juga kecondongan paksi mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan kejadian 4 musim di China. Semasa bumi berputar di atas paksinya, bumi juga beredar mengelilingi matahari mengikut arah lawan jam dalam orbit bujur. Disebabkan orbit bumi berbentuk bujur, bumi tidak sentiasa berada pada jarak yang sama dari matahari. Satu edaran bumi mengelilingi matahari mengambil masa selama 365 hari.
Peredaran bumi dan kecondongan paksinya mengakibatkan berlakunya perubahan ketinggian matahari tengah hari di langit. Jika anda seorang yang suka memerhatikan langit, pasti anda akan perasan perubahan saiz matahari dan bulan tidak sama mengikut bulan-bulan tertentu.
Ekuinoks Musim Bunga Dan Musim Luruh
Pada 21 Mac matahari akan berada tegak di atas kepala di Garisan Khatulistiwa pada waktu tengah hari. Fenomena ini dinamakan sebagai Ekuinoks musim bunga di Hemisfera Utara.
Solstis Musim Panas Di Hemisfera Utara
Pada 21 Jun matahari berada di garisan sartan pada waktu tengah hari. Jadi, kawasan-kawasan yang berada di garisan sartan di sebelah hemisfera utara akan berada dalam musim panas. Manakala kawasan yang berada di garisan jadi pula akan mengalami musim sejuk. Kawasan di utara Garisan Artik mengalami 24 jam siang, manakala kawasan di Selatan Garisan Antartik mengalami 24 jam malam.
Musim panas di China bermula pada awal Jun sehingga pertengahan September. Cuacanya hampir sama dengan Malaysia, namun siangnya lebih panjang daripada malam. Fenomena ini dikenali sebagai Solstis musim panas di Hemisfera Utara.
Pada 23 September matahari sekali lagi berada tegak di atas kepala di Garisan khatulistiwa pada waktu tengah hari. Fenomena ini dikenali sebagai Ekuinoks musim luruh di hemsifera Utara.
Solstis Musim Sejuk Di Hemisfera Utara
Pada 22 Disember, matahari akan berada tegak di atas kepala di Garisan Jadi pada waktu tengah hari. Maka akan berlaku Soltis musim sejuk di Hemisfera Utara. Pada masa yang sama juga akan berlaku musim panas di hemisfera Selatan. Apabila musim sejuk berlaku di China, waktu siangnya lebih pendek dan waktu malamnya lebih panjang.
Apakah Maksud Ekuinoks Dan Solstis?
Ekuinoks bermaksud seluruh permukaan bumi menerima waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam sehari. Pada waku ini, matahari berada di garisan khatulistiwa. Bila fenomena ini berlaku? Ya tepat sekali, 21 Mac ekuinoks musim bunga dan 23 September ekuinoks musim luruh.
Solstis pula bermaksud penerimaan waktu siang dan malam yang tidak sama panjang di permukaan bumi. Fenomena ini berlaku pada 21 Jun solstis musim panas dan 22 Disember solstis musim sejuk.
Semasa solstis musim panas, matahari tengah hari berada tegak di atas garisan sartan di hemisfera utara. Keadaan ini menyebabkan hemisfera utara mengalami waktu siang yang lebih panjang iaitu 16 jam berbanding waktu malam yang lebih singkat.
Di sebabkan fenomena ini masyarakat muslim di China berpuasa selama 16 jam pada musim panas. Akan tetapi sebaliknya bagi hemisfera selatan yang mengalami waktu malam yang lebih panjang berbanding waktu siang.
Ketika solstis musim sejuk pula, matahari tengah hari berada tegak di atas Garisan Jadi di hemisfera selatan. Keadaan ini menyebabkan hemisfera selatan mengalami waktu siang yang lebih panjang iaitu selama 16 jam berbanding waktu malam. Sebaliknya yang berlaku di hemisfera utara, malamnya lebih panjang berbanding waktu siang.
Apabila kita memahami tentang peredaran bumi mengelilingi matahari serta kecondongan paksinya, kita akan mudah memahami tentang perubahan 4 musim. Negara-negara yang mengalami kejadian 4 musim yang nyata ialah Negara-negara Eropah, Kanada, China, Jepun dan banyak lagi.
Musim Bunga Paling Dinantikan Oleh Ramai Orang
春天chūn tiān atau musim bunga adalah musim yang sangat dinantikan oleh ramai orang. Musim bunga di Beijing berlaku sangat pendek iaitu pada awal April sehingga penghujung Mei.
Pada waktu siang, suhu persekitaran sederhana panas, tetapi berangin dan kering. Akan tetapi menjelang waktu malam, suhunya menurun sedikit tetapi tidaklah terlalu sejuk. Suhu sebegini sangat sesuai dan selesa jika anda ingin berjalan-jalan ketika musim bunga.
Bila waktu yang sesuai untuk travel di China? Anda boleh baca artikel di sini.
Pada musim ini banyak bunga-bunga yang mula berkembang mekar di tepi-tepi jalan. Antara bunga yang dihiasi di tepi jalan termasuklah bunga mawar, bunga tulip dan banyak lagi.
Anda juga boleh pergi ke taman-taman bunga yang terdapat di sekitar Beijing untuk melihat pelbagai jenis bunga. Jika anda berkesempatan anda boleh ke taman 玉渊潭公园 (yuyuantan) yang terdapat di Bandar Beijing.
Kredit foto : Muhaimin pelajar di Beijing language and Culture University yang menghayati musim di China dengan mendalam