Melancong ke China, salah satu destinasi yang kaya dengan budaya, sejarah dan tamadun.
Budaya 5000 tahun
China, mempunyai sejarah lebih daripada 5000 tahun juga memiliki peradaban yang sangat tinggi.
Jika kita melihat pelancong yang datang ke Malaysia, kita dapat bezakan mana satu pelancong yang menghormati budaya tempatan dan mana satu tidak.
Selain daripada menghormati, memahami budaya tempatan juga sangat penting sebagai seorang pelancong.
Dalam memahami budaya tempatan, amatlah penting bagi kita membuat kajian awal mengenai budaya negara yang kita akan lawati.
China, negara yang sangat ramai orangnya, kerenahnya juga pelbagai, namun budaya mereka wajib kita fahami dan hormati jika mahu ke sana.
Lokasi yang berbeza, anda akan jumpa cara hidup yang berbeza. Jika anda ke bahagian utara China seperti Beijing, orang di sana kebanyakannya sangat suka makan daging kambing manakala di selatan China seperti Shanghai, kebanyakannya suka makan makanan laut.
Bergantung kepada lokasi dan musim.
Ketika melancong ke China, pastikan anda tahu apakah pantang larang mereka. Ini adalah untuk mengelakkan daripada anda menyinggung perasaan orang tempatan. Semestinya adalah untuk pastikan perjalanan anda baik-baik sahaja.
Kami senaraikan 5 perkara yang anda wajib elakkan atau buat jika anda melancong ke China.
Tepati Masa
Sama seperti orang Jepun, orang China juga sangat menepati masa mereka. Elakkan sesekali daripada lambat jika anda berjanji dengan orang China. Jika berjanji untuk berjumpa pada pukul 8 pagi, pastikan 7:50 pagi anda sudah terpacak di sana. Jika anda menepati janji, maka anda akan disukai oleh orang China.
Jadi, elakkan “Janji Melayu” yang tidak ditepati tapi buatlah “Janji Melayu yang ditepati.
Jangan pacak chopstick
Semasa makan nasi, jika menggunakan chopstick, jangan sesekali pacak chopstick anda ke atas. Sebaiknya letakkan chosptick di atas mangkuk seperti dalam gambar.
Kenapa? Menurut orang cina, pacakkan chopstick di atas nasi bermaksud nasib malang. Dan anda pasti tidak mahu membuatkan mereka rasa tidak selesa kan? Jadi, jangan pacakkan chopstick atas nasi anda.
Jaga air muka
Dalam bahasa Mandarin ada istilah yang disebut “丢脸” yang bermaksud hilang air muka. Jaga air muka orang cina adalah dengan mengelakkan daripada memarahi mereka di khalayak ramai. Atau bergaduh di khalayakan ramai.
Jika pertengkaran semakin teruk, ia akan berakhir dengan pergaduhan kerana masing-masing tidak mahu hilang air muka.
Dan jika anda makan di restoran bersama kawan-kawan, berebut untuk bayar adalah perkara biasa (sama macam di Malaysia). Jika anda mahu “bagi muka” kepada kawan anda, anda buat-buat berebut nak bayar kemudian biar dia bayarkan.
Pun begitu, dalam kalangan generasi muda di sana sangat terkenal dengan Polisi AA. Polisi AA bermaksud, sendiri bayar makanan sendiri.
Makan banyak-banyak
Di China, jika anda bertandang ke rumah kawan atau dijemput kawan ke restoran untuk makan, pastikan anda melantak! Jangan segan, jangan malu.
Tunjukkan bahawa anda sangat suka dengan makanan yang dihidangkan. Ini akan menggembirakan rakan anda sebagai tuan rumah.
Dan ingat, pastikan anda habiskan makanan anda. Jangan sesekali tinggalkan baki makanan kerana ia dianggap anda tidak suka makanan itu atau makanna itu tidak sedap.
Bertegur sapa
“你吃了吗” (nǐ chīle ma) bermaksud awak sudah makan? biasanya digunakan dalam situasi untuk bertegur sapa. Bukan sekadar menggunakan “你好” (nǐ hǎo). Jika anda diajukan soalan yang sama, sebenarnya ia merupakan salah satu cara mereka bertegur sapa.
Rasanya sama macam di Malaysia juga kan? Kita apabila terserempak dengan kawan, kita akan tanya, “dah makan belum?”. Selain daripada itu, mereka juga suka menggunakan “你忙吗?” (nǐ máng ma) yang bermaksud “Awak sibuk ke?”
Melancong Ke China dengan selesa
Semasa anda ke China, jaga air muka anda dan jaga air muka orang tempatan.
Di sana mungkin anda akan tengok mereka bergaduh, berebut, meludah merata-rata, malah ada yang kencing di tepi jalan.
Cuma pastikan yang buat semua itu bukanlah anda.
Jadilah pelancong yang bagus dan jadikan perjalanan anda menyeronokkan dan mengujakan.
Jika anda mahu melancong ke Beijing, kami senaraikan tempat-tempat ini untuk anda. Klik Di Sini untuk baca.