Islam Di Yunnan menjadi saksi kepada agama yang sangat hebat ini berada di mana-mana sahaja.
Negara yang terkenal dengan ideologi komunis ini memiliki masyarakat islam yang sangat ramai malahan ia melebihi jumlah penduduk negara Malaysia.
Islam Di Yunnan
Mungkin sebelum ini kita sering membaca berita tentang masyarakat muslim di Xinjiang,China tetapi hakikatnya muslim di China tidak hanya tertumpu di Wilayah Xinjiang sahaja.
Antara bandar yang memiliki taburan masyarakat muslim yang ramai ialah di Lanzhou, Ningxia dan Yunnan.
Selain itu, terdapat juga taburan masyarakat islam bersama dengan orang Han iaitu bangsa majoriti di China.
Contohnya di Beijing, muslim di Beijing tidak seramai bandar-bandar yang dinyatakan di atas tetapi mereka mempunyai satu kawasan yang mempunyai ramai orang islam iaitu Niujie.
Boleh rujuk post ini untuk baca tentang muslim di Beijing.
Masyarakat Muslim Yunnan
Yunnan ialah sebuah provinsi di bahagian selatan China. Sebelum ini kami telah berkongsi kepada anda tentang keunikan bumi Yunnan dari segi kepelbagaian etniknya dan juga keindahan landskapnya, pada kali ini saya akan membawa anda semua untuk melihat realiti dan masa depan masyarakat muslim di Yunnan.
Berpeluang ke Yunnan sebanyak dua kali, ternyata bumi Yunnan ini sangat istimewa. Pertama kali melangkah kaki ke Yunnan saya tidak menjangkakan yang Yunnan mempunyai bilangan orang islam yang ramai.
Untuk pengetahuan semua, populasi masyarakat islam disini dianggarkan lebih 300000 orang dan disebuah daerah di Yunnan iaitu Zhaotong sahaja terdapat lebih kurang 180000 orang. Selain di Zhaotong,terdapat ramai lagi muslim di daerah lain. Sampai sahaja di lapangan terbang Kunming iaitu ibu kota Yunnan, saya berjumpa dengan sangat ramai wanita yang manis bertudung dan lelaki yang kacak berkopiah. Perasaannya seperti pulang ke kampung halaman!
Realiti Muslim di Yunnan
Lawatan saya pertama kali ke Yunnan telah menemukan saya dengan masyarakat muslim di sana yang terdiri daripada guru sekolah, imam masjid, aktivis sukarelawan, pelajar, pengasas madrasah dan ramai lagi.
Setiap dari mereka memainkan peranan masing-masing bagi mengembangkan lagi islam di Yunnan.Ketika di Yunnan saya dan beberapa orang rakan yang lain pergi ke beberapa sekolah atau madrasah untuk melihat sendiri secara dekat kehidupan orang islam disina.
Harga Sebuah Pendidikan Bagi Kanak-Kanak
Kami melawat sebuah sekolah disebuah perkampungan yang jauh dari bandar.
Perjalanan yang memakan masa hampir satu jam dari pusat bandar ini ternyata sungguh mencabar, ia terletak dikawasan pergunungan, tiada jalan tar untuk kesana, hanya ada jalan-jalan berbatu dan bertanah merah ,laluan jalan yang sempit dan apabila berselisih dengan kereta lain, berdebar jugalah kerana disebelah kanan dan kiri semuanya lereng bukit yang curam.
Sekolah ini terletak di sempadan daerah Guizhou. Jika anda sampai ke sini pasti akan terlintas satu soalan iaitu kenapa keadaan disini sangat mundur? Pihak kerajaan China seolah-olah tidak melakukan sebarang pembangunan disini.
Kawasan bukit bukau ini dipenuhi dengan pelbagai tanaman seperti sayur-sayuran, jagung dan macam-macam lagi. Selain itu, tembakau menjadi tanaman utama disini. Disepanjang jalan anda dapat lihat begitu banyak tanaman tembakau.
Guru di sekolah yang kami lawati menceritakan keadaan mereka disana dimana kerajaan tidak mahu membiayai kos untuk memperbaikan jalan ataupun untuk membangunkan tempat tersebut kerana puncanya ramai yang secara persendirian mengusahakan tanaman sendiri terutamanya tanaman tembakau.
Jadi, pihak kerajaan menganggap mereka mempunyai dana sendiri untuk membangunkan kesemua prasarana disana. Tidak tahu ianya hanya sekadar alasan atau apa.
Dikawasan ini terdapat ramai orang islam tetapi bilangan sekolah sangat sedikit, sekolah yang ada juga adalah milik persendirian. Ketika lawatan kami ke salah sebuah sekolah disana iaitu Fatah Pre-School, keadaan sekolah itu berada dalam keadaan lebih baik dari sebelum ini, sebelum ini terlebih dahulu ada beberapa pelajar Malaysia di Beijing yang juga turut datang kesini meyalurkan bantuan dari segi kewangan dan menambahbaik prasarana di sekolah tersebut.
Pelajar Malaysia di Beijing juga setiap bulan ada membuat kutipan wang bagi membiayai gaji-gaji guru disini. Ketika kesana kami juga meyerahkan sedikit sumbangan bagi menambahbaik lagi keadaan sekolah serta menginfaq beberapa beg pakaian untuk diberikan kepada masyarakat islam disana.
Beberapa bulan setelah kepulangan kami, air mata menitis kerana melihat gambar yang dihantar oleh mereka apabila melihat senyuman mereka ketika menerima sumbangan dari kami hasil sumbangan daripada pelajar-pelajar Malaysia yang lain.
Jika anda lihat keadaan anak-anak disini sangat kasihan, kecil-kecil lagi sudah bekerja diladang bersama adik-beradik yang lain. Dengan memakai pakaian yang lusuh,tangan yang kotor dengan tanah dan hanya berkaki ayam. Jauh bezanya jika ingin kita tandingkan dengan adik-adik kita yang seronok dengan kelengkapan baru ke sekolah.
Bukan itu sahaja, kami juga sempat melawat satu lagi sekolah yang sedang dibina bagi menampung pertambahan bilangan pelajar, ketika lawatan kami sekolah tersebut telah siap sebanyak 50 peratus dan bagi mempercepatkan lagi proses pembinaan, kami turut mengagihkan sedikit wang sumbangan untuk sekolah ini.
Namun, betapa sedihnya kami apabila beberapa bulan selepas itu mendapat berita bahawa pembinaan sekolah tersebut terpaksa dihentikan kerana tidak mendapat kebenaran dari pihak sekolah. Jika sekolah ini tidak terus dibina maka ramailah anak-anak yang tidak berpeluang belajar.
Inilah realiti sebenar yang dihadapi oleh masyarakat muslim disana. Berada dan tinggal di negara islam seperti Malaysia terkadang membuat pandangan mata dan fikiran kita hanya tertumpu kepada satu skop yang kecil sahaja. Sebab itu dalam islam sendiri mengapa kita digalakkan untuk banyak berjalan, bagi lebih mengenali dunia ini dan akhirnya merasakan bebanan dan masalah yang kita hadapi terlalu kecil.
Hargailah peluang pendidikan yang kita peroleh, kerana mereka yang tidak memilikinya lebih menghargai mahalnya erti sebuah pendidikan.
Pendidikan Agama Dilarang
Ketika lawatan disebuah sekolah menengah, sempat bersembang dan bertukar idea serta pendapat dengan beberapa pelajar. Menurut penceritaan mereka, disekolah pendikan agama tidak dibenarkan.Pelajar hanya boleh belajar agama setelah tamatnya sekolah menengah.
Oleh sebab itu,kebanyakan mereka terpaksa mengambil kelas agama ketika cuti musim panas ataupun musim sejuk selama dua bulan kerana itu sahaja pilihan yang ada.
Sinar Islam di Bumi Yunnan
Perjalanan kami telah menemukan kami dengan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang.Kesemuanya punya cerita dan impian masing-masing terhadap islam di China terutamanya di Yunnan sendiri.
Masih adakah sinar harapan buat islam di China? Jawapannya ialah Ya. Saya bertemu dengan sangat ramai golongan muda yang bersemangat mengembangkan islam disini.
Wanita Dan Pendidikan
Seorang pelajar berkongsi dengan kami hakikat dimana ibu bapa merasakan anak perempuan tidak perlu mempunyai pendidikan yang tinggi kerana akhirnya mereka semua akan berkahwin dan mengikut suami. Pelajar ini juga turut melahirkan kekecewaan apabila bilangan pelajar perempuan disekolahnya juga semakin berkurang dari tahun ke tahun.
”Perempuan juga harus belajar”, antara seruan yang mahu beliau sampaikan pada semua wanita.Terangnya lagi jika kita mendidik seorang lelaki maka akan terdidiklah seorang lelaki, jika kita mendidik seorang wanita maka kita akan mendidik sebuah masyarakat mahupun ummah, jadi seorang wanita itu harus belajar dan mendapatkan pendidikan.
Besar hasratnya untuk melihat semua wanita terutamanya wanita muslim di Yunnan memperjuangkan hak pendidikan mereka.
Perspektif Negatif Terhadap Islam dan Fesyen Wanita
Tahu apa ketakutan golongan wanita terhadap islam? Soal seorang aktivis yang juga bekas pelajar di salah sebuah madrasah di Yunnan.
Kebanyakan remaja perempuan berasa takut apabila mereka bertudung kerana akan kelihatan hodoh dan tidak akan ada sesiapa yang suka pada mereka. Ketakutan ataupun delima ini dihadapi oleh kebanyakan dari mereka. Hal ini tidak boleh dinafikan sebenarnya atas faktor kurangnya berkembang industri fesyen muslimah di China.
Majie, bekas pelajar disitu memasang impian untuk membawa industri fesyen muslimah di China pada satu tahap yang lain seperti di Malaysia dan Indonesia. Pada beliau, islam itu indah,islam itu cintakan kecantikan, islam itu cintakan kebersihan, perspektif yang mengatakan bertudung itu hodoh harus dibuang dalam minda remaja-remaja perempuan.
”Saya memikul tanggungjawab ini’’ katanya menceritakan semua impiannya. Besar hasratnya ingin memastikan semua muslimah di China mempunyai keyakinan untuk tampil kehadapan membawa imej islam yang sebenar.
Semangat pemuda beginilah yang dunia perlukan tidak kira dalam aspek apa pun. Saya yakin semangat-semangat pemuda seperti inilah yang akan mengangkat martabat islam di China suatu hari nanti.
Malaysia Sebagai Model Kerajaan Islam
Kebanyakan orang islam di China sering menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh terutamanya dari segi pengajian islam dan suasana kehidupan muslim. Jangan tidak tahu ramai juga yang menghantar anak-anak mereka ke Malaysia untuk sambung belajar di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) dan di sekolah-sekolah pondok di Malaysia.
Selaku role model negara islam, Malaysia dilihat sebagai tempat terbaik untuk mempraktikkan islam kerana tiada halangan dari mana-mana pihak, masjid dimana-mana, pengajian islam boleh dijalankan di sekolah dan masyarakat berbilang kaum juga hidup harmoni.
Sejujurnya, apabila mendapat pujian sebegitu dari muslim-muslim di China, masih banyak yang harus kita rakyat Malaysia riflekskan. Semoga kita sentiasa mempamerkan contoh yang baik supaya ia tidak menjadi fitnah buat agama itu sendiri.
Dakwah Islam Subur Di Yunnan
Sekarang ini kita dapat lihat diserata dunia, Islam itu bukanlah lagi sesuatu yang asing. Sedang kita dan yang lain bergerak menyebarkan dakwah islam, muslim di China juga sedang sama bergerak. Begitu juga dengan Islam di Yunnan. Disebalik kekangan-kekangan yang dihadapi, mereka terus bersemangat,tiada apa yang dapat menghalang mereka dari memastikan semua orang mendapat rahmah islam itu.
Setelah ke Yunnan sebanyak dua kali, saya sangat terkesan dengan kehidupan penduduk muslim disini. Doakan saudara muslim kita walau dimana sahaja mereka berada kerana kita semua adalah saudara.
”Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, tidak akan menghargai redupnya pohon untuk berteduh’’. Semoga kita sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.
Jika anda berpeluang ke Yunnan, jangan lepaskan peluang untuk mengenali budaya setempat serta menyelami kehidupan penduduk muslim di sini.
Islam di Yunnan, sangat istimewa.