Berbasikal ke Tembok Besar China, Aktiviti Rare Yang Boleh Anda Lakukan Jika Datang ke Beijing!

Home » Berbasikal ke Tembok Besar China, Aktiviti Rare Yang Boleh Anda Lakukan Jika Datang ke Beijing!
Tembok Besar China
Kredit : JimmyChin

Aktiviti berbasikal di China bukanlah lagi satu budaya yang asing. Berbasikal menjadi trend yang paling terkini bukan sahaja dalam kalangan rakyat China sendiri malahan popular dalam kalangan pelancong.

Peningkatan penggunaan basikal di China merupakan satu permulaan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang menjadi masalah utama di negara ini terutamanya di bandar-bandar besar seperti Shanghai dan Beijing. Bukan itu sahaja, ini juga dapat mengurangkan lagi masalah pencemaran udara di negara ini disamping menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

berbasikal di China
Pelajar Malaysia di Beijing

Peningkatan penggunaan basikal di China juga telah membuka peluang syarikat-syarikat  untuk meningkatkan lagi penciptaan dan pengeluaran basikal yang lebih mesra pengguna.

Perkembangan Industri Berbasikal di China

Sebelum ini kami pernah berkongsi kepada anda bagaimana peningkatan penggunaan basikal dapat mengatasi masalah pencemaran udara yang mengancam kesihatan penduduk.

Dalam artikel tersebut juga ada menjelaskan perkembangan perkhidmatan basikal sewa yang sedang menjadi trend di China. Untuk selanjutnya,boleh baca disini.

Jika anda datang ke China jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman menyewa basikal sambil bersiar-bersiar menikmati permandangan yang indah! Bayangkan anda berbasikal disekitar Houhai Lake mahupun menyelusuri rumah-rumah lama di sekitar Hutong.

”Jika kita berjaya untuk memujuk beratus-ratus ribu penduduk di setiap bandar untuk mula menggunakan basikal setiap hari, sudah tentu kita boleh mewujudkan kesan sosial bagi tiap-tiap bandar raya terbesar di China,” kata Wang lagi kepada wartawan AFP.

Pihak kerajaan China menyokong perkembangan industri ini sebagai antara usaha mereka untuk mengurangkan gas tinggi yang mencemarkan udara dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara itu.

Berbasikal Ke Tembok Besar China

cycling

Selain perkhidmatan basikal sewa yang sedang hangat diperkatakan di China, kali ini saya ingin kongsikan kepada anda salah satu aktiviti rare yang boleh anda lakukan ketika berada di Beijing.

Aktiviti tersebut ialah berbasikal ke Tembok Besar China!

Kali ini basikal yang anda perlukan bukanlah basikal sewa yang berharga 1 yuan itu, tetapi basikal yang bersesuaian untuk berbasikal jarak jauh.

Tembok Besar China tidak terletak di tengah pusat bandar Beijing, tetapi ia terletak lebih kurang 130 km di pinggir bandar. Jadi, basikal yang diperlukan perlulah bersesuaian untuk menempuh jarak yang jauh termasuk melalui jalan yang berbukit-bukau.

Memilih basikal sebagai salah satu medium pengangkutan ketika bercuti di Beijing adalah sangat menarik. Ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos perbelanjaan malahan anda dapat merasai satu pengalaman baru ditempat orang.

Pernah berjumpa dengan seorang backpacker  yang datang melancong seorang diri di Beijing, dia secara individu juga lebih gemar memilih basikal ketika melancong kemana-mana negara kerana sebagai backpacker perkara pertama yang harus difikirkan ialah bagaimana untuk menjimatkan kos perjalanan.

Di mana boleh dapatkan basikal?

Untuk mendapatkan basikal bukanlah menjadi masalah yang besar. Apabila sampai sahaja di Beijing anda boleh pergi kemana-mana sahaja kedai basikal.

Kebanyakan kedai basikal ada menyediakan perkhidmatan sewaan basikal serendah 50 yuan sehari.

Setiap kedai berbeza, ada yang memerlukan anda membayar wang pendahuluan sebanyak 200 yuan dan ada juga kedai yang hanya meminta anda wang sewaan.

kedai basikal

Disebabkan oleh sambutan yang menggalakkan dari penduduk China terhadap trend terbaru ini, basikal sangat mudah untuk diperoleh dimana-mana sahaja.

Harga basikal di China juga sangat berpatutan mengikut jenama tertentu, hal ini juga secara tidak langsung menambahkan penggunaan basikal dalam kehidupan seharian penduduk.

Di Beijing terdapat agensi pelancongan yang juga menyediakan perkhidmatan melancong sambil berbasikal.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh memilih destinasi yang ingin dituju dan kategori percutian anda seperti berkeluarga, dalam kumpulan yang kecil dan sebagainya.

bikebeijing.com memberi peluang buat pelancong rasai pengalaman berbasikal di sekitar bandar Beijing dengan menyediakan basikal,pemandu pelancong dan pelbagai lagi perkhidmatan lain.

Persediaan Sebelum Berbasikal Ke Tembok Besar

Bagi mereka yang biasa berbasikal sudah tentu tidak menjadi sebarang masalah dari segi persiapan. Buat mereka yang jarang berbasikal pula ada beberapa perkara yang harus dititikberatkan bagi menjamin kelancaran perjalanan.

Basikal

road bike

Pastikan basikal yang anda sewa sesuai untuk kayuhan jarak jauh dan yang paling penting ia mempunyai gear yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian permukaan jalan. Jalan ke Tembok Besar agak berbukit, jadi jika basikal yang tidak sesuai digunakan ia akan mengganggu perjalanan anda.

Persediaan Fizikal

Berbasikal jarak jauh menuntut anda untuk terlebih dahulu bersedia dari segi fizikal. Pastikan tahap kesihatan dan stamina anda berada dan dalam keadaan terbaik.

Persediaan Mental

Mencari teman untuk berbasikal bersama juga sangat penting bagi mengelakkan kita berasa bosan dan tiada motivasi untuk meneruskan perjalanan terutamanya untuk ke Great Wall yang memakan masa hampir  5 jam kayuhan.

Anda boleh menggunakan Baidu.Com untuk mengakses peta tempat yang ingin dituju, ikut sahaja arahan yang diberikan anda pasti akan sampai ke destinasi! Google Maps juga boleh digunakan cuma di China seperti yang sedia maklum terdapat sekatan terhadap beberapa media sosial, jadi anda terlebih dahulu perlu download aplikasi VPN.

Dah Bersedia? Jom Ke Tembok Besar!

Antara gambar beberapa orang pelajar Malaysia di Beijing yang pernah berbasikal ke Great Wall.

berbasikal ke great wall
berbasikal ke great wall
berbasikal ke great wall

Berbasikal Di Sekitar Kota Bersejarah

Tidak minat berbasikal jarak jauh?

Tidak mengapa, anda juga boleh mengayuh basikal di sekitar bandar Beijing sahaja. Beijing ialah kota yang kaya dengan tinggalan sejarah, ambil masa anda hayati keindahan kota ini, keramahan penduduknya dengan berbasikal di sekitar bandar ini.

cycling in Beijing
Berbasikal di kawasan Tiananmen Square

Apa yang menjadikan aktiviti berbasikal di Beijing mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan masyarakat?

Pada pendapat saya, antara sebabnya ialah terdapat pembahagian jalan dimana jalan raya dibahagikan kepada dua bahagian.

Satu bahagian untuk kenderaan bermotor dan kedua untuk motor elektrik dan basikal. Hal ini , dapat menjamin keselamatan mereka yang menunggang basikal di atas jalan raya.

Jangan lepaskan peluang untuk datang ke Beijing dan menjelajah kota sejarah ini. Keluar dari rutin kebiasaan pelancong dan rasai pengalaman yang rare!

Terima kasih kepada Saudara Satriah(facebook) dan Ammar(facebook) yang sudi berkongsi pengalaman berbasikal ke Tembok Besar China bersama Limau Mandarin!

Scroll to Top