Kenderaan Roda Dua Penyelamat Udara Beijing

Udara Beijing sangat menakutkan!

jerebu beijing
Kredit: baidu.com

Anda pernah dengar tentang tahap kualiti udara Beijing? Kualiti udaranya sebenarnya agak teruk, malahan Indeks Pencemaran Udara (IPU) seringkali berada di tahap merah sehingga menjadi ancaman kesihatan kepada penduduk di sini.

udara beijing
Kredit: https://goo.gl/images/tgyUZC

Banyak usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan China di Beijing seperti menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengehadkan penggunaan kereta di atas jalan raya mengikut hari, membudayakan amalan berjalan kaki dan banyak lagi.

Kali ini saya akan kongsikan kepada anda bagaimana penggunaan kenderaan beroda dua mampu menjadi antara agen penyelamat udara yang terpenting di Beijing.

Penggunaan Basikal Elektrik Dan Motorsikal Elektrik

Di Beijing, anda akan melihat begitu banyak kenderaan beroda dua di atas jalan raya walau ke mana sahaja anda pergi.

basikal elektrik
Kredit: baidu.com

Basikal elektrik dan motorsikal elektrik bukan sahaja banyak digunakan dalam kalangan rakyat China, malahan juga oleh pelajar Malaysia yang belajar di sini sendiri! Basikal dan motorsikal elektrik yang dijual dalam lingkungan harga 1000RMB-3000RMB (RM600-RM1900) adalah sangat berpatutan untuk dimiliki.

Yang menariknya tentang menunggang motorsikal elektrik di Beijing adalah anda tidak perlu untuk memiliki sebarang lesen memandu pun! Hanya sediakan wang, beli motorsikal di kedai, dan tunggang sahaja ia ke mana yang anda mahu.

Cuma, anda jangan bayangkan motorsikal elektrik ini sama seperti motorsikal biasa yang anda tunggang di Malaysia. Kelajuan maksimumnya hanyalah sekitar 55 km/j yang mungkin dirasakan amat perlahan oleh sesetengah orang.

Basikal dan motorsikal elektrik tidak menggunakan minyak petrol sebaliknya ia menggunakan bateri khas yang dicas, sama seperti bateri telefon bimbit anda! Setiap bateri hanyalah bersaiz sebesar periuk nasi rumah yang ada di rumah kita.

Ketika anda membeli motorsikal elektrik mahupun basikal elektrik, anda boleh memilih untuk memiliki bateri berat mahupun bateri ringan mengikut keselesaan anda. Harga bateri berat adalah sedikit murah berbanding bateri ringan.

Bateri motor elektrik
Contoh bateri yang bersaiz periuk nasi

Pengecasan bateri penuh memerlukan tempoh masa kira-kira enam jam dan  boleh digunakan untuk perjalanan sejauh 30 hingga 40 kilometer sahaja. Untuk pergi lebih jauh, bawalah bateri tambahan atau mungkin naik sajalah pengangkutan awam Beijing yang sememangnya sangat mudah dan berbaloi itu!

Di Beijing, tidak pelik jika anda terlihat individu-individu lengkap berkemeja dan bertali leher menunggang kenderaan beroda dua ini untuk pergi ke tempat kerja. Malahan ada dalam kalangan pensyarah di universiti saya yang menunggang basikal elektrik dan mengayuh basikal biasa untuk ke tempat kerja.

Selain itu, perkhidmatan pos laju di Beijing ada juga menggunakan kedua-dua jenis kenderaan elektrik ini untuk menghantar barang ke rumah-rumah. Jika anda terlihat orang beruniform yang membawa kotak besi besar di bahagian belakang kenderaannya, perlu anda tahu, itulah pakcik pos laju kami di sini!

pos laju beijing
Kredit: baidu.com

Anda pernah lihat abang penghantar pizza menunggang basikal elektrik dengan kotak pizza di belakang? Di Beijing, perkhidmatan penghantaran makanan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari penduduk setempat.

food deliery beijing
Kredit: baidu.com

Bahkan, kesemua perkhidmatan ini menggunakan kenderaan elektrik untuk menghantar makanan.Hal ini bukan sahaja dapat memelihara kebersihan udara malahan dapat menjimatkan kos penghantaran makanan kerana seperti yang kita sedia maklum harga petrol agak tinggi.

Harga kereta dan motorsikal yang mahal di samping proses pembeliannya yang amat merumitkan telah menyebabkan rakyat China lebih memilih untuk menjalani gaya hidup seperti di atas.

Basikal Untuk Disewa

Bagi pelancong-pelancong yang mahu merasai sendiri pengalaman menunggang basikal bersama rakyat China yang berasak-asak di atas jalan raya, saya ada berita gembira buat anda!

Kini, perkhidmatan sewaan basikal di China sedang berkembang dengan pesat. Di mana-mana sahaja anda boleh mendapati basikal-basikal berwarna kuning, merah, oren dan sebagainya yang diparkir di tepi jalan untuk disewa.

basikal sewa china
Basikal yang tersusun rapi di tepi jalan

Untuk menggalakkan rakyatnya mengayuh basikal dan mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor yang mengeluarkan asap, negara China kini popular dengan basikal sewa yang datang dari pelbagai syarikat sewaan dengan kadar sewaan yang sangat rendah dan berbaloi!

Saya melihat strategi yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menggalakkan rakyat mereka menggunakan basikal ini sangat bijak. Ini dapat dilihat dari segi lokasi basikal sewa diletakkan. Contohnya, anda akan dapat melihat deretan basikal ini berhampiran stesen bas dan juga stesen subway. Pengguna perkhidmatan awam di Beijing boleh terus mendapatkan basikal ini sebaik sahaja tiba di stesen bas atau stesen subway.

ofo basikal sewa
Kredit: baidu.com

Tiada juga timbul isu kekurangan basikal kerana bilangan basikal yang disediakan sangat banyak dan lebih dari mencukupi.

Antara syarikat sewaan basikal yang terkenal di Beijing adalah “ofo 共享单车”. Anda hanya perlu memuat turun aplikasi sewaan basikal tersebut melalui telefon pintar anda, dan patuhi arahan yang diberikan.

Basikal sewa ini kelihatannya berada di mana-mana sahaja di sekitar Bandar Beijing. Jika anda nampak mana-mana basikal syarikat ini yang sudah dikunci yang berada di tepi jalan dan anda berniat untuk menggunakannya, silakan! Setiap basikal ini dilengkapi dengan nombor siri dan kata laluannya yang tersendiri untuk membuka kunci tersebut.

ofo password basikal
Kredit: baidu.com

Log in sahaja ke dalam aplikasi yang sudah anda muat turun di telefon pintar anda, patuhi arahan yang diberikan, dan masukkan kata laluan yang mereka hantar kepada anda melalui aplikasi itu. Anda sudah boleh menaiki basikal comel ini untuk melawat sekitar bandar Beijing!

Yang menariknya lagi, anda tidak perlu memulangkan basikal itu di tempat yang anda ambilnya pada awal tadi, sebaliknya hanya perlu meninggalkannya di mana-mana sahaja yang anda mahu. Kadar sewaan serendah 1RMB (bersamaan 70 sen Malaysia) juga telah membuatkan syarikat sewaan basikal ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat China sendiri!

Malu dilihat orang ketika mengayuh basikal di China? Jangan bimbang, kerana masyarakat China sendiri majoritinya menjalani gaya hidup mengayuh dan menunggang kenderaan-kenderaan kecil seperti basikal ini di atas jalan raya. Anda kini sama sahaja seperti kakak-kakak, adik-adik, pakcik makcik dan datuk nenek China yang lain!

Jika anda sudah sampai ke China, jangan lupa untuk rasai sendiri pengalaman menggunakan basikal sewa ini!

Pepatah Cina ada menyebut 说到做到 ( shuō dào zuò dào ),yang bermaksud buat apa yang dikata. Saya melihat kerajaan China sangat prihatin tentang isu pencemaran udara Beijing. Mereka menyedari hakikat kepentingan udara yang sihat lalu menyediakan platform yang sangat baik sebagai langkah membendung masalah ini.

great wall
Kredit: baidu.com

Satu pujian perlu diberi kepada barisan kepimpinan kerajaan China kerana mereka bukan sekadar bercakap ingin memelihara udara, sebaliknya sangat bertanggungjawab menyediakan pelbagai alternatif bagi menyelesaikan isu ini.

Usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan China ini patut dicontohi oleh Malaysia dalam menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan memelihara alam sekitar. Bukan itu sahaja, penggunaan minyak petrol juga boleh dikurangkan dengan adanya penggunaan basikal elektrik.

Memikirkan kesan jangka masa panjang, penggunaan kenderaan elektrik ini mampu menangani masalah pencemaran udara dan pencemaran bunyi, serta mampu mengurangkan kos sara hidup masyarakat Malaysia.

1 Komen

TINGGALKAN KOMEN

Sila Tulis Komen Anda!
Masukkan Nama Di Sini