Melancong ke Inner Mongolia
Mahu melancong ke Inner Mongolia dan sedang mencari itinerari untuk dijadikan rujukan? Tahniah, anda di tempat yang betul! Perjalanan Jiha Jahari dijadikan itinerari Inner Mongolia penuh khas untuk anda!
Hari 1 : Selamat Datang ke Inner Mongolia
28 Jun 2017:
Perjalanan kami melancong ke Inner Mongolia bermula pada hari Khamis. Kami pergi melancong ke Inner Mongolia sewaktu musim panas dan juga bulan Syawal ketika itu.
Kami bergerak ke train station pada pukul 8:30 malam dari kampus. Pergi ke kaunter tiket, tunjuk invoice bayaran dekat kaunter (tunjuk invoice dalam handphone, bagi saja phone dekat abang kaunter) dan tunggu train. Kami naik kereta api di 北京西站 (Beijing West Railway Station).
29 Jun 2017:
Kereta api berlepas pukul 11 malam. Alhamdulillah, setelah 13 jam berada di dalam kereta api, akhirnya kami sampai di Hohhot, Inner Mongolia lebih kurang pukul 12 tengah hari.
Travel Agent
Antara tujuan kami melancong ke Inner Mongolia adalah untuk menunggang kuda dan menaiki unta! Wah, macam seronok, kan? Kami keluar dari stesen kereta api Hohhot, terus disapa oleh seorang tour guide perempuan. Kemudian, kami dibawa ke pejabat travel agent tersebut.
Sebelum ke Hohhot, kami tidak mencari mana-mana agensi pelancongan untuk membawa kami ke padang pasir dan padang rumput. Jadi, kami ambil keputusan untuk cari di Hohhot.
Dipendekkan cerita, kami telah membayar keseluruhan untuk dua hari di Padang Rumput Xilamuren dan Padang Pasir Kubuqi sebanyak 910 yuan = RM 574. Pembahagian duit pula seperti ini:
- 260 yuan = penginapan, makanan, pengangkutan.
- 280 yuan = beberapa aktiviti di Padang Pasir Kubuqi.
- 370 yuan = aktiviti di Padang Rumput Xilamuren.
Setelah selesai berunding dengan agensi pelancongan, kami berjalan menuju ke hotel. Kami menginap di Hotel Wangfu yang terletak berdekatan dengan stesen kereta api Hohhot. Sebilik untuk tiga orang, sangat berpatutan dan selesa. Harga untuk satu malam ialah 66 yuan.
Sebenarnya anda boleh mendapatkan pakej yang lagi murah, serius, mungkin dengan mencari dalam internet terlebih dahulu. Bagi kami pakej yang kami ambil sedikit mahal, lagi pula tour guide tidak tahu tentang gaya pemakanan muslim.
Dewan makan di padang rumput dan di padang pasir tidak menyediakan makanan halal, jadi kami ada request untuk makan seafood atau telur tetapi tiada tindakan selanjutnya, maka kami makan sajalah pau dan makanan yang dibawa sendiri.
Hari 2 : Jom Tunggang Kuda
Padang Rumput Xilamuren
30 Jun 2017:
Alhamdulillah, pagi ini kami bersarapan roti dan tuna pedas yang dibawa dari Malaysia. Kami beli roti di kedai runcit lobi hotel. Kemudian, kami terus bergerak ke pejabat travel agent, 8:30 pagi van mula meninggalkan kota Hohhot.
Perjalanan dari Hohhot ke Xilamuren mengambil masa lebih kurang dua jam lebih. Xilamuren merupakan kawasan padang rumput hijau. Kuda, lembu dan biri-biri bebas meragut rumput hijau di padang rumput. Sangat teruja!
Terdapat juga rumah-rumah orang Inner Mongolia; rumah mereka berbentuk bulat. Ada sebahagian rumah yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional – mereka menggunakan kulit haiwan bagi menutup keseluruhan rumah. Ada juga rumah yang sudah dibina menggunakan batu-bata dan kesemuanya dicat dengan warna putih.
Sebelum kami tiba di Xilamuren, van akan berhenti terlebih dahulu di RnR, jadi bolehlah turun ke tandas untuk membuang air sebab dekat Xilamuren tiada tandas awam yang bersih. Faham ya? Kalau mampu masuk tandas awam begitu, dipersilakan.
Turun saja dari van, terdapat sekumpulan penyanyi yang memakai baju tradisional Inner Mongolia menyambut kedatangan kami dengan menyanyi lagu dalam bahasa mereka serta menghidangkan arak kepada kami. Kita kena beradablah menolak hidangan arak tersebut.
Kemudian, tour guide memberitahu tentatif kami pada hari tersebut:
- Menunggang kuda
- Merasai teh susu Inner Mongolia
- Melawat tapak Aobaoshan
- Menyaksikan perlumbaan kuda-kuda pemburu
- Aktiviti bebas
Menunggang Kuda
Aktiviti kami terus bermula! Sampai di kandang kuda, kami terus ambil topi keledar, pakai dan kami disapa oleh seorang pak cik untuk menunggang kuda bersama-sama dengannya. Pak cik ini baik sangat, beliau merupakan penunggang kuda yang handal di situ.
First time naik kuda, peh ohsem! Ya Allah, berdebor-debor jantung sister. Kami menunggang kuda sendirian di hadapan, pak cik yang guide kami menunggang kuda di bahagian belakang sekali sambil memerhatikan kami. Beliau membuat bunyi siulan sebagai arahan kepada kuda; sama ada mahu berlari laju, berjalan atau stop! Subhanallah best!
Sepanjang kami menunggang kuda, memang tak ada orang yang pegangkan tali kuda, kuda jalan sendiri, kami sekadar mengawal pergerakan kuda ke kiri atau ke kanan saja.
Kalau kuda lari laju, peh lajuuu weh! Dia tak lah laju macam dalam tv tu, mungkin dengan orang-orang yang tak pro naik kuda ni, lari laju tu diibaratkan lari anak-anak je kot. Yang lari anak-anak ni pun dah takut weh! Sampai hilang terus selfie stick ha nak kata laju juga lah kuda berlari pun.
Teh Susu dan Gula-gula Susu
Kemudian, kami berhenti di khemah orang Mongol untuk merasai gula-gula susu dan teh susu Mongol. Turun daripada kuda, berjalan masuk ke dalam khemah. Ada seorang pak cik yang baik hati tuangkan teh untuk kami bertiga. Engkorang tahu, masa itu saya dah bayangkan teh susu itu macam teh susu dekat Malaysia tau!
Dah pegang cawan nak minum, tiba-tiba abang Mongol yang jaga khemah cakap, “Awak kena minum sebanyak mana yang awak tuang.” Waktu ini juga lah, Syazwa dan Syaf cakap, “Jiha, teh ni masin.” Wuih, riak muka tu penting, memang macam tak sedap betul.
Satu hirupan kecil, saya tak mampu nak habiskan. Banyak tahu tak nak habiskan secawan tu. Teh susu tu tak jadi teh susu dah sebab letak garam. Lain benor rasanya. Masin!
Disebabkan kena juga habiskan, tutup hidung tahan nafas, teguk secawan! Huh, nak bagi hilang rasa unik tu, saya pun makanlah coklat susu yang dihidangkan di atas pinggan-pinggan kecil.
AoBaoShan
Kemudian, kami naik kuda semula dan berhenti sebentar di satu tempat yang bernama Aobaoshan. Menurut kamus Pleco, Aobao bermaksud a pile of stones, earth or grass used by Mongolians as a road sign or a boundary sign. Di sini juga merupakan tempat orang Mongol membuat aktiviti pengorbanan sebagai tanda terima kasih kepada matahari, padang rumput dan sebagainya.
Selesai beraktiviti kuda, tibalah masa untuk makan tengah hari, kami hanya makan pau sahaja kerana makanan yang disediakan tidak halal. Kalau anda pilih pakej travel lain mungkin anda boleh request untuk makan makanan halal.
Kami berasa sedikit ‘seram’ kerana ketika kami sedang duduk di meja makan sambil menikmati pau kosong, arak mula dihidangkan dengan meriah sekali. Maka, kami mula menyedari akan tradisi minum arak orang Mongol.
Ada seorang penyanyi yang menyanyikan lagu khas lalu mereka menyarungkan kain berwarna biru pada bahagian leher dan menuang arak untuk orang ramai minum. Punyalah kami berdebar takut-takut didatangi kumpulan penyanyi itu, jadi kami lari jauh sikitlah.
Pukul 2:30 petang, berhampiran dengan dewan makan telah diadakan pertunjukan kuda. Kuda-kuda pemburu berlari dengan sangat laju dan penunggang kuda profesional menunjukkan skill individu masing-masing yang sangat mantap dan hebat!
Selepas itu, ada pertunjukan gusti orang Mongol oleh budak-budak Mongol yang mungkin lebih kurang saja umurnya dengan kami bertiga.
Usai melihat pertunjukan itu, aktiviti pada petang itu ialah aktiviti bebas. Sebelum kami keluar mengambil angin, kami angkut beg-beg masuk ke dalam rumah kami, cewah! Rehat sekejap, dalam pukul 5:30 petang, kami keluar berjalan-jalan melihat pemandangan padang rumput hijau.
Udara dekat situ tok sah kabo, segar! Cuaca petang itu redup saja, matahari pun malu-malu berselindung di sebalik awan.
Waktu solat di Inner Mongolia agak lain berbanding tempat lain, Asar dalam pukul 6:40 petang, Maghrib pukul 8:40 malam dan Isyak dalam pukul 10:30 malam. Di sini, 8 malam masih lagi ada cahaya matahari, langit berwarna jingga. Cantik!
Persembahan Kebudayaan
Pada malam hari pula, dalam pukul 9:30 malam, ada pertunjukan yang dilangsungkan di sebelah kafeteria kawasan resort kami. Ada nyanyian, tarian dan bermain alat muzik tradisional Mongolia. Dekat tengah-tengah kawasan ada unggun api tau, ala-ala camp fire gituh. Kami pun sampai kena join sekali dengan orang ramai berjalan mengelilingi unggun api.
Dalam pukul 10:30 malam, kami masuk semula ke dalam rumah untuk berehat. Pada waktu malam, suhu di padang rumput ini jatuh dengan mendadak. Dekat rumah yang kami menginap itu tiada air cond dan heater. Udara beransur sejuk, lantai rumah kami pun sejuk, sejuk sangat! Sejuk dia sampai menggigil-gigil, rasa tak nak jejak pun.
Hari 3 : Gurun Kubuqi Kami Datang!
1 Julai 2017:
Pukul 5 pagi, kami keluar dari khemah untuk tengok matahari terbit. 4:57 pagi dah syuruk, jadi kami pergi ke arah timur padang rumput. Dari kejauhan kami dapat melihat garisan-garisan jingga di langit sebalik gunung-gunung.
Dalam masa beberapa minit, matahari dengan perlahan-lahan terbit dan melimpahkan sinar cahayanya kepada seluruh alam. Memang cantik! Bukan kami sahaja yang teruja, bahkan pelancong lain juga turut mengambil gambar sekali.
Pukul 6:30 pagi, kami ke dewan makan untuk bersarapan. Tepat pukul 7 pagi, kami pun bergerak ke Gurun Kubuqi. Van yang membawa kami berhenti di Hohhot terlebih dahulu untuk mengambil dua orang pelancong yang turut serta bersama-sama kami ke Gurun Kubuqi.
Dua jam lebih perjalanan dari Hohhot ke Gurun Kubuqi, jadi total perjalanan dalam empat jam lebih untuk sampai ke Gurun Kubuqi (Xilamuren-Hohhot-Kubuqi). Terdapat banyak pakej yang ditawarkan di Gurun Kubuqi, kami tidak perlu bayar dekat sana sebab sudah bayar siap-siap kepada travel agent.
Aktiviti yang kami lakukan di Gurun Kubuqi ialah menunggang unta! Fuh unta dua bonggol memang tinggi! Kalau saya lepaskan kedua-dua tangan saya, rasanya boleh jatuh atas pasir. Cubaan untuk tangkap gambar gagal, engkorang tahu pak cik-pak cik ni tak bagi kita tangkap gambar, sebab mereka ada photographer sendiri. Geram! Pak cik siap jerit-jerit dari jauh dekat kita, alamak kantoi pula kita nak ambil gambar! Marah betul!
Jadi dekat sini kami tak banyak bergambar, sebenarnya dah macam tak ada mood jugalah. Dekat situ ada banyak aktiviti lagi, flying fox, naik ATV, macam-macam lagilah. Masa menaiki unta, ada tiga tempat unta akan stop. Jadi, kalau ambik pakej ini, lama sikitlah naik unta dan bayar mahal jugalah.
Habis aktiviti, kami turun ke bawah untuk naik train comel yang bawa kami ke pintu masuk tadi. Nak turun bawah kena slide! Peh tak pernah seumur hidupku slide macam itu je, bagi saya memang ekstrem weh ekstrem! Sebab jarak antara kami yang ada dekat atas padang pasir dan darat dekat bawah itu sangat tinggi! Peh seram! Memang tak sempat nak bergambar. Telan air liur, cari semangat, fuh!
Tamat aktiviti, kami berehat sekejap. Kemudian, pulang semula ke Hohhot. Jarak antara Gurun Kubuqi ke Hohhot dalam dua jam lebih. Sampai di Hohhot, kami check-in hotel lain. Kami tidak check-in di Hotel Wangfu. Hotel yang kami menginap itu bekerjasama dengan syarikat travel agent yang kami ambil, jadi kami dapat potongan harga. Kami checked-in hotel 120 yuan satu malam (seorang bayar 40 yuan – satu malam). Harga asal untuk 1 malam ialah 169 yuan. Lupa pulak nama hotel tu, alamak! Malamnya, masa untuk kami.
Hari 4 : Jelajah Hohhot
2 Julai 2017:
Bermula ekspedisi kami di Hohhot pada hari ke-empat ini. Pada waktu pagi, kami pergi ke beberapa buah tokong, sekadar melihat sahaja ya, tak buat benda lain.
Kami pergi ke 五塔寺 dan Xilitu. Kedua-dua tokong ini menjadi tempat pelancongan, tempat pelancong datang melawat. Tidak kelihatan pula sami di kedua-dua tokong ini. Harga tiket pula 15 yuan (student).
Muslim Street
Kemudian, petangnya kami ke kawasan muslim. Kawasan ini terletak di Huimin District. Lebih kurang macam kawasan Niujie di Beijing dan Huiminjie di Xian. Sepanjang jalan ini ada banyak bangunan berkubah, ada banyak kedai-kedai halal, ramai orang muslim, jadi kita dapat melihat muslimah bertudung, muslimin berkopiah, wanita berkopiah pun ada, eh!
Kami mahu solat di Qingzhen Da Si (Masjid Besar) tetapi masjid ini sedang dalam pengubahsuaian. Jadi, ruangan solat wanita tidak boleh digunakan. Kemudian, ada seorang kakak yang tunjukkan kami jalan untuk ke Qingzhen Xiao Si (Masjid Kecil).
Kami pun berjalan mengikut arah yang diberikan oleh kakak tersebut. Kemudian, ada seorang pak cik menegur kami. Beliau sudi membawakan kami ke Qingzhen Xiao Si, masuk lorong sana lorong sini, kami nampak beberapa orang perempuan yang kelihatan seperti pelajar. Pak cik itu pun menegur pelajar perempuan tersebut dan meminta tolong untuk membawa kami ke Qingzhen Xiao Si.
Dari jauh kelihatan ramai orang sedang keluar dari bangunan masjid itu. Rupa-rupanya, para asatizah mereka, kami pun turut bersalaman dengan para asatizah, fuh lain betul auranya.
Masuk sahaja dalam kawasan Qingzhen Xiao Si itu, barulah kami tahu bahawa di situ juga merupakan sebuah madrasah. Surau terletak di aras dua, sekali dengan dorm dan bilik darjah pelajar perempuan.
Usai solat, kami melawat kelas, dorm, berbual-bual dengan para pelajar di situ. Sempat juga bertanyakan tentang cara pembelajaran mereka, asal usul dan matlamat mereka pada masa akan datang. Moga-moga sinar Islam akan tersebar luas di serata alam.
Dalam pukul 4 petang, kami pun bergerak pulang ke hotel. Cuaca pada hari itu panas sampai hitam muka jadinya! Petang sikit baru hujan turun tetapi macam hujan kimia saja, ceh sebab bau hujan lain macam.
Hari 5 : Jumpa Lagi Hohhot
3 Julai 2017:
Hari kelima ini rasa macam tak ada apa sangatlah, boleh kira tempat menarik dekat Hohhot dah cover semasa hari ke-empat. Sebenarnya ada banyak tempat menarik, antaranya kami memang nak pergi Muzium Inner Mongolia tetapi memang tak sempat nak pergi semalam. Nak pergi hari ini pun tidak sempat. Dekat muzium ini ada fosil velociraptor, dikatakan dinosaur ini ditemui di Inner Mongolia.
Destinasi pertama kami pada hari ini ialah Dazhaosi. Tiket masuk untuk pelajar ialah 18 yuan. Dekat sini, tokongnya hidup. Sami-sami gigih menghafal hafalan mereka, bau kemenyan yang kuat, asap colok memenuhi ruangan atmosfera tokong, pelancong yang datang pun ramai.
Keseluruhan kawasan tokong sudah kami lawati, destinasi seterusnya kami ke muslim street. Kami ke sana dengan tujuan membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Alang-alang dah sampai sini, kami pun makan tengah hari di restoran Yunnan. Jadi, makanannya ialah 米线 (mǐxiàn, rice-flour noodles). Fuh semangkuk besar seorang! Sedap, kenyang alhamdulillah. Mak cik dan pak cik kedai pun peramah, borak sama-sama, cewah dah macam keluarga.
Selesai makan, kami rasa macam awal sangat untuk ke train station sebab baru pukul 4 petang, tiket train kami pula pukul 10:23 malam! Wuih, lama tu. Jadi, kami ambil keputusan untuk ke Muzium Inner Mongolia.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami. Tunggu punya tunggu, cari punya cari bas tapi entah kenapa tidak jumpa. Tengok dalam Google Maps katanya dalam 41 minit untuk sampai ke sana tapi jam dah menunjukkan pukul 4 petang. Alahai, pukul 5 petang dah tutup muziumnya. Jadi, kami batalkan niat untuk ke muzium.
Kami terus ambil beg di hotel dan bergerak ke restoran makanan segera iaitu Dicos! Ha dekat sini order dua aiskrim, memandangkan cuaca panas, memang saja nak duduk dalam tempat air-cond. Kami stay dekat restoran Dicos dari 5 petang sampailah pukul 8:30 malam, barulah kami beransur ke train station.
Tiket kami pukul 10:23 malam dan sepatutnya sampai di Beijing pukul 9 pagi. Walau bagaimanapun, cuaca hujan menjadikan perjalanan kami agak panjang. Train kami delayed selama lebih 4 jam. Jadi, kami tiba di Beijing pada pukul 12 tengah hari, hari Rabu.
Ringkasan Perjalanan
Kami melancong ke Inner Mongolia selama 5 hari 4 malam. Jadi, saya nak berkongsi serba sedikit tips persediaan travel ke Inner Mongolia.
28 Jun 2017: Sampai di Hohhot, check-in Hotel Wangfu satu malam.
29 Jun 2017: Padang Rumput Xilamuren [bersama tour guide]
30 Jun 2017: Padang Pasir Kubuqi [bersama tour guide]
1 Julai 2017: Menjelajah bandar Hohhot
2 Julai 2017: Dazhaosi, Muslim Street sekali lagi, malamnya pulang ke Beijing
Tiket
Kami melancong ke Inner Mongolia dengan menaiki kereta api. Kami beli tiket di laman web Ctrip (klik sini). Kalau nak beli di laman web ini, tips untuk mendapatkan harga yang betul-betul sama dengan harga yang kita tengok dekat laman web adalah dengan sign up sebagai ahli Ctrip. Kalau tidak, ada lah caj lebih sedikit.
Ada juga laman-laman web yang lain untuk membeli tiket kereta api atau kapal terbang untuk ke mana-mana destinasi dalam China, boleh try. Contohnya seperti Qunar (klik sini) , elong (klik sini) dan sebagainya.
Kami beli tiket kereta api jenis seat biasa (hard seat) ataupun dalam bahasa Cina ialah 硬座 (yìngzuò)。Tempat duduk macam tempat duduk bas balik kampung dekat Malaysia. Boleh pilih banyak jenis, contohnya nak yang berkatil ke, berkatil mewah sikit ke gitew~ Sakit pinggang jugalah sebab perjalanan dari Beijing ke Hohhot mengambil masa lebih kurang 10 jam.
Walau bagaimanapun, train kami delayed for about 3 hours kot! Jadi, kami ada dalam train selama 13 jam peh! Solat memang solat duduk atas kerusi, solat semasa orang tengah tidur. Wudhu’; ada dua pilihan sama ada tahan wudhu’ dari Beijing atau ambil wudhu’ baru menggunakan spray. Tandas tok sah kabo, bak kata Syazwa, “Saya buka je pintu tandas, keluar lalat.
Pengangkutan
Berjalan di bandar Hohhot berasa mudah dengan menaiki bas awam. Memandangkan bandarnya tidaklah sebesar Beijing, jadi bas juga tidak banyak nombor. Dengan syarat, kena tahu tulisan Mandarin, kalau tidak macam mana nak baca nama-nama hentian dekat stesen bas tu. Tambang bas pula hanya 1 kuai sahaja, murah! Di bandar Hohhot ini juga ada perkhidmatan Uber/Grab Car, kami order melalui aplikasi WeChat.
Penginapan
Kami book hotel siap-siap di Beijing terlebih dahulu dengan menggunakan aplikasi WeChat! Wah, sangat berguna, bukan? Boleh juga cari di laman web Booking.com (klik sini), AirBnB (klik sini) dan pelbagai lagi.
Bahasa
Melancong ke Inner Mongolia kalau dengar-dengar halwa telinga saya, bahasa orang dekat sini sama saja dengan orang-orang di Beijing, mereka juga berbahasa Mandarin. Kadang, kami juga ada mendengar perbualan mereka dalam bahasa Inner Mongolia, kami memang tidak paham.
Yang menjadi drama apabila orang-orang di sana menganggap kami ini orang tempatan. Hampir semua orang yang kami jumpa, mereka bilang sama kami, “Eh, saya ingatkan kamu orang Xinjiang.”
Terkejut betul mereka selepas kami respon dalam bahasa Mandarin. Kami beritahu bahawa kami dari Malaysia, mereka angguk-angguk faham, ada juga yang responnya, “Oh, Malaysia terletak di benua Afrika itu ya.” Kali ini, kami geleng ya. Saja bergurau agaknya. Muka burn teruk agaknya waktu itu.
Jika anda mahu melancong ke Inner Mongolia dengan lancar, pastikan anda ikut apa yang disarankan kami di atas. Semoga perjalanan melancong ke Inner Mongolia anda selamat dan menyeronokkan!