5 Fakta Menarik Tentang China Ini Mengujakan!

Home » 5 Fakta Menarik Tentang China Ini Mengujakan!

Mencari fakta menarik tentang China? Inilah artikel fakta menarik tentang China yang anda cari!

China adalah sebuah negara yang terletak di Asia Timur dan merupakan negara paling ramai penduduknya.China juga dikenali sebagai 中华人民共和国(Zhōnghuá Rénmín Gònghéguó)yang bermaksud Republik Rakyat China.

Fakta Menarik Tentang China

Dalam Bahasa Mandarin ia disebut 中国(Zhōngguó)dan seperti yang sedia maklum ibu kota China terletak di Beijing.

China Map

Kali ini saya akan bawakan pada anda 5 fakta menarik tentang China!

Setiap Tahun Diwakili Oleh Salah Satu Daripada 12 Binatang

Dalam astrologi China, terdapat satu zodiak Cina (salah satu fakta menarik tentang China) iaitu kitaran 12 tahun yang terdiri daripada 12 ekor haiwan yang melambangkan 12 jenis personaliti berbeza.

Berikut ialah kesemua 12 haiwan zodiak mengikut urutannya.

12 horoskop cina

Menurut tradisi,kitaran zodiak ini akan bermula dengan tikus.Mengapa tikus? Menurut lagenda, ketika Sang Buddha ingin meninggalkan bumi, beliau memerintahkan semua binatang untuk hadir dihadapannya.Kebanyakan binatang tidak mengindahkan undangan tersebut dan akhirnya hanya 12 binatang yang muncul. Binatang pertama yang datang ialah tikus diikuti dengan lembu,harimau,arnab,naga,ular,kuda,kambing,monyet,ayam, anjing dan yang terakhir babi.

Menurut kebiasaanya orang China tidak akan bertanyakan umur seseorang yang baru dikenali sebaliknya meraka akan bertanyakan apakah zodiak haiwan anda. Mereka juga biasanya dengan cepat dapat meneka tahun kelahiran anda.

Biasanya diawal tahun baru peramal nasib akan meramal nasib seseorang mengikut haiwan yang mewakili tahun kelahiran mereka. Orang China juga percaya bahawa personaliti individu itu serba sedikit dipengaruhi oleh haiwan tahun kelahiran mereka. Contohnya,mereka yang lahir pada tahun ayam dikatakan seorang yang tekun,peramah, mudah mengerti dan banyak akal.

Tahun ayam 2017
Tahun 2017 ialah Tahun Ayam

Bagi orang islam tidak salah untuk mengambil tahu kepercayaan mereka, tetapi tidak perlulah kita meletakkan sepenuhnya kepercayaan kita kepada apa yang diramal.

Jadi, apakah haiwan yang mewakili tahun kelahiran anda?

Sumber: https://zh.m.wikipedia.org/zh-sg/%E7%94%9F%E8%82%96

Minuman Wajib Di China Ialah Teh

Antara fakta menarik tentang China adalah teh cina. Budaya meminum teh dalam kalangan Orang China telah wujud sejak 5000 tahun lampau dan jika anda ke China anda akan dapat melihat pelbagai jenis daun teh dijual dan setiap daripadanya mempunyai khasiat yang tertentu.

Teh China

Orang China biasanya akan minum teh pada setiap pagi terutamanya ketika musim sejuk.Teh di China bukan sekadar minuman biasa yang diminum setiap hari tetapi ianya kaya dengan nilai budaya orang China itu sendiri. Bermula dari pemilihan teh hingga ke cara membuatnya kesemuanya terkandung budaya tradisi masyarakat China.Biasanya di setiap rumah pasti ada peralatan untuk menyediakan teh.

Satu perbezaan cara orang China minum teh dengan kita ialah, mereka tidak letak gula didalam teh, daun teh hanya akan direndam dengan air panas berbeza dengan kita yang mesti mencampurkan gula ke dalam teh. Jadi, teh yang diminum rasanya agak pahit tetapi ianya elok untuk kesihatan.

Teko teh
Antara peralatan untuk menyediakan teh

Pensyarah saya di Universiti pernah berkongsi hakikat yang budaya teh ini semakin lama semakin terhakis terutamanya dalam kalangan orang muda. Contohnya, pensyarah saya bercerita daun teh sepatutnya direndam didalam air yang betul-betul menggelegak bukannya air suam dan mesti dibiarkan beberapa minit sebelum diminum. Orang tua kebanyakan masih memelihara tradisi teh ini.

Jika anda datang ke China, jangan lupa untuk membawa pulang daun teh!

Ekonomi Paling Cepat Berkembang Di Dunia

Ekonomi juga menjadi salah satu fakta menarik tentang China. Sejak pembaharuan ekonomi berasaskan pasaran diperkenalkan pada tahun 1978, China telah menjadi sebuah ekonomi utama yang paling cepat bertumbuh di dunia dan juga menjadi pengeksport terbesar dan pengimport kedua terbesar untuk segala barang dagangan. Pengindustrian pesat telah membenamkan kadar kemiskinannya.

Ekonomi China

Kerajaan China menggalakkan kegiatan pelbagai perusahaan kecil-kecilan sambil melonggarkan kawalan harga serta mengundang pelaburan dari luar negara. Perdagangan asing diberi tumpuan sebagai alat pertumbuhan ekonomi utama, sehingga lahirnya Zon Ekonomi Khas, mula-mula di Shenzhen disusuli bandaraya-bandaraya lain di China.

Pada pendapat saya, masyarakat China mempunyai budaya kerja yang sangat positif, mereka sangat kreatif dan bijak mencipta peluang.

Jika anda datang ke China anda akan melihat peniaga menjual pelbagai barangan daripada barangan yang biasa-biasa kepada barangan yang luar biasa.

Tahap kreativiti dan inovasi orang China memang tiada tandingannya.Mereka juga sangat rajin, walaupun berdepan realiti penduduk yang ramai, mereka bijak mencipta peluang untuk mencari rezeki dan ini ditambah pula dengan sifat mereka yang rajin bekerja. Bekerja apa sahaja asal boleh menyara hidup.

Perkembangan ekonomi juga banyak disumbang oleh sektor perkilangan berkos rendah, hasil gabungan buruh murah, prasarana bermutu, teknologi dan kemahiran bertahap sederhana, daya pengeluaran agak tinggi, dasar kerajaan yang menggalakkan, dan kadar tukaran wang yang rendah juga dikatakan menjadi faktor penyumbang.

Kerja di China

Jika anda ingin tahu, di China sekarang ini ramai sedang sibuk memperkatakan bahawa suatu hari China akan berjaya mengalahkan Amerika Syarikat selaku kuasa besar dunia. Isu ini juga pernah menjadi topik perbahasan saya didalam kelas dan menurut pandangan saya ianya tidak mustahil. Sama ada kita percaya atau tidak China sedang menghampirinya!

Sumber: https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Republik_Rakyat_China

Panda berasal dari China

Panda China

Ingat China ingat panda, seperti yang semua tahu binatang comel ini asalnya dari China. Fakta menarik tentang China dan Panda mereka menjadi bacaan ramai animal lover. Jika anda mahu melihat panda dihadapan mata sendiri datanglah ke China atau lebih spesifik lagi anda harus datang ke Chengdu dimana disitu terdapat ”Chengdu Research Base of Giant Panda Breeding” atau kita panggil rumah panda.

Tempat ini telah dicipta bersesuaian dengan habitat asal panda supaya mereka mendapat persekitaran yang terbaik untuk terus hidup dan membiak.

Chengdu Panda Research House

Panda ini bukan sahaja khazanah negara China tetapi ia juga kegemaran satu dunia.Secara keseluruhannya hanya terdapat lebih kurang 2000 ekor populasi panda didunia dan 70% daripadanya terdapat di Chengdu. Oleh itu,bagi mereka yang ingin melihat panda Chengdu adalah tempatnya.

Panda Chengdu
Panda yang masih kecil akan diletakkan dibilik khas

Panda yang terdapat di Malaysia merujuk kepada dua ekor panda gergasi dari China yang dipinjamkan kepada Malaysia melalui Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi. Panda jantan bernama Fu Wa dan betina bernama Feng Yi itu merupakan hadiah sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.Panda ini sangat signifikan kerana 2014 merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China

Waktu terbaik untuk mengunjungi Chengdu adalah bulan September dan Oktober saat peralihan musim panas ke musim gugur. Chengdu ialah ibu kota bagi provinsi Sichuan, ianya terletak di bahagian selatan China.Selain terkenal dengan panda Chengdu juga ialah kota yang kaya dengan sejarah selain mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi.

Tips tambahan:Jika sampai ke Chengdu jangan lupa untuk cuba makanannya yang pedas tetapi sungguh sedap!

Sumber: https://www.travelchinaguide.com/attraction/sichuan/chengdu/panda-breeding-and-research-center.htm

Travel ke China Umpama Sudah Pusing Satu Dunia

Bumi China yang luas menyebabkan China mempunyai pelbagai bentuk muka bumi dari daratan lapang,tanah tinggi, gurun dan macam-macam lagi. Daerah yang luas serta iklim yang beragam menjadi ciri khas China yang berbeza dengan negara lain. Fakta menarik China juga adalah daripada segi lokasi pelancong di sana.

Kebanyakan traveller yang mengunjungi China lebih tertumpu untuk melihat Tembok Besar China,Kota Larangan di Beijing atau mengunjungi Terracotta di Xian, padahal sesungguhnya ada banyak lagi tempat menakjubkan di China seperti hamparan sawah yang indah seperti lukisan dan macam-macam lagi.

Honghe Hani Rice Terraces

Honghe Hani Terrace Yunnan

Honghe Hani Rice Terraces ini terletak di Yuanyang,Yunnan. Ia menjadi satu-satunya sawah padi yang tersenarai dalam UNESCO World Heritage Site.

Tanah yang dahulunya tandus ini telah diusahakan oleh Orang Hani menjadikan ia syurga kepada tanaman padi. Air untuk pengairannya disimpan di hutan yang terletak di puncak bukit yang kemudianya disalurkan ke teras.

Permandangan disini cukup menenangkan!

The Bund, Shanghai

Waitan Shanghai
Shanghai Tower

The Bund atau nama Chinanya 外滩(Wàitān)ialah lokasi yang paling popular di Shanghai. Tidak perlu ke Eropah kerana seni bina bangunan disini semuanya seperti bangunan zaman kolonial eropah. Saat anda berjalan disini, anda seolah-olah lupa yang anda sebenarnya berada di China!

Berhadapan dengan tempat ini anda dapat melihat Shanghai Tower dimana pada waktu malam bangunannya bewarna-warni,sangat cantik!

Crescent Lake (Yueyaquan)& Echoing Sand Mountain (Mingsha Shan)

Yueyaquan Gansu

月牙泉(Yuèyá Quán)adalah tasik berbentuk bulan sabit di oasis, di sekelilingnya ialah padang pasir yang sangat luas iaitu 鸣沙山(Míng shā shān). Ia terletak di daerah Dunhuang provinsi Gansu.

Mingsha shan Gansu

Jika datang ke sini anda boleh berangan-angan seolah berada di padang pasir di Timur Tengah.Disini anda boleh menaiki unta, gelongsor pasir dan macam-macam lagi. Jika anda kesini pastikan anda memakai krim pelindung matahari, cermin mata hitam dan boleh juga sediakan selendang bagi menutup muka kerana cuaca di sana agak panas tambahan pula dengan terik mentari.

Tips: Dari Lapangan Terbang Dunhuang/stesen kereta api anda boleh menaiki bas mini ke bandar. Tiket bas berharga 3 yuan seorang dan kemudian ambil bas dari Panxuan Road terus kesini, tambangnya hanya 1 yuan. Jika anda menaiki taxi kosnya lebih kurang 10-15yuan.

Zhangye Danxia Rainbow Mountain

Zhangye colourful mountain

Zhangye Danxia Rainbow Mountain ini juga dikenali sebagai ”the eye candy of Zhangye”. Ramai orang mengaguminya kerana tempat ini umpama sebuah lukisan yang bewarna-warni.

Danxia National Park

The Danxia National Park ini terletak berhampiran dengan bandar Zhangye,kira-kira 30 minit menaiki kereta di barat laut wilayah Gansu.

Waktu terbaik untuk datang ke sini ialah ketika waktu pagi dan senja ketika matahari terbenam kerana pada waktu ini perubahan warnanya lebih ketara dan lapisan kuning dan merah pada gunung tersebut akan kelihatan lebih terserlah.

Jade Dragon Snow Mountain

玉龙雪山

Anda tidak perlu untuk ke Switzeland untuk melihat gunung bersalji kerana di China juga ada!Terletak di daerah Lijiang Yunnan, Jade Dragon Snow Mountain menjanjikan anda permandangan yang menakjubkan.

Jade Dragon Snow Mountain

Permandangan yang indah disini seolah membawa anda jauh dari segala perkara yang mengusutkan minda!

Benarkan saya katakan, cukup dengan hanya datang ke China anda sudah seperti melancong ke serata dunia. Saya hanya beri contoh beberapa tempat sahaja, sesungguhnya masih banyak lagi tempat yang membuat anda kagum terhadap negara China ini. Apa lagi tunggu, jom ke China!

Negara China ini punya banyak perkara menarik untuk diteroka. Tanah yang luas ini sememangnya menyimpan 1001 kisah, kata orang tak kenal maka tak cinta jadi kami akan pastikan anda semua jatuh cinta dengan negara China!

Kesimpulan

Fakta menarik di China yang disenaraikan ini memberi fokus lebih kepada pengetahuan baru. Ia sekaligus membolehkan anda untuk memahi tentang China lebih mendalam.

Scroll to Top