4 Sebab Mengapa Subway Shanghai Adalah Yang Terbaik Di Dunia

Home » 4 Sebab Mengapa Subway Shanghai Adalah Yang Terbaik Di Dunia

Subway Shanghai adalah antara salah satu sistem keretapi bawah tanah yang terbaik di dunia.

Perkembangan pesat jaringan laluan dan sistem canggih terkini dalam sistem mereka sekaligus memenuhi keperluan setiap penduduk atau pengguna di Shanghai.

Shanghai
Bandar Shanghai

Sistem Subway Shanghai “First Class”

Dalam persediaan untuk menjadi tuan rumah bagi Temasya Olimpik di Beijing pada 2008, pelbagai perkembangan infrastruktur besar-besaran dilakukan di sepanjang bandar di sekitar pantai China.

Sejak itu, pelbagai pelaburan telah diperuntukkan kepada projek-projek pembangunan sistem keretapi bawah tanah atau subway di hampir semua bandaraya di China.

Sistem subway di China yang menjanjikan jaringan yang luas, harga berpatutan dan cekap telah memberikan satu alternatif yang terbaik kepada para pengguna. 

Bandar Shanghai juga tak terkecuali untuk mempunyai pelan pembangunan mereka tersendiri untuk terus berkembang dengan lebih pesat.

Disini ada beberapa sebab mengapa Sistem Subway Shanghai adalah yang terbaik:

#1 Murah, cepat dan cekap

Anda akan berasa seperti hidup di dunia masa hadapan apabila menaiki subway di China.

Kemajuan sistemnya yang amat pantas, kemudahan canggih terkini, serta keretapi yang moden dan selamat tentunya memberikan perkhidmatan yang selesa dan efisien kepada pengguna.

Keretapi bawah tanah atau subway adalah salah satu pilihan yang berpatutan di Bandar Shanghai untuk menuju ke satu destinasi dengan cepat.

Lingkungan kos untuk setiap perjalanan adalah sekitar 3-9 Yuan, iaitu dalam sekitar RM2 – RM6. (rujuk sini) Untuk urusan tiket, anda boleh membelinya dengan mudah di mesin yang disediakan di setiap stesen perhentian. Mesin tersebut juga menyediakan dua pilihan bahasa yakni Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris.

Ataupun anda juga boleh membeli satu kad seperti “TouchNGo”, iaitu “Shanghai Public Transport Card (SPTC) (交通一卡通 atau Jiāotōng yīkǎtōng) di kaunter dengan harga 20 Yuan sebagai deposit.

Kad ini boleh digunakan pada semua sistem pengangkutan awam seperti bas, feri, dan juga teksi. Selain itu, anda boleh menambah nilai kad ini dengan mudah di kaunter atau di mesin-mesin yang disediakan. Mudah kan?

kad shanghai

Bukan terhenti disitu sahaja, kelajuan subway di Shanghai juga amat laju.

Ia cuma mengambil masa dalam sekitar 3 minit dari satu perhentian ke perhentian yang lain. Berbanding 15-20 minit diperlukan untuk berjalan kaki atau menaiki teksi bagi jarak yang sama.

Panduan Ringkas

Sebelum itu, untuk peringatan kepada anda. Ketika mahu menaiki subway, anda perlu melepasi pemeriksaan kawalan keselamatan. Selepas itu boleh terus ke arah eskalator untuk menuju ke platform di bawah.

Di sana juga anda akan terlihat terdapat pintu berkaca berhadapan dengan landasan untuk menghalang pengguna daripada terjatuh ke bawah.

Kiraan masa untuk setiap pergerakan keretapi adalah menggunakan kiraan saat. Setiap keretapi akan mengikut waktu yang telah dijadualkan yakni dalam sekitar 3 ke 5 minit untuk berhenti di setiap perhentian.

Terdapat juga monitor yang mempamerkan waktu ketibaan keretapi yang seterusnya bersebelahan dengan tempat anda sedang beratur.

Namun jika anda terperangkap pada pintu automatik keretapi tersebut, jangan risau kerana terdapat sensor untuk membuka semula pintu tersebut sehingga tiada lagi sebarang halangan untuk menutup pintu.

#2 Sistem yang mudah dan mesra kepada pelancong asing

Sistem pengangkutan yang terbaik adalah sistem yang cekap dan mudah. Seperti di Shanghai, walaupun mempunyai jaringan laluan yang besar namun nilai mesra pengguna yang ditekankan memudahkan pengguna seperti penggunaan warna dan nombor bagi setiap laluan yang ditawarkan.

Stesen yang ingin dituju amat mudah untuk dicari dan hampir kesemua tanda menggunakan Bahasa Mandarin dan Inggeris.

Luas, pantas dan selesa

Susunan dan reka bentuk stesen keretapi bawah tanah ini juga amatlah asas dan mudah. Dimana setiap laluan keluar di berikan nombor dan mempunyai petunjuk yang amat jelas.

Jika anda masih ragu-ragu, anda juga boleh terus bertanya pada kaunter servis pertanyaan yang terletak di tengah-tengah stesen tersebut. Disana anda akan bertemu dengan seorang kakitangan berbaju t-shirt merah jambu yang sentiasa mesra dan mampu untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Pastinya setiap soalan anda akan terjawab.

Hampir kesemua stesen juga dilengkapi dengan kemudahan mesin air dan tandas.

Namun harus diingatkan bahawa budaya tandas di China amat jarang akan menyediakan kertas tisu didalam tandas mereka. Jadi, pastikan anda membawa keperluan asas anda setiap kali anda berada di luar.

Kesimpulannya, susunan dan sistem subway di Shanghai sememanganya amat mudah untuk anda fahami.

#3 Ia adalah sistem subway yang terluas di dunia!

Shanghai mempunyai jaringan sistem subway yang paling luas di dunia. Ia baru sahaja dibuka pada tahun 1995, dan menjelang tahun 2020 sahaja, jaringannya akan meliputi 506 stesen perhentian atau sejauh 804 kilometer.

Seperti contoh laluan 11,12 dan 13 dibuka pada tahun 2015 dan menyumbang kepada penambahan 27 stesen perhentian yang baru.

Kemajuan sistem subway Shanghai ini pastinya memberikan kemudahan yang maksimum kepada anda untuk bergerak walaupun anda berada di kawasan yang jauh seperti di luar pusat bandar.

Ini kerana ia menyediakan laluan yang mudah untuk para pelancong pergi ke tempat-tempat menarik serta memudahkan untuk penduduknya ke tempat bekerja dengan pantas.

peta-subway-shanghai
Untuk saiz penuh sila ke sini

#4 Akses mudah kepada rangkaian pengangkutan awam yang lain

Jika anda ingin menaiki keretapi, kapal terbang, ataupun teksi, Sistem Subway Shanghai mempunyai rangkaian yang luas untuk menghubungkan anda kesana.

Rangkaiannya yang sentiasa berhubung antara satu sama lain sehingga anda tidak perlu lagi kenderaan anda sendiri. Perhentian bas awam dan feri juga amat mudah untuk dicari dari stesen subway yang anda tuju.

Shanghai subway
Suasana di dalam subway Shanghai

Walaupun keadaan di stesen subway boleh menjadi sesak ketika waktu puncak, namun Shanghai masih berterusan untuk menambah nilai perkhidmatannya untuk para pengguna.

Semestinya sistem yang cekap dan murah ini memberikan satu nilai yang besar kepada para pengguna dalam kehidupan mereka. Pastinya bandar lain juga harus mengikut jejak pelaksanaan subway yang menyeluruh seperti di Shanghai ini.

Scroll to Top