Xinjiang: Syurga Dunia Yang Terluka

Home » Xinjiang: Syurga Dunia Yang Terluka

Sebaik sahaja menjejakkan kaki untuk melancong ke Xinjiang, perasaannya sungguh berbeza. Ianya tidak sama dengan daerah lain di China seperti Beijing,Yunnan, Xian misalnya.

Melancong  Ke Xinjiang, Melihat Sisi Lain Dunia

Perasaannya lebih seperti berada di Turki atau di negara Timur Tengah, di sini anda tidak akan lapar kerana dimana sahaja ada makanan halal kerana majoriti penduduk disini ialah muslim.

Mengapa Orang Xinjiang Berbeza?

Mereka tidak bermata sepet dan juga tidak menggunakan Bahasa Mandarin. Terdapat persamaan pertuturan bahasa diantara orang Ugyhur dengan orang Uzbek dan Turki. Selain itu, Bahasa Arab juga digunakan bagi memudahkan pemahaman Al-Quran.

Pemakanan orang Uyghur pula banyak berasas dari daging kambing dan biri-biri. Manakala, bekalan sumber karbohidrat datang dari roti. Boleh katakan sampai sahaja di Xinjiang sama seperti sudah masuk ke negara lain.

Lokasi Xinjiang China

Xinjiang(新疆) juga digelar  ”Timur Turkistan” kerana ia bersempadan dengan 9 buah negara iaitu China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan, Mongolia, Rusia, dan India.

Selamatkah Xinjiang?

Melancong ke Xinjiang pada asalnya membangkitkan banyak kerisauan kerana seperti yang sedia maklum muslim di Xinjiang sering ditindas dan tidak mendapat kebebasan beragama.

Berbekalkan niat untuk bermusafir mengenal islam di bumi China, saya dan seorang lagi rakan meletakkan sepenuhnya keyakinan dan tawakal untuk meneruskan perjalanan ini.

Sesiapa yang ingin merancang untuk melancong ke Xinjiang, anda boleh memilih untuk menaiki kapal terbang atau kereta api. Seperti kebiasaan tiket kereta api jauh lebih murah, saya menaiki kereta api selama 40 jam dari Beijing terus ke ibu kota Xinjiang iaitu Urumqi.

tiket kereta api
Tiket Kereta api

Rasai Pengalaman Hampir Dua Hari Di Dalam Kereta api!

Jika anda dari Malaysia ada beberapa alternatif yang boleh diambil antaranya beli tiket kapal terbang dari Malaysia ke daerah-daerah di China seperti Lanzhou, Beijing atau Guangzhou misalnya kemudian beli tiket kapal terbang ke ibu kota Xinjiang, Urumqi. Untuk jimat dan inginkan pengalaman berada didalam kereta api lebih dari 30 jam,anda juga boleh cuba menaiki kapal terbang ke China dahulu kemudian beli tiket kereta api.

Sebelum membeli tiket pastikan daerah yang anda pilih mempunyai perkhidmatan kapal terbang atau kereta api ke Xinjiang kerana bukan semua dearah ada penerbangan atau kereta api terus ke Xinjiang.

Untuk tips dan panduan membeli tiket kereta api boleh rujuk sini .

Xinjiang: Penjara Terbuka

Sebelum kereta api bertolak terdapat ramai polis yang masuk ke dalam koc dan memeriksa semua bag, pada waktu itu telefon ditangan juga diperiksa dan mereka memeriksa gambar-gambar yang diambil. Tidak dibenarkan mengambil gambar mereka.

Sebaik sahaja kereta api mula memasuki wilayah Xinjiang, stesen pertama berhenti di daerah Hami. Pada waktu ini sangat ramai polis masuk ke dalam koc dan memeriksa penumpang terutamanya etnik uygur yang memiliki wajah mirip orang Turki.

Etnik Uygur
Bersama orang Uygur yang ingin pulang ke kampung halaman

Disebabkan perjalanan kami memakan masa hampir 40 jam maka solat harus dilakukan di dalam kereta api. Seat kami ialah duduk dan bukannya baring yang lebih privasi, dan ia menjadi tempat laluan ramai orang. Sangat susah untuk solat kerana pekerja kereta api sentiasa lalu lalang dan kami juga dinasihati untuk tidak membaca quran.Akhirnya kami solat juga walau dalam ketakutan dan berharap tidak dipandang.

Menghargai Erti Kebebasan

Beberapa orang rakyat tempatan yang dalam perjalanan pulang ke Xinjiang dengan nada bimbang mengingatkan kami agar menyorokkan semua bentuk buku yang mempunyai kaitan dengan islam termasuk Al-Quran kerana kami mungkin ditangkap. Tidak mahu menimbulkan sebarang masalah, kami turuti semua pesanan mereka.

Sepanjang dua hari perjalanan didalam kereta api banyak mendengar cerita-cerita manusia dari pelbagai latar belakang termasuk berpeluang berkenalan dengan dua gadis yang dalam perjalanan pulang kampung halaman di Xinjiang sempena cuti musim panas iaitu Razia dan Belekits.

kereta api China
Suasana didalam kereta api

Mereka mulakan cerita mengapa dan sejak bila muslim di Xinjiang ditindas. Pada tahun 2008 berlaku serangan pengganas di daerah Kashgar, Xinjiang dan menurut laporan serangan ini dilakukan oleh orang Uygur. Dalam kejadian ini ada nyawa yang terkorban. Sejak peristiwa ini muslim di Xinjiang dikawal ketat oleh pihak penguasa.

Mereka menyambung cerita lagi ketika bulan puasa, orang islam tidak dibenarkan untuk berpuasa. Ketika waktu rehat cikgu akan memeriksa siapa yang tidak makan.Larangan menyekat orang Islam daripada melaksanakan ibadah puasa hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di Xinjiang.

muslim di Xinjiang

Bukan itu sahaja, dari segi pendidikan pula peluang bagi orang Xinjiang untuk memasuki universiti terkemuka sangat sedikit dan boleh dikatakan tiada.Kemasukan pelajar ke Universiti di China mengikut sistem kuota, contohnya Qinghua University hanya memberi satu tempat/ kuota buat orang Xinjiang. Bayangkan sebesar-besar wilayah Xinjiang, hanya satu tempat sahaja yang boleh mereka isi.

Sedikit emosi apabila mendengar cerita mereka, lalu saya lontarkan beberapa soalan antaranya tiada yang ingin memberontak dengan sekatan ini? Menurut mereka, ada tetapi apakan daya kerana sekali mereka bersuara pasti akan ditangkap.

Orang islam tidak dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut sebelum umur 50 tahun. Apabila ada pemeriksaan keselamatan tudung wajib dibuka, bagi kami foreigner juga dikenakan peraturan yang sama. Ketika diminta untuk membuka tudung, ikutkan sahaja kerana itu memang peraturan mereka, tetapi tegaskan yang kita hanya boleh buka tudung didalam bilik dan hanya perempuan sahaja boleh periksa. Berang juga kami apabila di lapangan terbang mereka tetap mahu kami membuka tudung ditempat awam dan memeriksa seluruh anggota badan berkali-kali seperti kami membawa bom!!

Jika di daerah Kashgar,kesemua pintu masuk kedai mempunyai alat pemeriksaan keselamatan termasuk kedai makan, bazaar mahupun kedai pakaian.Senang cakap kemana-mana sahaja anda pergi, semua harus melepasi pemeriksaan keselamatan.

Kami yang hanya sebagai pelancong disana juga sudah emosi dengan sekatan yang dijalankan terutamanya apabila buku kami didalam beg juga diperiksa isi kandungannya. Oh ya, passport harus dibawa kemana sahaja anda pergi kerana polis boleh secara tiba-tiba menahan anda dan meminta passport.

penindasan islam di xinjiang

Masjid hanya untuk lelaki, perempuan akan ditangkap jika ke masjid. Masjid pula hanya dibuka waktu solat dan solat ditempat awam akan ditangkap.

Di Xinjiang sahaja berlaku kes seperti ini, tindakan China ini boleh disamakan dengan penjajahan Israel ke atas Palestin dan kekejaman Burma ke atas Muslim Rohingya. Mungkin disebabkan dasar tertutup kerajaan China maka masyarakat dunia tidak berapa tahu kisah muslim di Xinjiang.

Disini tiada erti kebebasan bersuara! tiada erti kebebasan beragama!

Nikmat Islam & Iman terlalu besar untuk kita sia-siakan. Bayangkan mereka ingin melaksanakan islam yang sebenar-benarnya tetapi dihalang. Ini ialah ujian mereka, dan Aku yakin ada bahagian yang istimewa telah Allah janjikan buat mereka. Untuk kita, ujian kita ialah untuk memaknai dan merasai kemanisan Islam itu sendiri.

Rasailah bahawa nikmat Islam yang kita peroleh dengan mudah ini terlalu tinggi nilainya, terlalu besar harganya, hargailah selagi mana kita diberi kesempatan.

Urumqi: Ibu Kota Xinjiang

Cadangan tempoh masa : 3 hari
Tempat menarik :
南山牧羊(Nan Shan Grassland),天池( Heavenly Lake),大巴扎(Grand Bazaar),维吾尔族博物馆( Uygur Musuem)

Urumqi ini ialah ibu kota wilayah Xinjiang. Urumqi di dunia merupakan bandar yang terletak paling jauh dari laut , jadi sumber air disini agak sukar didapati.

Sampai ke Urumqi, belum kira sampai Xinjiang lagi. Sebab apa? Sebab 80% penduduk disini ialah kaum Han( etnik majoriti China). Kerajaan China telah secara besar- besaran membawa masuk orang Han ke dalam Xinjiang demi mengasimilasikan kebudayaan China disini. Ada yang bertugas didaerah lain misalnya dihantar untuk bertugas di sini dan akhirnya terus menetap disini.

Pada mereka untuk mencapai kemajuan, orang islam di Xinjiang juga harus ikut gaya pemikiran orang Han. Ramainya bilangan orang Han di Urumqi ni telah menenggelamkan etnik minoriti muslim seperti Bangsa Uygur.

Di Urumuqi, kawalan tidak seketat daerah lain, tetapi passport tetap perlu sentiasa dibawa.

Kesemua tempat tarikan di Xinjiang ni terletak jauh yang memerlukan anda menggunakan perkhidmatan agen pelancongan.Jadi sekiranya anda ingin melancong ke Xinjiang,jangan risau kerana kebanyakan hostel atau hotel yang anda duduki biasanya ada menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong.

Grand Bazaar

Grand Bazaar

Grand Bazaar ini terletak di tengah pusat bandar. Untuk kesini anda boleh menaiki pengangkutan awam seperti bas dan boleh juga menaiki teksi. Grand Bazaar di bandar Urumqi ini persis bazaar-bazaar di Turki yang banyak menjual buah-buahan kering, wangian dan tudung.

Grand Bazaar Urumqi
Bazaar Kashgar

Heavenly Lake

Heavenly Lake atau 天池(Tiānchí) ini merupakan tasik yang dikelilingi pokok alpine. Tasik yang terletak 1907 meter tinggi dari aras laut ini menjadi tempat yang wajib anda lawati jika melancong ke Xinjiang. Tasik ini dilatari dengan gunung yang bersalji yang menjadikan tempat ini begitu indah umpama syurga dunia,nyaman.

Anda perlu meluangkan masa sehari ditempat ini kerana perjalanan dari bandar Urumqi kesini mengambil masa lebih kurang 2 jam.

Heavenly Lake
Heavenly Lake
Permandangan disini persis lukisan
Tianchi Xinjiang
melancong ke xinjiang

Untuk sampai kesini ada beberapa cara yang boleh anda pilih:

  • Menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong

Ini ialah cara yang paling mudah dan selamat. Atas faktor keselamatan pada waktu itu saya memilih untuk mengikuti agensi pelancongan dengan bayaran 250 yuan termasuk tiket masuk.

  • Menaiki pengangkutan awam

Ambil bas ke Fukang County (15 yuan) kemudian anda boleh menaiki van di Fukang Bus Terminal dengan bayaran 5 yuan ke Tianchi. Jangan risau ada banyak bas dari Urumqi ke Fukang.

Tianchi Urumqi

Nan Shan Grassland

Nan Shan Grassland ialah syurga alam semula jadi yang menjadi tempat kunjungan wajib bagi pelancong yang datang ke Urumqi,Xinjiang. Jika anda kesini ,anda dapat melihat banyak khemah atau yurt yang merupakan rumah bagi suku kaum Kazakh.

Selain boleh berlari dan menjerit sepuas hati di dataran rumput yang luas ini,disini juga anda boleh menunggang kuda, mendaki gunung serta berinteraksi dengan masyarakat Kazakh yang mendiami kawasan ini.

Nanshan Grassland Xinjiang
Nanshan Grassland Xinjiang
Grassland Xinjiang

Terletak lebih kurang 75 km dari bandar Urumqi, anda boleh kesini dengan teksi mahupun bus awam. Dari bandar Urumqi anda boleh menaiki bas terus ke Nanshan Pasture, bas beroperasi dari jam 9 pagi 7 malam dan ia akan bertolak setiap satu jam.

Luangkan masa anda disini untuk menghayati keindahan dan kesempurnaan alam ciptaanNya, hilangkan segala kekusutan di minda dan nikmati kesegaran udara disini!

Makanan tradisional
Kami dihidangkan dengan makanan tradisional kaum Kazakh ketika bertamu dirumah mereka
Pakaian tradisional kaum Kazakh
Pakaian tradisional kaum Kazakh
Nanshan
Disini juga terdapat air terjun
urumqi grassland
Padang rumput yang luas

Kashgar : “The Real Taste Of Xinjiang”

不到喀什,不算到新疆
Ramai orang cakap kalau tidak datang ke Kashgar masih belum kira melancong ke Xinjiang. Maka, datang ke Xinjiang WAJIB pergi ke Kashgar.

Dimanakah terletaknya Kashgar?

peta china
Kashgar yang berwarna merah didalam peta

Kashgar ialah daerah paling barat di China.90% penduduk disini ialah etnik Uygur iaitu muslim. Kota Kashgar ini ialah kota yang kaya dengan sejarah, ia menyimpan khazanah sejarah laluan sutera satu masa dahulu. Hasil tinggalan laluan sutera itu masih dapat dirasai lagi kerana kebanyakan kedai-kedai disini kesemuanya masih menjual barang dagangan seperti kain-kain sutera, buah-buahan kering, barang antik dan banyak lagi.

Grand Bazaar

Kawalan polis disana lebih ketat berbanding Urumqi. Balai polis ada disetiap 200m jalan. Kadang-kadang beg anda akan diperiksa, buku didalam akan diperiksa,polis akan memandang anda dengan pandangan seperti anda seorang pengganas. Tidak mengapa lemparkan sahaja senyuman!

Cadangan tempoh masa: 2/3 hari
Tempat menarik : 卡拉库里湖( Karakul Lake) , Idkah Mosque, Bazaar , Kashgar Old Village

Idkah Mosque

Terletak di tengah bandar Kashgar ia menjadi tempat wajib untuk dikunjungi bagi semua pelancong yang datang ke Kashgar. Seperti yang sedia maklum kaum wanita tidak dibenarkan untuk menunaikan solat di masjid dan masjid juga tidak dibuka setiap masa.

Kami mendapat maklumat yang masjid ini akan dibuka dari jam 5 petang hingga 7 malam sahaja,lalu sebaik sahaja sampai di Kashgar kami terus bergegas menuju ke masjid ini. Disini waktu siangnya panjang, lebih kurang jam 11 malam langit baru gelap. Betapa sedihnya apabila sampai di masjid ini kami harus membayar tiket masuk 23 yuan untuk pelajar walaupun kami muslim.

Masjid Idkah
Masjid Idkah

Suasana didalam masjid sangat suram umpama sebuah bangunan tinggal, tiada roh, umpama muzium kosong yang tidak berpenghuni. Begitukah masjid yang sepatutnya menjadi pusat perkembangan islam selain tempat ibadah? Sebelum masuk kami juga diingatkan agar hanya melawat dan tidak dibenarkan solat.

Idkah Mosque
Suasana suram didalam masjid yang tidak berpenghuni
Idkah Mosque
Suasana di perkarangan masjid yang sunyi seolah tidak berpenghuni

Beberapa tahun sebelum ini,dataran luar masjid biasanya dipenuhi umat Islam yang hendak bersolat, terutama pada Hari Raya Puasa, tetapi kini tiada lagi.Pada tahun ini tidak ramai yang hadir untuk solat sunat Aidilfitri. Penduduk memberitahu ianya disebabkan kawalan ketat dan sekatan pemeriksaan dilakukan oleh pihak kerajaan.

Masjid Idkah
Setahun lepas rakan kami boleh masuk ke masjid ini tanpa perlu membayar tiket. Kredit: fb Aiman Abd Aziz

Ayuh panjatkan doa buat saudara kita disana agar suatu hari mereka dapat mempraktikkan islam dengan bebas dan membawa nama islam dengan penuh izzah!

Karakul Lake

Karakul Lake
Permandangan tasik dilatari gunung bersalji

Tasik ini terletak di ketinggian 3600 meter di paras laut merupakan tasik paling tinggi di Banjaran Pamir. Untuk sampai ke sini anda harus menempuh perjalanan sejauh 196 km melalui Karakoram Highway dari Bandar Kashgar. Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam.

Karakul Lake
Anda boleh menunggang kuda disekitar tasik
Karakul Lake

Perjalanan selama 6 jam ternyata tidak membosankan kerana sepanjang perjalanan , mata anda akan disajikan dengan landskap permandangan alam yang luar biasa. Untuk pengetahuan anda Kashgar juga terletak disempadan Pakistan dan lebuh raya ini adalah lebuh raya antarabangsa yang menghubungkan China dan Pakistan. Anda memang tidak boleh lepaskan peluang ini jika melancong ke Xinjiang.

Karakoram Highway
Karakoram Highway
Karaokoram Highway

Tiada pilihan lain untuk kesini selain dengan mengikuti pemandu pelancong kerana tempat ini sangat jauh dari semua kemudahan. Semasa kami kesini terdapat beberapa jalan yang runtuh dihanyut air akibat banjir yang baru berlaku. Kos kesini adalah sebanyak 200 yuan.

Kashgar Old Village

Kashgar Old Town
Setiap bangunan disini mempunyai nilai estetika yang tersendiri

Sampai kesini anda akan dapat melihat kanak-kanak berkejar-kejaran, nenek tua duduk berehat diruang tamu sambil mengait benang,lelaki tua menghisap rokok sambil memotong daging dibelakang rumah dan pelbagai lagi ragam masyarakat disini. Jika hanya melihat gambar mungkin akan ada yang menganggap ia adalah perkampungan di Iran, tetapi tidak ini masih di China!

Kashgar Old Town

Jalan disini sedikit berdebu kerana terdapat caravan yang membawa unta dari padang pasir ke kawasan ini.Sampai kesini umpama membawa anda pulang ke zaman kegemilangan laluan sutera.

Kebanyakan bangunan disini dibina semula atas faktor keselamatan kerana bangunan-bangunan lama berbahaya dan boleh mengancam nyawa penduduk jika berlaku gempa bumi.

Kashgar Old Town
Suasana perumahan di bandar lama Kashgar
Anak-anak Xinjiang

Disisi lain, ramai juga penduduk tempatan yang kecewa dengan pembinaan semula kawasan ini kerana merasakan kerajaan mungkin ada niat lain dalam usaha untuk melupuskan sejarah serta mengawal ketegangan etnik di daerah ini.

Bazaar

Di Kashgar ini terdapat banyak bazaar yang mula beroperasi seawal 10 pagi hingga waktu malam. Sebut sahaja “bazaar” pasti orang tempatan akan membantu anda menunjukkan arah bazaar.

Disini jangan lupa untuk dapatkan barangan istimewa Xinjiang iaitu kismis kering, pelbagai jenis kacang serta buahan kering.

Dihadapan masjid Idkah ada pasar malam pada setiap hari, jangan lepaskan peluang untuk merasa pelbagai makanan masyarakat setempat yang sedap dan pastinya halal!

Kashgar Night Bazaar
Itik panggang 5 yuan satu
Tembikai susu Xinjiang
Datang ke Xinjiang wajib rasai kemanisan buah tembikai susu
pasar malam Kashgar
Cucuk-cucuk berharga 1 yuan satu, sangat murah dan sedap!
pasar malam Kashgar
Sup wantan 5 yuan satu mangkuk yang sangat banyak.

Kembara dibumi Xinjiang berakhir di Kashgar. Sepanjang pengembaraan niatku hanya satu iaitu ingin merasai penderitaan muslim disini, menyelami pahit manis masyarakat disini. Kita adalah tentang apa yang kita niatkan.

Seperti surat yang beralamat pasti akan sampai ke destinasinya dengan alamat yang betul. Tidak kira ke mana sahaja anda pergi pasanglah niat yang terbaik.

Jom Melancong ke Xinjiang!

Xinjiang bukan sahaja menawarkan anda permandangan alam semula jadi yang sangat indah bahkan kisah rakyat didalamnya yang juga menjadi faktor mengapa anda wajib masukkan Xinjiang dalam bucket list! Jangan takut, setiap perjalanan ada risikonya, jangan lupa berdoa kerana Allah sentiasa bersama kita!

Perasaan selama berada di bumi Xinjiang ini bercampur baur, asyik dengan keindahan alam disini tetapi pada masa yang sama sedih juga melihat penderitaan orang islam disini. Sebab itu saya katakan Xinjiang ialah “syurga dunia yang terluka”.

Selain daripada Urumqi dan Kashgar, Xinjiang memiliki banyak lagi tempat yang menarik seperti Turpan, Yili, Kanas yang mendapat jolokan Swiss China.

Teruskan mengembara, masih banyak khazanah alam ini yang boleh diteroka serta masih banyak sejarah manusia yang boleh dibongkar! Dalam masa yang sama jangan lupa untuk mendoakan saudara kita diseluruh dunia.

Semoga bermanfaat!

Scroll to Top