Tempat Menarik di Yunnan Serius Mengujakan!

Home » Tempat Menarik di Yunnan Serius Mengujakan!

Mencari tempat menarik di Yunnan untuk dilawati? Kami senaraikan tempat-tempat menarik di Yunnan di bawah yang wajib anda lawati. Tidak banyak bahan bacaan mengenai tempat menarik di Yunnan dan ini adalah salah satu inisiatif Limau Mandarin untuk menyampaikan kepada anda.

Yunnan(云南) adalah sebuah provinsi dibahagian selatan China. Provinsi yang bersempadan dengan Vietnam,Laos dan Burma ini kaya dengan kepelbagaian etnik dimana lebih separuh daripada kaum etnik di China menghuni tanah Yunnan ini.

Tempat Menarik Yunnan Wajib Dilawati

Bukan itu sahaja, tempat menarik di Yunnan juga mempunyai permandangan indah yang saujana mata memandang,gabungan dua elemen ini telah menjadikan Yunnan antara salah satu lokasi perlancongan yang popular di China.

Tempat menarik di Yunnan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia dengan keindahan kepelbagaian etnik, budaya dan keindahan alam sekitar.

Peta China

Disebabkan Yunnan terdiri daripada pelbagai etnik, cara panggilan lelaki dan perempuan juga berbeza. Saya berkesempatan untuk belajar beberapa perkataan baru!

Jika di Kunming, perempuan akan dipanggil Ashima dan lelaki akan dipanggil Ahei, ianya sempena dengan lagenda Ashima yang sama hebat kisahnya seperti kisah lagenda Mahsuri di Malaysia.

Kalau di daerah Lijiang pula perempuan akan dipanggil 胖金妹(Pàng jīn mèi) yang bermaksud perempuan gemuk kerana di Lijiang wanita yang gemuk itulah yang cantik manakala lelaki akan dipanggil 胖金哥(pàng jīn gē) yang bermaksud lelaki gemuk.

Jika lelaki di Lijiang ingin menawan hati wanita disana mereka haruslah berbadan sedikit gempal dan memiliki kulit sedikit gelap. Kepelbagaian etnik di Yunnan inilah menjadikan Yunnan berbeza dari tempat lain kerana ia memiliki keunikannya yang tersendiri.

etnik yunnan

Kunming: Setiap hari seperti musim bunga

Kunming ialah ibu kota Yunnan,jika anda menaiki kapal terbang untuk ke Yunnan,dari tingkap kapal terbang lagi anda akan dapat melihat kehijauan bumi Yunnan.

“Everyday is spring in Kunming”,itulah ungkapan yang menggambarkan keindahan bumi Kunming, hempusan dingin dan terik mentari menjadikan suasana di Kunming setiap hari umpama musim bunga.

Keindahan Kota Kunming

Apa yang menarik tentang Kunming? Selain tiada perbezaan waktu antara Malaysia dan Kunming(GMT+8),cuaca di Kunming juga dingin setiap hari dengan purata suhu 14 celcius menjanjikan anda suasana percutian yang menakjubkan.

Apa lagi yang menarik? Syarikat penerbangan murah AIR ASIA juga kini menawarkan penerbangan ke Kunming dengan tambang serendah RM400. Perjalanan hanya mengambil masa selama 4 jam.

Apa menarik di Kunming?

Kunming mempunyai banyak tempat yang menawarkan panorama yang menakjubkan.

Yunnan stone forest

Yunnan stone forest ialah salah satu tarikan utama di Yunnan. Ia juga dikenali sebagai 石林(Shílín),terletak kira-kira 78 kilometer dari Kunming dan mendapat gelaran ”first wonder under the sun” kerana ianya dikatakan telah wujud sejak 200 juta tahun dahulu.

Stone Forest

Yunnan Stone Forest ini sangat besar, jadi sekiranya anda datang ke sini pastikan anda memakai kasut yang sesuai kerana kawasannya juga sedikit berbukit yang memerlukan anda mendaki. Tetapi jangan risau, bukanlah sesukar yang anda bayangkan,perlahan-lahan berjalan sambil menghirup udara dan nikmati permandangan yang indah!

Yunnan Stone Forest
Tiket Yunnan Stone Forest
Tiket masuk ke Yunnan Stone Forest
Permandangan Yunnan Stone Forest
Permandangan di Yunnan Stone Forest

Jika anda kesini jangan lupa untuk singgah melihat batu Ashima. Menurut lagenda Ashima ialah gadis cantik dari kaum etnik Yi,dibesarkan dalam keluarga miskin dan diminati oleh ramai lelaki. Cintanya terhadap seorang lelaki China bernama Ahei tidak kesampaian kerana ada lelaki lain yang ingin membunuhnya kerana gagal mendapatkannya. Oleh kerana di hutan batu inilah dikatakan tempat terakhir Ashima dijumpai,maka Ahei sering kesana apabila dia merindui Ashima.

Jadi,jika anda kesana jangan hairan jika ramai orang memanggil anda ‘Ashima’ kerana ia bermaksud perempuan cantik.

Ashima
Batu tersebut yang mempunyai bentuk seperti seorang wanita sedang menggalas bakul dibelakang menjadi tugu memperingati Ashima

Apabila anda kesini juga anda akan lihat sangat ramai orang China yang akan mengusap dan mencium batu-batu disitu kerana mereka percaya dengan mengusap batu tersebut akan dipanjangkan umur. Orang China sangat fanatik terhadap sesuatu perkara atau barangan yang dipercayai dapat memanjangkan umur mereka, maka tidak hairanlah jika ada yang sanggup bersesak-sesak demi memegangkan barangan yang dapat melanjutkan usia mereka.

Tips: Pengangkutan awam untuk ke Yunnan Stone Forest adalah dengan menaiki bas khas dari Yongpeing Road atau menaiki kereta api dari Kunming Railway Station.

Jiu Xiang Scenic Region

Destinasi seterusnya adalah Jiu Xiang Scenic Region.Apa menariknya tempat ini? Jiu Xiang dikenali sebagai “ Home of Karst Cave” yang wujud sejak 600 juta tahun dahulu terdiri daripada lebih kurang 100 gua batu kapur.

Bukan itu sahaja,anda juga dapat melihat sungai dan air terjun dari dalam gua.Satu tips, sekali lagi anda harus memakai kasut yang sesuai kerana anda perlu banyak berjalan, naik turun tangga untuk menghabiskan perjalanan sepanjang berada di gua. Semasa saya ke sini, sakit jugalah kaki berjalan. Disebabkan perlu berjalan jauh, disini disediakan perkhidmatan mengangkut orang bagi yang tidak larat menghabiskan perjalanan terutamanya bagi warga emas.

Jiuxiang
Suasana didalam gua

Jika anda datang bersama orang tua, saya tidak sarankan untuk kesini tetapi jika bersama kawan-kawan Jiu Xiang ialah destinasi wajib untuk dikunjungi.

Didalam gua ini terdapat banyak stalaktik dan stalakmit yang cantik ditambah pula serinya dengan cahaya neon yang bewarna-warni menjadikan permandangan didalam gua ini sangat memukau.

Jiuxiang
Jiuxiang Scenic Region

Tips: Jiuxiang Scenic Region ini terletak berhampiran dengan Yunnan Stone Forest,anda boleh menyewa kereta untuk pergi kedua tempat ini sekaligus.

Masih banyak lagi tempat menarik di Kunming yang boleh dilawati, namun disebabkan pada waktu itu saya akan ke daerah lain jadi saya hanya pergi ke dua tempat ini sahaja.

Selain Kunming, daerah-daerah lain di dalam Yunnan juga menawarkan banyak lagi tempat yang menarik dengan permandangan menakjubkan untuk dilawati.

Lijiang: Keindahan syurga dunia

Lijiang terletak lebih kurang 320 kilometer dari ibu kota Kunming.Lijiang ialah satu tempat yang menarik kerana kesegaran udaranya,keindahan permandangan gunung yang bersalji serta keindahan landskap asli yang masih belum disentuh.

Jade Dragon Snow Mountain

Di China gunung ini dipanggil 玉龙雪山(Yùlóng xuěshān).Anda perlu tahu nama cina bagi tempat yang anda lawati kerana kebanyakan orang cina tidak boleh berbahasa Inggeris. Jika anda ke Lijiang gunung salji ini adalah tempat wajib untuk anda lawati. Walaupun pas masuk ke tempat ini sedikit mahal sekitar 230 yuan tetapi percayalah ia sangat berbaloi.

Anda tidak perlu mendaki gunung ini kerana pas masuk ke tempat ini sudah termasuk shuttle bus yang akan membawa anda ke stesen kereta kabel (cable car) yang berada di ketinggian 3356 meter.Jangan lupa untuk memakai pakaian yang tebal kerana suhu di atas gunung tersebut agak rendah ditambah pula salji tebal yang menutupi sebahagian gunung.

Jade Dragon Snow Mountain

‘Cable car’ tersebut akan membawa anda hingga ke ketinggian 4506 meter dan ia digelar ”The Highest Ropeway in The World” Sediakan kamera anda untuk merakam setiap sudut permandangan yang menakjubkan.

Jade Dragon Snow Mountain
Jade Dragon Snow Mountain

Satu perkara yang harus diberi perhatian ialah apabila berada di puncak gunung anda berkemungkinan akan mendapat ”altitude sickness” iaitu kekurangan bekalan oksigen. Jangan kedekut untuk membeli oksigen serta menyewa jaket, di puncak gunung tersebut terdapat banyak kiosk yang menjual oksigen dengan harga serendah 50 yuan.

Impression Lijiang

Jika sudah ke Jade Dragon Snow Mountain, jangan lepaskan peluang untuk menonton persembahan yang memaparkan tradisi dan kehidupan kaum etnik di Yunnan.

Dengan berlatarkan gunung salji persembahan yang memakan masa selama satu jam setengah ini sangat mengujakan. Anda akan dapat melihat lebih kurang 400 orang penari akan menari dan menyanyi dengan pakaian tradisional mereka dan ada juga yang membuat persembahan sambil menunggang kuda dan bermain drum.

Ketika anda menonton persembahan ini, anda akan diberi topi untuk dipakai kerana pancaran matahari yang agak kuat dan jangan lupa untuk memakai krim pelindung matahari kerana sinaran UV di kawasan pergununungan ini agak tinggi.

Impression Lijiang
Pentas bewarna merah yang berlatarbelakangkan gunung bersalji
Impression Lijiang
Impression Lijiang

Waktu persembahan

Setiap hari: 10:30 – 12:00/13:30 – 15:00

Rujukan: Lijiang Travel

Baishui River

Turun sahaja dari Snow Mountain anda boleh terus ke Baishui River secara percuma, ia berhampiran dengan laluan kereta kabel.

Baishui River ini ialah hasil dari pencairan ais gunung salji yang saya nyatakan diatas tadi. Menyelusuri sungai Baishui ini membuat mata anda tidak boleh berkelip dek kerana keindahan permandangannya,kesegaran airnya dan ketenangan persekitarannya.

Tidak pernah lagi saya lihat tempat secantik ini walaupun saya telah mengembara ke banyak tempat. Permandangan disini umpama syurga dunia.Ambil masa anda disini, pejam mata dan hirup udaranya!

Seperti firman Allah dalam Surah Al-Mulk ayat 3:”Tidak akan kamu melihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat?”.Luang masa anda disini dan rasai keindahan alam ciptaan-Nya.

Disini saya kongsikan beberapa gambar yang diambil semasa kesana.

Lijiang
Airnya yang bersih dan dingin
Lijiang
Suasana yang tenang dan mendamaikan
Lijiang,Yunnan
玉龙雪山
Jade Dragon Mountain
Jade Dragon Snow Mountain
玉龙雪山

Lijiang Old Town

Lijiang Old Town adalah salah satu tapak warisan dunia UNESCO. Disini kita dapat melihat gabungan landskap dari suku kaum Han dan Naxi. Bangunan-bangunan disini sangat klasik dan mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

Lijiang Old Town
Keindahan kota lama Lijiang di kaki gunung bersalji

Untuk lebih menikmati keindahan tempat ini, anda harus berada disini pada waktu siang dan juga pada waktu malam kerana panorama pada kedua waktu ini berbeza. Berjalan di deretan bangunan kedai lama sekitar bandar ini seolah-olah anda sedang menyelusuri sejarah kota ini.

Terdapat banyak kedai menjual pelbagai barangan cenderahati disini. Anda juga dapat melihat telatah penjual ada yang menyanyi dan menari sambil berjual. Disini juga terdapat kedai makan halal, jadi usah risau!Jika anda membeli-belah disini,jangan segan silu untuk tawar-menawar,pekedai disini kebanyakannya mesra pelancong.

Satu barang yang wajib anda beli jika sampai ke Yunnan ialah kopinya. Yunnan terletak di daerah pergunungan tinggi dan kaya dengan hasil bumi. Kopi ialah salah satu hasil bumi yang popular di Yunnan.

98% kopi yang diminum oleh penduduk China datangnya dari Yunnan. Keunikan suhu dan geografi tanah Yunnan menciptakan rasa tersendiri pada kopinya,ianya pekat tetapi tidak pahit serta aromatik tetapi tidak memuakkan. Anda boleh membelinya sebagai buah tangan untuk keluarga serta sahabat di Malaysia. Di Lijiang Old Town ini banyak kedai yang menjual kopi Yunnan ini, jadi jangan lupa untuk dapatkannya!

Old Town Lijiang
Lijiang Ancient Town
Kota Lama Lijiang
Lijiang Old Town
Kopi Yunnan
Kopi Yunnan dengan pelbagai perisa yang sangat sedap

Pergilah ke Tempat Menarik di Yunnan

Tempat menarik di Yunnan yang kami senaraikan di atas merupakan tempat yang dilawati oleh saya sendiri dan pengalamannya sangat mengujakan.

Semoga sedikit tips yang saya kongsikan ini dapat membantu anda yang ingin merancang perjalanan ke tempat menarik di Yunnan. Kepada yang masih mencari destinasi pelancongan untuk merehatkan minda, usah berfikir lagi Yunnan lah tempatnya!

Klik sini untuk 7 tempat menarik di China.

Scroll to Top