Tembok Besar Negara China
Tembok Besar Negara China atau lebih dikenali sebagai The Great Wall of China merupakan salah satu daripada 7 keajaiban dunia yang masih teguh berdiri walaupun usianya melebihi ribuan tahun. Pada mulanya tembok besar ini dibina untuk menghalang tanaman mereka dari dicuri oleh kaum nomad yang tinggal di daerah Mongolia. Kemudian QinshiHuang menyambung pembinaan tembok besar ini sebagai benteng pertahanan militari yang terpanjang sekali.
Biasanya bila kita melihat struktur bersejarah yang hebat seperti ini, pastinya kita berasa kagum dan teruja. Hal ini kerana, ianya adalah satu peninggalan tamadun yang memang gemilang dan hebat. Akan tetapi kita perlu ingat struktur struktur hebat seperti ini , sebenarnya adalah satu lambang kezaliman pemerintahan pada ketika itu. Mengapa saya berkata demikian? Kerana ianya dibina di atas darah dan air mata manusia secara paksaan.
Untuk membina struktur Tembok Besar ini, kita tidak pasti berapa ramaikah jiwa manusia yang dikorbankan. Mungkin puluhan ribu malah lebih dari itu. Mereka yang terbunuh di sebabkan oleh kebuluran, penyakit, dan seksaan dari raja yang zalim.
Dan seperti yang kita sedia maklum, setiap kali buruh-buruh paksaan yang terbunuh ketika membina tembok ini, mayat mereka akan ditimbus bersama binaan tembok besar ini. Dalam erti kata yang lain, tembok besar ini adalah satu tanah kuburan yang terpanjang sekali di dunia. Kuburan yang melambangkan satu bentuk penindasan yang tidak boleh diterima pakai oleh akal manusia.
Kata Professor Muhammad Naquib Al-Attas
Dalam salah sebuah bukunya, beliau mengatakan bahawa, bangunan bangunan yang hebat sebenarnya bukan menunjukkan kehebatan tamadun, tapi ianya menunjukan semakin runtuhnya akhlak manusia dan semakin kejamnya sifat manusia. Dalam erti kata yang lain, semakin hebat bangunan bangunan struktur yang di bina oleh manusia ini, semakin rendahnya akhlak dan budi pekerti manusia.
Cuba anda fikirkan bangunan lain yang melambangkan kezaliman pemerintahan selain daripada tembok besar Negara China? Ya, tepat sekali. Piramid di Mesir dan Taj Mahal di India. Arkitek yang membina Taj Mahal di India dipotong tangan mereka supaya tidak ada bangunan yang setanding dengannya.
Bangunan yang melambangkan kasih, cinta yang suci Shah Jehan kepada Mumtaz sebenarnya merupakan lambang kezaliman yang kita tidak tahu. Begitu juga pembinaan Piramid di Mesir, mereka dipaksa untuk membina piramid sehingga puluhan ribu manusia terkorban akibat kebuluran.
Ianya berbeza dengan tamadun Islam. Jika dilihat tamadun islam, ianya tidak meninggalkan bangunan bangunan yang gah untuk menjadi kebanggaan kepada umat islam. Walaupun kita sedia maklum, tembok ini dibina untuk pertahanan. Namun Islam tidak akan menzalimi manusia, dan menggunakan penderitaan manusia untuk membina satu kemegahan untuk di jadikan sebagai kebanggaan. Sebab itu kita tidak nampak mana mana peninggalan sejarah dalam islam seperti bangunan bangunan hebat seperti Great Wall ini. Tetapi yang ditinggalkan islam adalah budi, akhlak, seni, bahasa, nilai kemanusian yang sebenar dan sebagainya.
Mudah mudahan setiap kali kita datang ke tembok besar ini terutamanya umat islam rakyat Malaysia khususnya, agar melihat tembok besar yang gah ini dari sudut pandang kemanusian. Hal ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri kita semua dan timbul kemahuan untuk menegakkan keadilan. Selain itu juga, rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menegak satu pemerintahan yang adil dan bebas dari eksploitasi.
sumber: Prof. Dr. Hafidzi Mohd Noor