Sumbangan Lelaki Ini Sangat Besar Dalam Peradaban China dan Anda Wajib Kenal Siapakah Dia

Konfusius atau Kong Zi dianggap sebagai guru pertama bagi bangsa Cina. Sumbangannya yang amat besar dalam pendidikan dan pembentukan masyarakat yang bertatasusila.

Kong Zi merupakan seorang tokoh ulung falsafah China yang terkenal. Nama sebenar Kong Zi ialah Kong Qiu (孔丘) tetapi lebih dikenali sebagai Kong Zi (孔子: Master Kong) atau Kong Fu Zi (孔夫子 :Grand Master Kong).

Konfusius: Guru Pertama Bangsa Cina

Beliau lahir pada tahun 551 S.M. di negeri Lu yang kini dikenali sebagai Wilayah Shandong.

Konfusius
Kong Zi merupakan seorang tokoh ulung falsafah China yang terkenal.
map china
Konfusius berasal dari Shandong yang terletak di barat China

Ayah Kong Zi bernama Shu-Liang He, merupakan seorang majistret dan pahlawan yang terkenal. Ibunya bernama Yan Zhengzai (颜徵在).

Ketika beliau berumur 3 tahun, ayahnya telah meninggal dunia dan sejak itulah beliau dijaga oleh ibunya.

Ia juga mendapat gelaran Xian Shi (先师) yang bermaksud Guru Pertama dan Wan Shi Shi Biao (万世师表) yang bermaksud Model Guru Sepuluh Ribu Tahun.

Ajaran Konfusius

Ajaran Konfusius berasal dari perkataan Ru Jia (儒家) yang bermaksud agama dari orang-orang yang yang lembut hati, terpelajar dan berbudi luhur. Ajaran ini merupakan susunan falsafah dan etika yang mengajar bagaimana manusia bertingkah laku.

Ajaran Konfusius yang telah mempengaruhi kehidupan bangsa Cina

Ajaran-ajaran Konfusius telah mempengaruhi kehidupan sebahagian besar kebudayaan China baik kehidupan berumah tangga, sosial ataupun politik. Walaupun ajaran Konfusius telah menjadi suatu ideologi di China, namun ajaran beliau tidaklah dapat dianggap sebagai agama.

Peranan Individu Dalam Masyrakat

Menurut Konfusius, setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pihak lain. Sekiranya setiap tanggungjawab dipatuhi, masyarakat serta negara akan bersatu, tenteram dan harmoni.

Kong Miao, di Shandong

Dalam ajaran Konfusius, terdapat lima jenis perhubungan baik yang menetapkan peranan individu dalam masyarakat iaitu pemerintah kepada rakyat, ibu bapa dan anak, suami dengan isteri, abang dengan adik dan kawan dengan kawan.

Menurut beliau, setiap individu mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pihak lain. Sekiranya setiap tanggungjawab dipatuhi, masyarakat serta negara akan bersatu, tenteram dan harmoni.

Kong Zi mahu satu masyarakat yang dipimpin atau diatur dengan baik. Asas negara, masyarakat dan individu yang betul adalah “Let ruler to be ruler, the minister minister, the father father and the son son “. Kong Zi mahu masyarakat berjalan mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Ajaran Konfusius

Berikut ajaran-ajaran konfusius secara garis besar :

1)            Kebenaran – Yi ( 義 )

2)            Cinta Kasih – Ren ( 仁 )

3)            Kesusilaan – Li ( 禮 )

4)            Bijaksana – Zhi ( 智 )

5)            Layak Dipercaya – Xin ( 信 )

6)            Setia – Zhong Shu ( 忠 恕 )

7)            Takdir – Tian Ming – ( 天 命 )

8)            Manusia Budiman – Jun Zi ( 君 子 )

9)            Tiga Hubungan Tata Krama – San Gang ( 三 綱 )

10)        Lima Norma Kesopanan – Wu Lun ( 五 倫 )

Sumbangan Kong Zi kepada Ketamadunan Manusia.

Kong Zi dan murid-muridnya sering mengembara dari wilayah ke satu wilayah yang lain. Beliau yakin melalui sistem pendidikan akan wujudnya persamaan antara manusia.

Beliau merupakan orang pertama dalam sejarah China yang mengajar jumlah pelajar yang ramai iaitu 7000 orang dan 10 orang dari mereka menjadi pemikir dan sarjana yang terkenal.

Lun Yu, buku ditulis oleh Konfusius kini dibukukan dengan menarik untuk dibaca oleh generasi kini.

Dalam kitab Lun Yu, Kong Zi telah memberikan beberapa cara untuk menjadi Junzi (budiman). Antara cara untuk menjadi seorang Junzi ialah tidak merasa resah, pilu atau takut, bekerja dengan tegas dan bersungguh-sungguh, tidak membuat kesalahan, melayani orang lain dengan bahasa yang baik, membantu orang lain untuk menjayakan pekara yang baik dan tidak membantu orang lain untuk menjayakan perkara yang jahat.

Menjalinkan Hubungan dengan Orang Lain

Kong Zi mengajarkan supaya seseorang itu menggunakan ukuran diri sendiri sebelum membuat kebaikan atau kejahatan kepada orang lain. Justeru itu, Kong Zi mengingatkan “Do not to do others what you do not wish yourself”. 

Bagi Kong Zi, nilai hubungan antara anak dengan bapa, ialah bapa harus berbaik hati dan anak harus berkewajipan terhadap orang tua. Hubungan suami isteri ialah suami harus jujur terhadap isteri dan isteri harus tunduk dan patuh dengan suami, hubungan saudara tua dengan saudara muda, iaitu yang tua harus bermurah hati dan membantu, manakala yang muda harus tunduk dan hormat.

Hubungan raja dengan rakyat, ialah rakyat mesti bersifat kemanusiaan dan rakyat harus taat. Hubungan antara sahabat ialah kejujuran menjadi pendoman.

Harga Sebuah Pendidikan

Masyarakat China juga sangat menjunjung tinggi pendidikan. Setiap anggota masyarakat di China dikenal sebagai pekerja yang rajin, dan sangat bertanggungjawab terhadap setiap kewajipan. Hal ini juga berperanan besar bagi kemajuan negara ini. Masyarakat China sangat memegang teguh prinsip-prinsip yang murni, sehingga hal ini menjadi salah satu faktor yang membawa China sebagai salah satu negara maju di dunia.

Masyarakat Cina yang sangat menjunjung tinggi pendidikan

Peranan Pendidikan

Pendidikan adalah untuk membentuk cendikiawan dan Jun Zi. Peranan Jun Zi ialah mempelajari ilmu, memperbaiki diri dan mentadbir manusia.

Dalam proses pembelajaran ada empat ciri utama yang ditekankan oleh Kong Zi iaitu banyak mendengar, banyak melihat, banyak bertanya dan banyak mengenali.

Beliau turut menekankan sifat jujur dalam pembelajaran, beliau berkata dalam Lun Yu “ketahui katakan ketahui, tidak ketahui katakan tidak ketahui, itu adalah ilmu pengetahuan”.

Pendidikan Untuk Semua

Kong Zi mencadangkan setiap individu berhak yang sama dan berpeluang menerima pendidikan. Pendidikan awam yang pertama memecahkan tradisi dan tidak kira perbezaan tahap, kaya atau miskin memberikan pendidikan. Ini membolehkan semua orang untuk menikmati hak sama rata dalam pendidikan.

Pendidikan untuk semua

Pendidikan terbuka kepada orang awam dan kanak-kanak daripada keluarga yang miskin juga boleh menerima pendidikan. Setiap individu berpeluang menjadi individu berbakat yang cekap dan jujur.

Semua orang perlu menikmati hak sama rata dalam pendidikan, bukan hanya anak-anak bangsawan boleh menikmati hak ini, kerana manusia tidak boleh dinilai daripada keadaan keluarga atau keturunan.

Sopan santun dan Menghormati Guru.

Guru sebagai seorang yang menyebar ilmu kepada generasi muda. Beliau berkata, “orang yang bijak, mempunyai ilmu yang banyak juga ada kelemahan”. Oleh itu, ada perkara yang tidak faham perlu bertanya orang yang lebih berupaya dengan sikap bersopan santun.

Anak-anak yang jujur mencari tahu.

Konfusius amat menekankan kepada bangsa Cina agar menghargai pendidikan dan menghormati guru sejak dahulu lagi. Penghormatan terhadap pendidikan telah memberi pengaruh kepada kedudukan guru dalam masyarakat Cina.

Terdapat beberapa ungkapan yang menunjukkan penghormatan kepada guru, seperti “Menghormati guru tidak kisah beliau kaya atau miskin”, “Satu hari menjadi guru, seumur hidup menjadi ayah” dan sebagainya.

Kaedah Pengajaran yang Fleksibel

Kaedah pendidikan untuk mengajar mempunyai ciri-ciri tertentu dan berbeza mengikut watak pelajar. Kong Zi bersabar memberi pengajarannya dengan langkah-langkah yang lain, ini untuk mendapatkan latihan yang baik.

Beliau meminta pelajar berfikir semasa belajar, belajar semasa berfikir, kerana “belajar tanpa berfikir adalah buruh hilang, berfikir tanpa belajar adalah berbahaya.”

Selain itu, beliau juga menggalakkan pelajar bertanya-tanya antara satu sama lain dan sambil belajar. Semasa bertanya mesti saling menghormati dan menjaga emosi setiap orang seperti berkomunikasi dengan bapa dan anak, abang, kawan, dan tidak mementingkan diri sendiri.

Keselarasan Etika Konfusianisme dengan Islam

Konfusianisme tidak dianggap sebagai satu agama yang berunsurkan ketuhanan tetapi merupakan prinsip-prinsip hidup yang baik. Terdapat hubungan yang harmonis antara Islam dan Konfusianisme. Ini membuktikan anjaran konfusius dan agama Islam ini boleh wujud secara harmonis dan saling memahami.

Umumnya, agama Islam dan ajaran Konfusius mendidik manusia bagaimana berkomunikasi antara satu sama lain dengan bersopan santun dan jadi seorang Junzi(budiman) dalam kehidupan seseorang.

Tabiat yang terpuji serta kelakuan yang baik, terutama sekali hormat kepada ibu bapa, warga emas dan negara adalah perkara yang dituntut daripada peganut ajaran Kung Fu Zi dan agama Islam.

Sistem Moral

Konfusianisme yang berasaskan ajaran Kong Zi mementingkan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan seseorang. Tabiat yang terpuji serta kelakuan yang baik, terutamanya hormat kepada ibu bapa, orang tua dan negara adalah perkara yang dituntut dalam aliran pemikiran Konfusianisme.

Di samping itu, Konfusianisme membentuk satu sistem moral berasaskan nilai akhlak, sifat kemanusiaan dan perasaan kasih sayang. Sistem ini terbentuk ekoran pengalaman yang dilalui Kong Zi pada zaman pemerintahan yang kacau-bilau. Ketika itu pemerintah dikatakan menindas rakyat, mengamalkan rasuah, dan sistem pendidikan hanya ditawarkan kepada golongan bangsawan.

Akhirnya, idea peperiksaan awam diadakan untuk memilih pegawai kerajaan. Idea tersebut terhasil daripada pengaruh Konfusianisme. Oleh itu, negara dapat dipimpin oleh pegawai yang berkebolehan dan bukannya disebabkan keturunannya. Perubahan ini dapat mengurangkan rasuah and melicinkan pentadbiran.

Kong Zi Hari Ini

Rujia atau Konfusianisme bukanlah agama, tetapi adalah aliran pemikiran yang telah membentuk cara bangsa Cina berfikir.

Aliran pemikiran Konfusius telah memberi pengaruh yang berpanjangan dalam sejarah pendidikan di Cina. Konfusius bukan sahaja telah melaksanakan pembaharuan pendidikan dengan mendirikan sekolah persendirian tetapi juga telah memberi kesan yang mendalam dalam sistem kebudayaan dan sistem nilai dalam masyarakat Cina.

Tokoh seperti Kong Zi amat diperlukan tanpa mengira zaman. Walaupun bukan semua orang setuju dengan fikiran beliau, tapi beliau tetap gigih berusaha untuk menyebarkan pemikirannya yang beliau berasa penting. Keberanian beliau berdebat dan memberi nasihat kepada para pemerintah amat kita kagum.

Hal ini disebabkan bukannya semua orang berani merisikokan nyawanya hanya untuk memberi nasihat kepada maharaja. Semangat yang terkobar-kobar, sifat tidak mudah mengalah serta keberanian untuk mengatakan suara hati beliau amat terpuji.

Beliau juga merupakan pendidik yang sabar dan berusaha mencurahkan segala ilmu pengetahuannya kepada pelajar agar menjadi seseorang yang berguna dan berakhlak mulia. Kita haruslah mencontohi sifat-sifat beliau yang baik agar dapat mencapai kejayaan pada masa yang akan datang.

Tokoh seperti Konfusius amat diperlukan hari ini agar dapat melahirkan generasi yang terdidik dengan ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia yang mampu menjadikan dunia ini lebih baik dan sejahtera.

Rujukan:

1.Puan Suria Su Ying Ying (Pensyarah Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Beijing Foreign Studies University)

2. Encik Zahir Zainudin

3.Ajaran Konfusianisme

Dikemaskini pada

1 thought on “Sumbangan Lelaki Ini Sangat Besar Dalam Peradaban China dan Anda Wajib Kenal Siapakah Dia”

  1. Pingback: Merah Putih, Warna Signifikan Dalam Budaya Cina - Limau Mandarin

Leave a Comment

Scroll to Top