Rahsia Di Sebalik Bumi Xinjiang

Home » Rahsia Di Sebalik Bumi Xinjiang

China merupakan negara yang amat unik sekali. Negara ini menyimpan pelbagai peninggalan silam dan sejarahnya amat panjang.

Oleh itu, tidak hairanlah negara ini menjadi tumpuan pelancong dari setiap negara untuk meneroka setiap tempat peninggalan sejarah di negara tersebut.

Islam Di China

China mempunyai keluasan negara yang besar dan sebahagian besar penduduknya terdiri daripada etnik bukan Islam.

Saya yakin ramai di antara kita pasti tidak mengetahui bahawa China merupakan di antara negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia ini.

Negara ini mempunyai penduduk Islam melebihi 100 juta orang dengan sejarah kedatangan Islam yang melangkaui lebih 1400 tahun. Penduduk di negara China melebihi 1.34 bilion orang.

Terdapat 56 etnik di negara tersebut dan kira-kira hanya 10 daripadanya merupakan etnik yang beragama Islam. Oleh itu masyarakat Islam adalah merupakan golongan minoriti di negara tersebut.

Muslim China sedang solat berjemaah
Muslim China sedang solat berjemaah

Setiap etnik mempunyai kisah suka duka, pahit dan manis. Walaupun mereka hanya di kalangan penduduk minoriti di China, tetapi kewujudan mereka amat dirasai oleh ramai masyarakat.

Dalam artikel ini saya akan menceritakan sedikit sebanyak mengenai penduduk Islam di wilayah Xinjiang.

Asal Usul Nama Xinjiang

Wilayah Xinjiang mempunyai perjalanan sejarah dan cerita yang cukup panjang.

Wilayah ini bukan sahaja merupakan sebahagian daripada wilayah negara China, akan tetapi ianya juga mempunyai hubungan dengan kawasan-kawasan lain pada suatu ketika dahulu.

Xinjiang terletak di bahagian Barat China. Pada suatu ketika dahulu, ianya menjadi sebahagian daripada empayar Turkistan yang juga dikenali sebagai Samarkand atau Khurasan.

Nama asal Xinjiang ialah Turkistan Timur.

peta Xinjiang
peta China

Dahulu terdapat dua wilayah Turkistan iaitu Turkistan Timur dan Turkistan Barat.

Turkistan Timur merupakan wilayah Xinjiang sekarang dan Turkistan Barat pula meliputi negara-negara bekas jajahan Soviet Union seperti Uzbezkistan, Kazakstan, Tajiskistan dan Turmekistan.

Kesemua negara ini membentuk empayar Turkistan dan menjadi kuasa besar Islam suatu ketika dahulu.

Kini nama Turkistan Timur sudah bertukar kepada nama Xinjiang. Nama Xinjiang (新疆xīnjiāng) adalah nama baharu yang telah diberi kepada wilayah ini yang membawa maksud wilayah baru atau kawasan baru.

Nama baru ini diberikan oleh pihak pemerintah China setelah berkuasa di wilayah ini.

Xinjiang merupakan wilayah penting bagi Turkistan di mana ianya menjadi laluan utama dari Barat ke China.

Laluan sutera sepanjang wilayah Xinjiang memberi kesan yang besar dalam perkembangan peradaban Islam.

Sejak zaman dahulu lagi, terdapat pelbagai etnik telah menduduki wilayah ini.

Mereka telah meninggalkan satu sejarah yang besar dengan keindahan budaya yang menakjubkan.

Antara kumpulan etnik terbesar di Xinjiang ialah Uyhgur, Han, Kazak, Hui, Monggol, Kirghiz, Xibo, Tajik, Uzbek, Manchu, Daur, Tatar dan Rusia.

bazar di Urumqi
bazar di Urumqi

Sejarah Perkembangan Wilayah Xinjiang

Xinjiang atau nama asalnya Turkistan Timur terletak di sepanjang Jalan Sutera yang terkenal sebagai pusat perdagangan silam selama lebih daripada 2 ribu tahun.

Turkistan Timur juga pernah menjadi pusat ilmu, budaya dan politik suatu ketika dahulu.

Turkistan Timur meliputi satu kawasan yang cukup luas dan 43% daripada wilayahnya diliputi oleh kawasan padang pasir serta gurun. 40% lagi daripada kawasannya merupakan kawasan gunung-ganang.

Turkistan Timur pernah menjadi salah satu peradaban Buddha sehingga kedatangan Islam ke wilayah berkenaan.

Hubungan di antara orang Uygur di Turkistan Timur dengan umat Islam telah bermula pada abad ke-9 lagi.

Perkembangan Islam meningkat dengan pesat pada zaman Raja Karahanidin. Islam berkembang dengan pesat sehingga beratus-ratus sarjana Uygur yang terkenal di dunia telah muncul. Banyak buku telah ditulis.

Sejarah perkembangan wilayah Xinjiang amat panjang. Secara ringkasnya kita boleh lihat pada zaman pemerintahan Dinasti Manchu.

Dahulu kerajaan Uygur di Turkistan Timur juga dikenali sebagai kerajaan Yarkent telah diceroboh oleh pemerintah Dinasti Manchu.

Pencerobohan tersebut disusuli dengan penaklukan Turkistan Timur yang dijadikan sebagai koloni ketenteraan oleh pihak Manchu dari tahun 1759 hingga 1862.

Pada masa waktu tersebut, penduduk di Turkistan Timur telah menentang pemerintahan Dinasti Manchu di mana sebanyak 42 pemberontakan telah direkodkan. Ianya dilakukan bagi membebaskan wilayah Turkistan Timur daripada penguasaan Manchu.

Mereka akhirnya mencapai kejayaan pada tahun 1864 apabila orang Uygur mengisytiharkan negara Yetteshahar.

Walaubagaimanapun kemerdekaaan tersebut tidak bertahan lama apabila pihak Manchu melakukan serangan balas sekali lagi pada tahun 1876.

Selepas 8 tahun peperangan, akhirnya pihak Manchu berjaya menguasai Turkistan Timur dan menjadikannya sebagai wilayah jajahan yang dinamakan Xinjiang (wilayah baru) pada 18 November 1884.

Kashgar
Kashgar

Revolusi China pada tahun 1911 menjatuhkan pemerintahan Dinasti Qing yang terdiri daripada orang Manchu telah menunjukkan satu permulaan baru bagi wilayah Xinjiang.

Selepas pembentukan Republik Rakyat China pada tahun 1949, wilayah Xinjiang telah diberikan kuasa autonomi yang menjadikannya sebagai sebuah wilayah mempunyai kedudukan istimewa berbanding dengan wilayah-wilayah lain di China.

Pada tanggal 1 Oktober 1955, secara rasminya Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang diasakan.

Jadi nama Turkistan Timur sudah pun diganti dan ianya telah mengakhiri sejarah orang Uygur serta Turkistan Timur.

Di bawah pemerintahan tersebut, kewujudan etnik Uygur terancam dengan penghijrahan beramai-ramai penduduk etnik Han ke wilayah Xinjiang.

Orang Uygur pula ditindas dan diperlakukan dengan zalim dalam usaha untuk membendung kebangkitan rakyat di sana. Pelbagai perkara telah dilakukan terhadap orang Uygur.

Pelbagai konflik telah kita dengari berkaitan dengan Xinjiang. Bermula dari tarikh tersebut juga Xinjiang memasuki satu era zaman baru sehingga sekarang.

pemandangan bandar Kashgar
pemandangan bandar Kashgar

Etnik Uygur

Setiap etnik di Xinjiang mempunyai budaya masing-masing yang amat unik. Keunikan setiap etnik di sini membuatkan ramai pelancong mahu berkunjung ke Xinjiang dan lihat sendiri keindahan kepelbagaian budaya tersebut.

Mari kita mengenali seba sedikit mengenai Etnik Uygur di Xinjiang.Etnik Uygur merupakan kumpulan etnik terbesar di Xinjiang.

Majoriti daripadanya tinggal di kawasan Selatan Pergunungan Tianshan seperti Kashgar, Hotan dan Aksu. Terdapat juga sebilangan daripadanya yang menetap di daerah Ili dan di bahagian Utara Xinjiang.

seni bina banggunan di Kashgar
seni bina banggunan di Kashgar

Etnik ini mempunyai pertalian rapat dengan orang Turki. Keturunan etnik Uygur boleh dijejaki sejak abad ke-3 lagi. Mereka menganut agama Islam sejak abad ke-10.

Bahasa

Etnik Uygur mempunyai bahasa pertuturan dan tulisan mereka sendiri yang berasal daripada rumpun bahasa Altaic Turki.

Jadi apabila ke kawasan seperti Kashgar, pasti anda akan berasa seperti berada di negara lain. Budaya, bahasa pertuturan dan tulisannya berbeza dengan kawasan China yang lain.

Topi

Antara perkara yang menarik mengenai orang Uygur adalah topi bersulam bersegi empat atau lima. Topi orang Uygur juga dikenali sebagai Dopa mempunyai berbagai jenis, corak dan warna.

Ia merupakan buatan kraf tangan yang halus dan gayanya bergantung kepada daerah-daerah yang berlainan. Jika ke sini, jangan lupa untuk membelinya sebagai kenang-kenangan.

topi kaum Uygur
topi kaum Uygur

Makanan

Makanan seharian orang Uygur ialah roti nan dan mee tarik. Makanan istimewa mereka ialah polo iaitu nasi yang dimasak dengan daging kambing segar, lobak merah, bawang besar dan shish kebab.

Kebiasaannya, makanan seperti ini dihidangkan pada musim perayaan atau makanan kepada para tetamu.

Kebab menjadi makanan ringan mereka. Kambing dan susu masam merupakan hidangan yang sangat digemari oleh masyarakat Uygur.

Hari Perayaan

Sebagai umat Islam, mereka juga menyambut perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Kedua-dua perayaan tersebut menjadi perayaan utama dan penting.

Selain itu, mereka juga mempunyai sambutan tradisi iaitu perayaan Nuroze.

Ia disambut selepas berakhirnya musim dingin dan kedatangan musim bunga.

“Nuroze” bermakna hari hujan musim bunga. Perayaan ini jatuh pada bulan Mac setiap tahun di mana waktu siang dan malam adalah sama panjang.

Jadi, tujuan perayaan adalah mengalu-alukan kedatangan musim bunga.

Lagu Dan Tarian

Antara tarian masyarakat Uygur yang palin popular ialah Sanem. Dalam tarian tersebut, seorang atau dua orang akan menari bersama-sama.

Orang lain akan duduk dalam bulatan , menepuk tangan, memukul gendang dan menceriakan keadaan.

Orang Uygur suka bernyanyi dan menari.

bandar Kashgar
bandar Kashgar

Masjid Id Kah

Sejak abad ke-16, Islam menjadi agama yang dominan di wilayah Xinjiang dan telah memberikan kesan besar terhadap kehidupan mereka di sana.

Kemasukan Islam ke Xinjiang mencorak budaya dan seni bina seperti yang terdapat di bangunan atau masjid. Antara masjid yang popular di Xinjiang ialah Masjid Id Kah.

Masjid Id Kah
Masjid Id Kah

Masjid Id Kah merupakan mercu tanda Xinjiang yang terletak di Kashgar. Masjid ini amat terkenal sekali. Presiden Iran telah menghadiahkan permaidani untuk masjid ini.

Masjid ini terletak di kota Kashgar yang merupakan bangunan bercirikan Islam dan mempunyai sejarah lebih daripada 500 tahun. Masjid ini meliputi kawasan seluas 16 800 meter persegi. Ianya mempunyai ruang solat, dewan pengajian, menara pintu masuk dan beberapa struktur lain.

Kira-kira 2 hingga 3 ribu orang umat Islam bersembahyang di masjid ini tiap-tiap hari. Pada hari Jumaat, 6 hingga 7 ribu umat Islam solat berjemaah di sini.

Masjid ini juga mampu memuatkan sehingga 20 ke 30 ribu orang dari pelbagai tempat di Xinjiang yang solat berjemaah di sini pada hari perayaan seperti Hari Raya Korban.

solat berjemaah di Masjid Id Kah
solat berjemaah di Masjid Id Kah

Masjid ini dibina pada tahun 1442 Masihi. Bangunan masjid ini menggabungkan seni bina etnik Uygur, Asia Barat dan kaum Han di China. Mutu seni bina masjid ini amat tinggi dan menunjukkan kebijaksanaan kaum Uygur.

ruang solat Masjid Id Kah
ruang solat Masjid Id Kah
ruang solat Masjid Id Kah
ruang solat Masjid Id Kah

Masjid Id Kah merupakan pusat pengajian agama Islam yang terkenal sejak dahulu lagi. Ramai imam dan sarjana Islam yang berkhidmat di Xinjiang dan Asia Tengah adalah lulusan dari sekolah agama kelolaan masjid berkenaan.

Kesimpulan

Masa berlalu dengan begitu pantas. Wilayah Turkistan Timur semakin dilupakan dan diganti dengan nama barunya iaitu Xinjiang. Akan tetapi sejarah yang telah tercatat tidak boleh dipadam.

Apabila kita mengkaji sejarah, kita akan makin mengenali sejarah di sebalik wilayah Xinjiang ini.

Kita juga akan mengetahui segala punca tentang berlakunya sesuatu konflik.

Sejarah telah merakamkan bagaimana di sinilah wujudnya tamadun dan peradaban yang cukup hebat dan di situ juga menjadi kebangkitan serta kejatuhan kota-kota, perkembangan etnik dan perubahan persekitarannya.

dataran hadapan Masjid Id Kah
dataran hadapan Masjid Id Kah

Marilah kita meneroka bumi Xinjiang. Kita bukan sahaja dapat menikmati keindahan bumi ciptaan Allah, malah kita dapat mengenali adat dan budaya Muslim di sana.

Hubungi kami untuk mengetahui lebih lanjut info mengenai Xinjiang.

Scroll to Top