Pesta Sakura di Beijing

Home » Pesta Sakura di Beijing

Bumi Tembok Besar yang merupakan negara empat musim tidak ketinggalan menerima kunjungan pelancong dari pelbagai negara. Andai disuruh untuk memilih musim kegemaran saya sepanjang hampir tiga tahun menetap di China, pastinya saya memilih musim bunga: bahasa Mandarin ialah 春天(chūn tiān).

MUSIM BUNGA

sakura beijing
Sakura di Beijing

Pelbagai jenis bunga tumbuh mekar di tepi-tepi jalan raya, laluan pejalan kaki malahan di luar bangunan kediaman pelajar. Bunga yang berwarna-warni serta harum itu bukan saja berperanan untuk mencantikkan kawasan kampus, malah benar-benar dapat mendatangkan moodceria!

Suhu pula tidaklah terlalu panas, tidak juga terlalu sejuk. Angin sepoi-sepoi bahasa, pokok mula menghijau, bunga mulai mekar merupakan momen yang tidak akan dilepaskan untuk dirasai sepanjang musim bunga.

Cuaca

Suhu pada siang hari: paling tinggi ialah 31 Celcius, paling rendah 12 Celcius manakala suhu pada waktu malam pula: paling tinggi 17 Celcius, paling rendah 4 Celcius.

Musim bunga, kedengaran seperti musim bungaan yang cantik, yang membahagiakan namun jika tidak memakai pakaian yang sesuai, anda mungkin akan mudah jatuh sakit. Ramai juga pelajar Malaysia yang sakit kerana tidak dapat membiasakan diri dengan perubahan suhu ketika musim bunga ini. 

Jika anda mahu ke Beijing antara hujung bulan Mac hingga awal bulan April, ingat, anda harus membawa pakaian yang sedikit tebal. Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang waktu yang sesuai untuk melancong ke China.

Kebiasaannya, boleh kata cuaca sewaktu musim bunga lebih kurang saja dengan Malaysia, tidak terlalu sejuk juga tidak terlalu panas cuma malam hari memang sedikit sejuk!

sakura beijing
Sakura di Beijing

Cuaca yang nyaman ini sangat sesuai untuk ke taman-taman bunga di Beijing. Antaranya ialah Taman Zhiwu, Taman Yuyuantan, Taman Yihe dan Taman Jingshan.

Setiap kali cuti umum atau cuti hujung minggu, mana-mana tempat di Beijing pasti dipenuhi dengan rakyat China sendiri. Penuh! Dari jauh nampak seperti semut. Andai kata ramai pelancong asing datang ke China, rasanya macam tidak nampak kelibat mereka kerana kehadiran rakyat China yang memonopoli kawasan percutian tersebut.

Walau bagaimanapun, bunga-bunga yang berwarna merah, putih dan kuning yang berkembang mekar itu dipayungi dengan langit yang kadang-kadang indah, kadang-kadang kelabu berjerebu.S

Sakura di Beijing

Berkesempatan pada hujung minggu yang lalu, saya berserta seorang rakan tidak melepaskan peluang untuk ke Taman Yuyuantan melihat bunga sakura di Beijing. Taman Yuyuantan menjadi pilihan kami untuk melihat bunga sakura atau dalam bahasa Mandarin ialah 樱花 (yīng huā).

Istimewanya Taman Yuyuantan ini adalah hanya pokok sakura sahaja yang ditanam, tiada pokok bunga lain seperti di Taman Zhiwu, Taman Jingshan atau taman-taman lain. Jadi, semua orang berpakat ke taman ini.

sakura beijing
Sakura

Tiket masuk ke Taman Yuyuantan ialah 10 yuan, tiket pelajar ialah 5 yuan. Taman ini sangat luas, selain berjalan kaki melihat keindahan bunga sakura, pelawat juga boleh menyewa bot mengelilingi tasik untuk menikmati keindahan taman bandar Beijing ini.

Banyak lagi taman-taman di Beijing yang terdapat berbagai-bagai jenis pokok seperti pokok tulip, pokok mawar, pokok peony dan macam-macam lagi.

Taman-taman bunga di sini sungguh besar dan luas. Ada yang 1 km jarak berjalan. Harga tiket masuk pula murah, memang berbaloi tetapi harus pergi mengikut musimnya. Andai kata pada waktu itu bunga tidak mekar lagi, maka terpaksalah ditangguh ke tarikh yang lain pula.

Berpeluang untuk merasai musim bunga merupakan satu pengalaman yang amat saya hargai kerana suasana dan nikmat melihat bungaan yang cantik itu benar-benar menghadirkan rasa syukur melihat ciptaan-Nya yang indah itu.

Scroll to Top