Perspektif Lelaki Ini Terhadap Taiwan Sangat Membuka Mata

Siapa yang tidak pernah mendengar nama negara Taiwan?

Mungkin kita pernah dengar dan pernah menggunakan produk buatan negara ini.

Tetapi, pernahkah kita dengar tentang sejarah, kejayaan ataupun menjejakkan kaki di negara tersebut?

Pada kali ini, saya ingin memberi sedikit info tentang negara Taiwan kepada para pembaca sekalian dari pelbagai perspektif.

Taiwan secara geografinya terletak di selatan Kepulauan Jepun iaitu Okinawa, dan di belah utara Kepulauan negara Filipina serta bersebelahan dengan kawasan timur negara Tanah Besar China (People Republic of China).

Keunikan Dan Kelainan Negara Kepulauan Republic Of China.

Taiwan juga terkenal dengan panggilan “Republic of China” atau “Chinese Taipei”.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa Taiwan menggunakan nama tersebut. Ia disebabkan faktor sejarah yang panjang dan agak “complicated”.

Begini ceritanya, pada tahun 1911 setelah dinasti terakhir China iaitu Qing tumbang, China (Tanah Besar China) menjadi negara Republik yang dipimpin oleh parti Kuomintang dibawah pimpinan Dr. Sun Yat-sen.

Namun, pada tahun 1949, telah berlaku perang saudara di China yang menyebabkan Parti Kuomintang tersungkur dan kuasa mereka dirampas oleh Parti Komunis China yang dipimpin oleh Mao Zedong.

Parti Kuomintang terpaksa melarikan diri ke Ningxia, kemudiannya di Guangdong, Chongqing dan akhir sekali mereka mendirikan kerajaan sendiri di kepulauan Taiwan (terletak lebih kurang 180km daripada Timur Tanah Besar China).

Nama “Republic of China” dikekalkan oleh kerajaan Koumintang walaupun mereka telah mendirikan kerajaan sendiri di Kepulauan Taiwan dan kemudiannya Parti Komunis China telah menukar nama mereka kepada “People Republic of China” iaitu dengan menambah perkataan “People” dihadapan nama “Republic of China”.

Perbezaan Identiti Negara Tanah Besar China Dan Taiwan.

Ini adalah untuk memisahkan identiti negara Tanah Besar China dengan Taiwan yang dipimpin oleh Parti Kuomintang disebabkan kerajaan Koumintang di Taiwan masih kekal menggunakan nama “Republic of China”.

Kemudiannya, Parti Komunis China menyelaraskan tulisan rasmi bagi negara Tanah Besar China dengan menggunakan tulisan Cina “Simplified” kerana tidak mahu sama dengan tulisan rasmi yang digunakan oleh Taiwan iaitu “Tradition”.

Dengan erti kata lain, ia dilakukan kerana atas faktor politik semata-mata (pada peringkat awal dan ia kekal sehingga sekarang).

Begitu juga dengan penggunaan nama “Chinese Taipei” oleh kerajaan Kuomintang yang memerintah negara kepulauan Taiwan. Apabila Parti Komunis yang memerintah negara Tanah Besar Cina menyatakan bahawa bangsa “Chinese” hanya ada satu sahaja iaitu Tanah Besar Cina.

Lantas daripada pemgumuman itu, kerajaan Kuomintang Taiwan menyatakan bahawa mereka iaitu rakyat di Taiwan adalah “Chinese Taipei”, ia dilakukan untuk mengasingkan identiti rakyat Taiwan dengan Tanah Besar China. Dengan erti kata lain, ia dilakukan atas faktor “politik” semata-mata sahaja.

Taiwan juga dianggap “unik” kerana negara ini merupakan satu-satunya negara yang maju dalam bidang pertanian, perlombongan dan pendidikan sepanjang tempoh penjajahan Jepun (1895-1945) berbanding negara-negara lain berada dibawah jajahan Jepun yang sering dipalitkan dengan kemunduran atau tidak membangun.

Ekonomi Taiwan Naik Mendadak

Taiwan mencipta kejutan kepada dunia apabila prestasi ekonomi mereka mendadak naik pada tahun 1970 an hingga awal tahun 2000.

Banyak barang elektronik dan elektrik terutamanya cip-cip serta mikrocip adalah datangnya daripada negara Taiwan. Jentera-jentera serta pengangkutan awam dunia pada tahun 1970’an hingga 1980an seperti MRT merupakan buatan negara Taiwan.

Tidak ketinggalan juga, kemajuan teknologi dalam bidang pertanian sehingga mereka mampu mengeksport kebanyakan barang makanan mereka ke luar negara terutamanya negara-negara Eropah.

Salah satu faktor yang mendorong perkembangan ekonomi di Taiwan adalah kerana mengamalkan “Dasar Buka Pintu” kepada syarikat-syarikat asing untuk melabut dan membuka kilang serta pejabat di Taiwan.

Disebabkan kemajuan yang menakjubkan dipamerkan oleh negara Taiwan, negara ini digelar oleh pakar ekonomi dunia sebagai “Four Asian Tigers” (bersama-sama dengan Singapura, Korea Selatan dan Hong Kong kerana kemajuan dalam ekonomi yang sangat menakjubkan walaupun mereka merupakan negara yang kecil).

Disebabkan kemajuan ekonomi yang begitu menakjubkan yang ditunjukkan oleh Republic of China (Taiwan), maka jiran mereka iaitu People Republic of China (Tanah Besar China yang dipimpin oleh Parti Komunis) mula melancarkan “Dasar Ekonomi Terbuka” semasa zaman pemerintahan Deng Xiaoping pada 1978 untuk turut menikmati kemajuan dalam bidang ekonomi.

Industri Pelancongan Di Taiwan.

Taiwan juga terkenal dengan industri pelancongan, maka tidak hairanlah mengapa begitu ramai pelancong yang berkunjung ke negara tersebut terutamanya para pelancong dari Tanah Besar China, Hong Kong, Tanah Besar China, Eropah, Filipina dan Jepun (terutamanya kebelakangan ini begitu ramai para pelancong Jepun berkunjung ke Taiwan berbanding pelancong-pelancong dari negara lain).

Negara Taiwan turut kaya dengan alam semula jadi yang cantik seperti pantai yang cantik (di sebelah Timur, Taitung dan Hualian), Tasik air tawar semula jadi sangat menarik (di tengah kepulauan Taiwan, Taichung), Air terjun yang mempesonakan (Shifen), pembentukan batu-batu unik secara semula jadi  (Utara Taiwan, Yehliu) dan pesisir pantai yang menakjubkan (di Selatan Taiwan, Kenting).

Bahasa rasmi bagi negara Taiwan ialah Mandarin tetapi bahasa pasar atau bahasa harian pertuturan rakyatnya, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Hokkien kerana generasi terdahulu adalah pengikut setia Parti Kuomintang yang datangnya dari kawasan wilayah Fujian yang kemudiannya turut sama berpindah ke Taiwan apabila Parti Kuomintang melarikan diri ke Taiwan dan seterusnya mendirikan kerajaan di negara ini selepas Parti Komunis merampas kuasa daripada Parti Kuomintang semasa Perang Saudara pada tahun 1949.

Taiwan Setanding Negara Jepun

Negara Taiwan ini jika kita kaji dengan lebih teliti seolah-olah “Jepun nombor dua”.

Kenapa?

Sebab hampir kesemua perkara kalau boleh mereka nak tiru atau ikut Jepun. Baik dari segi cara bekerja, makanan, budaya dan aktiviti harian. Tak hairan kenapa mereka jadi seperti itu kerana mereka pernah di jajah oleh Jepun selama 50 tahun.

Malah, generasi lama penduduk Taiwan boleh bertutur bahasa Jepun dengan lancar.

Sebab itu, ramai para pelancong Jepun suka datang ke sini sebab dari segi komunikasi, mereka tidak menghadapi masalah besar kerana ramai rakyat tempatan boleh bertutur dalam bahasa Jepun.

Tetapi, kebanyakan rakyat negara Taiwan tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris kecuali pelajar-pelajar universiti.

Kena balajar bahasa Mandarinlah sedikitlah jawabnya kalau nak tanya-tanya jalan atau arah kat Taiwan nanti. Hahahaaa

Makanan Di Taiwan

Taiwan juga terkenal dengan kepelbagaian jenis makanan. Yang menariknya, jenis makanan yang selalunya di jual di Taiwan (terutamanya di Bandar Taipei) adalah makanan dari luar negara yang kemudiannya di “inovasi” dan di pertingkatkan serta penambah baikan terhadap makanan tersebut dari segi kualiti, rasa dan bentuknnya agar nampak lebih menarik.

Banyak makanan tersebut adalah daripada Jepun, Korea, Tanah Besar China, Thailand dan lain-lain lagi. Antara makanan yang paling terkenal di Taiwan ialah Chotoufu (Tauhu Busuk).

Makanan yang pelbagai dan menarik kebiasaannya boleh didapati di pasar malam dan apa yang menariknya, kebanyakan pasar malam di bandar-bandar besar dibuka setiap hari (kecuali cuti Hari Kemerdekaan dan Cuti Tahun Baru Cina)

Kebanyakan orang menyangka bahawa negara Taiwan adalah negara kepulauan yang kecil dan tidak perlu ambil masa yang lama untuk berkunjung atau “explore” serta “travel”.

Benar, Taiwan merupakan negara kepulauan yang agak kecil. Tetapi, mereka tidaklah sekecil yang ramai orang sangkakan. Saiz negara Taiwan lebih besar berganda-ganda lebih besar daripada Singapura, Maldives, Hong Kong, Fiji, Hawaii serta negara-negara kepulauan yang lain.

Kiranya, untuk travel habis pusing keliling negara Taiwan ni, mengambil masa yang agak lama jugak sebenarnya, sekurang-kurangnya 3 minggu untuk habis pusing habis kepulauan Taiwan.

Transformasi Pendidikan Di Taiwan

Transformasi dari segi pendidikan dan kebersihan juga berlaku secara mendadak di negara Republic of China (Taiwan). Bayangkan, negara Taiwan pada 25 tahun yang lalu merupakan salah satu negara yang paling kotor di Asia.

Tetapi, pada hari ini, negara Taiwan merupakan antara negara yang paling bersih di Asia. Dalama masa 25 tahun sahaja mereka berjaya melakukan “transformasi” dari segi pemikiran serta pendidikan.

Banyak yang boleh kita pelajari daripada Taiwan sebenarnya, terutamanya dari segi bagaimana para cikgu serta para pendidik di sini mendidik anak murid mereka untuk menjaga kebersihan.

Pada masa yang sama, cara mereka menjaga kebajikan penduduk “Peribumi” (Orang Asli) juga diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Saya secara peribadi berpeluang melawat kawasan penduduk Orang Asli di Taiwan serta Sekolah mereka sekali.

Apa yang mengejutkan saya ialah sekolah mereka sangat bersih dan cantik walaupun sekolah tersebut kecil sahaja iaitu dengan jumlah murid keseluruhan hanya 30 orang sahaja .

Mungkin ramai daripada kita tidak mengetahui bahawa kebanyakan negara di dunia ini termasuk negara-negara maju, tidak menjaga kebajikan penduduk Peribumi dengan begitu baik.

Hatta negara maju seperti USA, New Zealand serta Australia turut mengabaikan kebajikan penduduk Peribumi mereka.

Namun, Taiwan dengan gah nya berjaya menempatkan negara mereka sebagai salah satu negara yang terbaik dari segi pengurusan serta kebajikan penduduk Peribumi (antara negara yang menjaga kebajikan penduduk Peribumi mereka ialah Kanada, Norway dan Sweden).

Tidak rugi sebenarnya untuk kita jelajah atau “travel” ke negara Republic of China ini walaupun negara ini bukanlah negara yang terkenal dengan kawasan pelancongan jika dibandingkan dengan negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, Hong Kong ataupun Macau.

Banyak lagi khazanah alam yang boleh diterokai serta boleh dilawati. Disebabkan itulah, Taiwan terkenal dengan jolokan nama samaran iaitu “The Heart of Asia”.

Artikel ini di tulis oleh saudara Muhammad Syukhri Shafee. Salah seorang Backpackers terkenal yang telah menjelajah negara-negara Asia secala Solo. Perkenalan yang singkat dengan beliau membuatkan saya sentiasa berfikiran positif. Aura positif yang dibawa oleh saudara Syukhri diharapkan dapat tersebar di seluruh asia malahan seluruh dunia satu hari nanti.

Beliau mendapat pendidikan dalam bidang Bachelor of International Affairs Management, dan menyambung pelajaran dalam bidang Master of Science (Strategic Studies) di Universiti Utara Malaysia UUM. Kini beliau sedang giat dalam misi dakwah dan menjadi penceramah bebas di Malaysia. Beliau merupakan anak didik Brother Lim Joi Soon salah seorang pakar perbandingan agama di Malaysia. Beliau juga merupakan penulis artikel bebas serta Sukarelawan Interactive Dakwah Training.

Dikemaskini pada

Leave a Comment

Scroll to Top