Orang China dan orang barat, apa bezanya? Jika dari pandangan mata kasar, kita dapat melihat budaya China ataupun budaya timur sangat bertentangan dengan budaya barat. Tidak kiralah dari segi personaliti individu, gaya hidup mahupun pemakanan semuanya terdapat perbezaan yang ketara.
Perbezaan orang China dan orang barat ini adalah satu perkara besar di China sebenarnya.
Orang China dan Orang Barat Ada Bezanya
Melihat kepada perbezaan ini, seorang pelukis grafik yang berasal dari Beijing,China telah membuat sebuah buku kompilasi ilustrasi yang menjelaskan perbezaan antara budaya Barat dan Timur.
Beliau ialah Yang Liu yang kini menjadi profeser dan ketua bagi ”department of communications design” di Berlin Technical Art University. Pengalamannya selama puluhan tahun tinggal di Berlin,Jerman sejak usia 13 tahun telah membawanya untuk menghasilkan karya ini.
Meskipun karya beliau membandingkan budaya Jerman dan China, ilustrasi tersebut secara kasarnya mewakili perbezaan antara budaya timur dan barat.
Warna merah yang sinonim dengan China mewakili orang China(timur) dan warna biru mewakili barat.
Gaya hidup
Orang China sangat gemarkan suasana meriah yang penuh dengan keseronokan. Mereka selesa untuk berteman kemana sahaja dan merasakan bersendiri melakukan sesuatu perkara itu sangat membosankan dan menyedihkan. Maka tidak hairanlah jika di kedai makan contohnya kita sangat jarang dapat melihat orang China makan bersendirian dan jika makan bersama rakan-rakan pula, riuh-rendah kedai makan itu dengan suara gelak tawa mereka.
Bagi orang barat pula,mereka lebih selesa bersendiri. Jika ada orang yang menemani mereka,mereka sebaliknya akan merasakan ruang privasi mereka sedikit terganggu.
Bagi orang barat yang datang ke China,mereka nampaknya harus membiasakan diri dengan kemeriahan orang China.Situasi di China sering digambarkan dengan人山人海(Rén shān rén hǎi)yang bermaksud orang ramai atau lautan manusia,ini sangat sesuai menggambarkan suasana China yang sentiasa sesak dengan manusia. Bagi mereka yang cintakan dunia privasi, anda harus datang ke China dan rasai kemeriahan ini!
Suara
Sudah tidak dapat dinafikan lagi orang China sememangnya memiliki suara yang kuat dan lantang. Bagi mereka yang datang ke China dan tidak memahami Bahasa Mandarin pasti akan berfikir yang orang China ini suka bergaduh kerana setiap kali bercakap mereka sering menggunakan nada yang tinggi. Hakikatnya itulah cara percakapan mereka berbeza dengan orang Barat yang biasanya menggunakan nada yang rendah. Saya yang sudah beberapa tahun tinggal di China ini sudah terbiasa dengan suara mereka yang kuat seolah sedang bergaduh.
Beratur
Jelas seperti gambar yang ditunjukkan orang Barat biasanya akan beratur tidak kiralah ketika menunggu bas, membeli tiket ataupun membeli makanan. Orang China macam mana ya?
Jika mengikut pengalaman saya, bukanlah orang China semuanya tidak beratur tetapi disebabkan yang tidak beratur itu lebih ramai maka keadaannya kelihatan seperti sedikit tidak teratur dan jika orang terlalu ramai pula keadaan menjadi agak huru-hara.
Dalam situasi ini, saya melihat orang tua biasanya yang sedikit agresif, kadang-kadang kita yang sedang elok beratur ini ditolaknya dan ada juga yang melihat barisan panjang tetapi tanpa segan-silunya memotong barisan. Pada pendapat saya, ini juga berpunca daripada sikap orang China yang kurang sifat sabar. Jadi, andalah yang harus bersabar!
Mandi
Seperti yang sedia maklum orang China biasanya tidak akan mandi pada siang hari sebaliknya mereka akan mandi pada malam hari berbeza dengan orang Barat yang biasanya akan mandi pada pagi hari. Menurut orang China,mereka mandi pada malam hari kerana setelah seharian bekerja atau berada diluar mereka harus bersihkan diri sebelum tidur dan alasan tidak mandi di waktu pagi kerana badan masih dalam keadaan bersih.
Jadi, tidak hairan jika anda menaiki bas atau subway di pagi hari ada bau yang kurang menyenangkan.
Bangga diri
Orang Barat biasanya suka dipuji contohnya jika ada orang yang memuji hasil kerjanya,dia akan berkata terima kasih tetapi sebaliknya bagi orang China. Orang China tidak suka akan pujian. Biasanya apabila dipuji mereka akan balas dengan 哪儿(Nǎ’er)yang bermaksud seperti mana ada. Mereka juga biasanya akan memuji semula orang yang memuji mereka dengan memandingkan diri mereka itu terlalu kecil dan tiada apa untuk dibandingkan daripada orang yang dipuji itu.
Masa
Orang Barat sememangnya patuh pada waktu. Namun pada pemerhatian saya orang China juga masih boleh dikatakan mematuhi waktu cuma mungkin tidak sebagus orang Barat.
Orang China sangat mementing masa kerana pada mereka 5 minit yang kita terlewat contohnya telah mengganggu 5 minit masa orang lain. Mungkin disebabkan kelewatan 5 minit itu juga akan menjejaskan perancangan seseorang pada hari itu.
Ketika saya di tahun pertama pengajian, kelas setiap hari akan bermula jam 8 pagi dan loceng yang menandakan permulaan kelas akan berbunyi tepat jam 8 pagi. Sebaik sahaja loceng berbunyi, pensyarah akan terus menutup pintu kelas dan sesiapa yang sampai selepas pintu ditutup akan dikira lewat walaupun anda hanya terlewat selama 1 minit.
Jadi menurut sudut pandang saya orang China masih boleh diklasifikasikan mematuhi masa.
Makan
Orang China biasanya apabila berkumpul untuk makan bersama rakan atau ahli keluarga, mereka akan makan diatas meja bulat yang besar. Orang Barat sukar untuk memahami situasi atau budaya ini kerana mereka jarang untuk makan bersama dalam bilangan orang yang agak ramai.
Mereka juga sukar untuk fahami budaya China iaitu 团圆(tuányuán)atau maksudnya ‘reunion’ ini mengandungi maksud yang sangat dalam dimana ia bukan sekadar ‘reunion’ biasa-biasa seperti yang kita semua faham.
Budaya makan bersama-sama ini bukan sahaja dapat memeriahkan suasana malahan yang paling penting ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli keluarga serta rakan-rakan.
Selain itu, seperti yang satu dunia tahu orang China makan menggunakan chopstick atau dalam bahasa mandarin disebut 筷子(kuàizi). Kedai makan di China jarang menyediakan sudu dan garfu kecuali jika anda memintanya tetapi biasanya anda hanya akan mendapat sudu sahaja. Jika anda menggunakan chopstick ketika makan ada beberapa pantang larang yang anda tidak boleh lakukan antaranya tidak boleh mencucuk chopstick di atas nasi kerana ia bermaksud mati. Jika ada orang melihat anda berbuat demikian pasti anda akan dimarahi. Disinilah pentingnya untuk kita belajar dan memahami budaya sesuatu tempat itu.
Kesimpulan
Kebudayaan China ini telah meresap dalam diri setiap masyarakat di China. Jika kita mahu orang China untuk mengubah apa yang mereka telah biasa lakukan ia adalah mustahil sama seperti orang meminta kita untuk mengubah budaya kita.
Perbezaan budaya orang China dan orang barat sama sekali mengajar kita erti perbezaan itu adalah nilai yang patut dihargai. Bukan setakat orang China dan orang barat sahaja malah daripada semua kaum dan bangsa di seluruh dunia.
Perbezaan orang China dan orang barat ini hanyalah sebagai contoh mudah sahaja dalam mengajar erti memahami antara satu sama lain.
Oleh sebab itu, raikan sahaja perbezaan. Setiap dari kita seharusnya memahami adat mahupun budaya setempat. Jika kita di tempat orang, ikutlah budaya mereka, bak kata pepatah ”masuk kandang harimau mengaum,masuk kandang kambing mengembek”. Dalam bahasa mandarin kita sebut入乡随俗(rù xiāng suí sú)yang juga mempunyai maksud yang sama.
Kita berkongsi bumi yang sama, jadi kita harus menghormati kepelbagaian adat dan ragam manusia. Tidak perlu sibuk untuk mencari titik persamaan tetapi hargailah perbezaan! Selain itu pesanan saya mengembaralah untuk melihat kepelbagaian warna dunia ini. Serta jangan lepaskan peluang untuk mengenal budaya setiap tempat yang kita pergi!
Teruskan bersama Limau Mandarin untuk artikel akan datang!