Pernahkah anda mendengar tentang Opera Peking?
Ya, Peking adalah nama lain bagi Beijing.
Opera Peking: Warisan Kesenian Cina
Opera Peking bermula lewat abad ke-18 dan mempunyai sejarah selama 200 tahun.
Sekali dengar, pasti kita akan terfikir bahwa Opera Peking ini berasal dari Beijing, kan?
Tidak, sebenarnya ia bermula apabila sekumpulan pelakon dari An Hui datang ke Beijing bagi mempersembahkan persembahan kepada Maharaja Qian Long (maharaja Dinasti Qing) sebagai hadiah hari lahir.
Opera Peking pada hari ini adalah kombinasi kepada Opera Kunqu, Opera Yiyang, Opera Hanju, dan Luantan.
Jika Eropah terkenal dengan pementasan teater dari Perancis, Itali dan Amerika Syarikat, teater dan opera di Asia juga tidak kurang hebatnya. Misalnya, di Jepun, terdapat opera Kabuki.
Thailand pula terkenal dengan Khon, teater yang menceritakan tentang Ramayana. Tidak kurang juga India yang mempersembahkan Teater Bhavai sebagai hiburan dan ritual untuk Dewi Amba.
Kali ini, saya akan kongsikan kepada anda tentang Opera Peking yang merupakan warisan kesenian tradisional cina. 京剧 (jīngjù ) atau Opera Peking dipersembahkan dengan cara bernyanyi, mimos, tarian, akrobatik, berdialog dan berlakon.
Aksi yang berbeza memanefestasikan watak yang berbeza dan campuran emosi yang tidak sama seperti marah, megah, sedih, bahagia, kecewa, takut dan terkejut.
Tidak dapat dinafikan, Opera Peking telah memberikan pengaruh yang sangat mendalam di China dan memainkan peranan yang besar dalam budaya cina.
Himpunan Opera Peking mengandungi cerita dongeng, kisah dinasti-dinasti di China, peristiwa bersejarah yang penting, kisah berkenaan maharaja dan jeneral dari masa purba sehinggalah ke zaman Yao, Shun, Yu dan dinasti Qin, Han, Sui, Tang, Song, Yuan, Ming, dan Qing.
Lian Pu: Mekap Muka Yang Menggambarkan Perangai Watak
Apakah itu Lian pu?Lian pu ( 脸谱: liǎnpǔ) atau mekap muka Opera Peking merupakan seni solekan pada muka pelakon untuk melambangkan perangai watak. Pelakon-pelakon opera Beijing akan dirias dengan mekap muka yang berbeza bagi mewakili watak yang berbeza.
Wajah para artisnya disolek dengan pelbagai bahan yang berwarna-warni. Penggunaan pelbagai jeins warna pada mekap dan kostum telah memberikan ciri yang istimewa kepada Opera Peking.
Setiap watak mempunyai mekap yang membawa maksud yang tersendiri dan kostum yang memberi informasi yang penting tentang karakter yang dimainkan.
Warna merah melambangkan taat setia. Warna hitam bermaksud gagah dan bijak, manakala mekap muka berwarna biru dan hijau merujuk kepada pahlawan yang berani.
Jika anda melihat pelakon opera mengenakan mekap muka berwarna kuning dan putih, itulah dia watak licik di dalam opera.
Tidak ketinggalan, watak dewa-dewi dan hantu pula dapat kita ketahui melalui mekap muka yang berwarna keemasan dan perak.
Muzik Opera Beijing
Melodi dikelaskan kepada dua jenis iaitu Xipi dan Er hong. Xi Pi dimainkan untuk mengekspresikan mood yang mengujakan seperti bahagia, marah, dan pergolakan. Manakala Er Hong digunakan untuk mengekspresikan mood yang lemah seperti pemikiran yang mendalam, kesedihan dan melankoli.
Di samping itu, persembahan dilatari dengan instrument perkusi, instrument bertali gong, simbal, seruling, dram dan sebagainya. Melodi harmoni dan ritma yang sangat lembut dimainkan ketika persembahan. Adakalanya, persembahan akan diselangi dengan bunyi simbal yang nyaring.
Kostum Pelakon Opera Peking
Selain itu, kostum yang dikenakan oleh pelakon Opera Peking indah, elegan, kebanyakkannya ialah sulaman tangan. Memandangkan ia merupakan corak tradisional cina, ia mempunyai nilai estetik yang sangat tinggi.
Watak yang Terdapat dalam Opera Peking
Terdapat 4 jenis watak dalam Opera Peking iaitu:
- Sheng 生 ( shēng )
- Dan 旦 ( dàn )
- Jing 净 ( jìng )
- Chou 丑 ( chǒu )
Sheng
Watak Sheng dibahagikan kepada “Lao sheng” dan “Xiao sheng”. Lao sheng ialah lelaki tua. Xiao sheng ialah lelaki muda.
Lao Sheng mempunyai janggut berwarna hitam atau putih, bergantung kepada umurnya dan memakai topi hitam dengan dua sirip yang berbeza bentuk bagi melambangkan kedudukannya. Suara Lao Sheng lembut dan senang didengari. Ia tidaklah terlalu kesar dan nyaring, tetapi lembut dan tegas.
Watak Xiao Sheng memerlukan pelakonnya mempunyai kebolehan memgeluarkan suara yang nyaring yang menunjukkan usianya yang muda. Ini adalah sesuatu yang mencabar terutama di bahagian nyanyian.
Apabila bercakap, pelakon perlu menjatuhkan nada suaranya dengan tiba-tiba dari suara yang nyaring untuk menunjukkan perubahan fasa remaja. Pelakon watak xiao sheng selalunya kecil sahaja dan tidak memakai janggut.
Jing
Watak Jing ialah lelaki yang perangai atau mukanya agak unik. Seringkali memainkan peranan sebagai jeneral tentera yang mempunyai kedudukan yang tinggi, watak Jing yang mukanya dimekap ini juga dilihat sebagai pahlawan.
Watak Jing terbahagi kepada 3 jenis. Dong Chui atau dikenali sebagai Hei Tou (muka hitam) yang sangat bagus dalam menyanyi dan merupakan jeneral yang setia, Jia Zi yang sangat bagus berlakon dan kebiasaanya watak yang kompleks dan Wu Jing yang mahir berlawan dan akrobat.
Chou
Watak Chou yang juga dikenali dengan Xiao Hua Lian ialah lelaki yang sangat cerdik dan lucu. Watak Chou boleh dibahagikan kepada dua, iaitu Wen Chou dan Wu Chou. Wen Chou ialah orang awam seperti hamba, saudagar dan orang yang mempunyai pengetahuan agama.
Wu Chou mempersembahkan watak ketenteraan seperti tentera dan mestilah mempunyai kemahiran akrobat. Kostum Chou berbeza bagi menunjukkan kedudukan sosial yang tinggi atau yang rendah.
Dan
Watak Dan merujuk kepada watak pelakon lelaki yang memainkan peranan wanita dalam opera. Pelakon ini perlu mempamerkan kejeliaan wanita bukan hanya melalui kostum sahaja, tetapi juga melalui wajah, pergerakan dan lain-lain.
Watak Dan dibahagikan kepada 6 bahagian utama iaitu:
- Qing Yi yang membawa watak perempuan sederhana dan mulia
- Hua Dan yang begitu menggoda
- Gui Men Dan iaitu gadis muda yang telah berkahwin
- Dao Ma Dan yang kuat dan bertenaga
- Wu Dan seorang akrobat
- Lao Dan yang merupakan wanita tua
Qingyi ialah wanita dewasa, biasanya wanita dari keluarga mewah. Qing Yi menggambarkan wanita yang baik dan penuh dengan sifat simpati. Selalunya Qing Yi seorang yang pendiam, anggun dan lemah lembut. Qing Yi memegang watak wanita Cina yang cantik dan ideal.
Sebagai isteri, Qing Yi adalah isteri yang setia. Kostum Qing Yi sederhana, elegan dan berkualiti tinggi, tetapi warnanya tidaklah seterang kostum Hua Dan. Nyanyiannya merdu dan bernada tinggi.
Huadan ialah gadis kecil, biasanya wanita yang hidup dalam lapisan bawah sosial. Hua Dan adalah membawa watak perempuan yang muda dan menggoda.
Standard sosialnya tidaklah setinggi Qing Yi, keletah tangkasnya mampu menarik perhatian penonton. Riak muka Hua Dan sentiasa berubah dan pergerakan mata yang nakal sangat menarik.
Disebabkan status sosial yang rendah, banyak pergerakan tangan diperlukan seperti di kepercayaan masa lampau perempuan dianggap tidak sopan jika menunjukkan tangannya.
Karakternya jika dibandingkan dengan Qing Yi tidaklah sebaik dan pendiam seperti Qing Yi. Jadi nyanyiannya lebih lebih kukuh dan tegas. Hua Dan lebih banyak bercakap berbanding menyanyi.
Gui Mei Dan adalah watak gadis muda yang belum berkahwin. Gui Mei nanti apabila membesar akhirnya akan menjadi watak Qing Yi dan Hua Dan. Ketidakmatangannya ditonjolkan dengan sangat jelas dan sedikit nakal.
Watak Dao Ma Dan merupakan watak pahlawan wanita. Pelakon yang memainkan watak ini dilatih khusus untuk berlakon dan bernyanyi. Dao Ma akan mempersembahkan banyak pergerakan yang mahir terutamanya dengan bulu pegar di kepalanya dan dan senjata ketenteraan.
Wu Dan ialah wanita yang pandai kungfu.Wu Dan adalah akrobat perempuan. Pelakon yang berbakat diperlukan bagi memastikan persembahan yang hebat.
Lao Dan adalah wanita tua, dan kemahiran yang hebat diperlukan untuk bahagian yang khusus. Watak Lao Dan digambarkan dengan jelas melalui tubuh badan yang bongkok. Dia selalu membawa barang-barang. Tidak seperti watak perempuan yang lian, Lao Dan tidak memakai mekap dan kostumnya agar pudar.
Pelakon Dan yang terkemuka ialah Mei Lan Fang. (1894-1961)
Mei Lan Fang: Mengangkat Opera Peking di Mata Dunia
Mei Lanfang (梅兰芳: Méi Lánfāng) ialah pelakon opera Peking yang pertama memperkenalkan opera Peking di luar negara. Beliau banyak terlibat dalam aktiviti pertukaran budaya dengan Jepun, Amerika Syarikat, Soviet Union dan lain-lain bagi mempromosikan kesenian budaya ini. Beliau telah ke Eropah dan Amerika Utara untuk melakukan Persembahan Opera Beijing.
Mei Lan Fang dilahirkan di Beijing pada 1894. Beliau merupakan pelakon opera Beijing dalam Cina moden. Lahir dalam keluarga pelakon opera di Beijing, Mei Lan Fang mula belajar persembahan opera ketika berumur 8 tahun. Ketika umurnya mencapai 20 tahun, beliau sudah menjadi pelakon opera yang sangat terkenal di Beijing dan Shanghai.
Selain Shang Xiao Yun,Cheng Yan Qiu, dan Xun Huisheng, Mei Lan Fang adalah salah satu dari Empat Dan Terbaik. Beliau juga banyak berhubung dengan ramai penulis dan artis terkenal dunia seperti Tagore, Golgi, Vsevolod Mayerhold, Lev Tolstoy, Bernard Shaw, Chaplin dan Fairbanks.
Pada Julai 1937, berlaku insiden Jambatan Marco Polo dan kemudiannya tentera Jepun mula memasuki Beijing. Komander tentera telah memerintahkan Mei Lanfang untuk membuat persembahan Opera Beijing buat mereka dan menawarkan jawatan yang kepadanya. Namun, Mei Lan Fang dengan beraninya menolak perintah dan tawaran tersebut.
Melihat kepada sumbangan Mei Lan Fang dalam mempromosikan opera Beijing di luar negara, saya dapat merasakan bahawa Mei Lan Fang benar-benar duta yang hebat dalam memperkenalkan budaya Cina di mata dunia.
Lokasi Menonton Opera Peking
Jika anda berminat untuk menonton persembahan Opera Beijing, anda boleh ke alamat berikut:
Tingkat 1, No 175 Qianmen Jianguo Hotel, Jalan Yong’an, Xuanwu, Beijing.
北京市宣武区永安路175号前门建国饭店1楼。
Pengangkutan: Subway Hepingmen di Line 2.
Masa: 7.30 malam sehingga 9 malam
Harga tiket: 200 yuan, 280 yuan, 380 yuan, 480 yuan, 580 yuan, berbeza mengikut kedudukan tempat duduk.
Opera Peking: Mampukah Warisan Ini Bertahan?
Sejak lawatan pelakon Opera Peking yang terkenal, Mei Lan Fang ke Jepun pada 1919, Opera Peking menjadi semakin terkenal. Opera Peking telah memberikan sumbangan yang besar kepada pertukaran budaya antara China dan Barat.
Selama 200 tahun Opera Peking bertapak dan hidup di tengah-tengah masyarakat, hari ini timbul persoalan, mampukah warisan kesenian tradisional ini bertahan untuk ratusan bahkan ribuan tahun akan datang?
Berbicara tentang kesenian dan budaya, tidak dapat tidak kita harus berbalik kepada asal usul mengapa kesenian itu bermula. Hari ini, dalam kepesatan teknologi dan perkembangan dunia tanpa sempadan, nilai kesenian dan cita rasa setiap manusia begitu cepat sekali berubah.
Suka atau tidak, Opera Peking harus berdepan dengan kenyataan apabila minat anak muda kini sudah sedikit sebanyak berubah seiring dengan perubahan zaman.
Menyelami hakikat kehidupan para pelakon yang setiap hari perlu berlatih menggunakan suara yang merdu dan gerakan yang tepat dan tangkas namun pada masa yang sama, tidak setiap hari mereka ditawarkan untuk melakukan persembahan telah membuatkan para pelakon Opera Peking mula memilih untuk mencari pekerjaan yang lain.
Opera Peking adalah salah satu yang menjadikan Beijing mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Amatlah sayang, jika warisan kesenian yang sudah berusia lebih 200 tahun ini tidak diteruskan.
Opera Peking memerlukan lebih ramai lagi “Mei Lan Fang” baru zaman ini yang bukan sahaja memperjuangkan kelangsungan warisan kesenian ini di Beijing tetapi juga mengangkat Opera Beijing di mata dunia.
Mampukah Opera Peking bertahan? Ya, jika ada “Mei Lan Fang” baru zaman ini yang mempunyai cita-cita besar mengangkat Opera Peking di persada dunia.