Nak Kekal Muda? Tips Orang Cina Ini Boleh Bantu Anda

Home » Nak Kekal Muda? Tips Orang Cina Ini Boleh Bantu Anda

Menurut kebiasaan masyarakat China, sebaik sahaja bersara dari pekerjaan, mereka akan banyak meluangkan masa bersama anak cucu.

Dengan jumlah populasi mencecah 1.3 bilion penduduk, bilangan warga emas di China melebihi golongan muda. Ini berpunca daripada polisi pengawalan kelahiran yang diambil oleh kerajaan China.

orang tua suami isteri

Kekal Muda, Rahsia Orang Cina

Polisi ini bertujuan untuk mengawal pertambahan bilangan penduduk dengan menyekat kelahiran di mana satu keluarga hanya dibenarkan untuk melahirkan seorang anak sahaja. Oleh sebab itu, bilangan warga emas di China menjangkau jumlah yang sangat besar, jauh melebihi golongan muda.

Melihat kepada situasi ini, kerajaan China telah mengambil keputusan untuk mengubah polisi tersebut dengan membenarkan kelahiran dua orang anak bagi setiap keluarga, tetapi masih tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Sedar akan hakikat ini, pemindaan ke atas polisi tersebut adalah sangat wajar kerana negara memerlukan golongan muda bagi meneruskan pentadbiran dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.

Menurut kajian pada 29 Julai 2015, bilangan penduduk China yang berusia 65 tahun dan ke atas adalah lebih ramai jika dibandingkan dengan populasi warga emas yang berusia 65 tahun ke atas di lima buah negara berikut yang digabungkan: Itali, Jerman, Jepun, Perancis, Amerika.

Populasi warga emas di negara China malah hampir mencecah 140 juta, iaitu hampir menyamai jumlah keseluruhan penduduk di negara Rusia; iaitu seramai 143.5 juta orang.

Purata umur hidup setiap warga negara di China adalah 73.05 tahun dan bilangan ini semakin menaik setiap tahun.

Kehidupan Selepas Berpencen: Tradisi Menjaga Hubungan Kekeluargaan

orang tua dan cucu

Warga China amat mengutamakan keluarga dalam setiap hal. Mengikut tradisi mereka, mengorbankan masa tua demi anak-anak adalah perkara biasa.

Ini juga berkemungkinan kerana kebanyakan keluarga hanya memiliki seorang anak sahaja dan tumpuan sepenuhnya diberikan ke atas anak tersebut.

Pada hari minggu, akan kelihatan ramai atuk dan nenek yang berdiri di hadapan pagar besar tadika mahupun sekolah bagi menjemput cucu mereka sebaik sahaja tamat masa persekolahan. Pada hujung minggu pula, atuk dan nenek inilah yang akan menjalankan tugas menghantar cucu masing-masing ke pelbagai kelas tambahan.

Antaranya adalah kelas tarian, kelas tuisyen, kelas muzik, kelas pertahanan diri, dan macam-macam lagi. Kadang-kadang, agak kasihan melihat mereka berasak-asak di dalam bas bersama cucu masing-masing.

Tetapi sejak kebelakangan ini, ramai antara mereka yang sudah bersara berpendapat bahawa mereka ingin menukar gaya hidup tradisi mereka itu. Ramai yang sudah mula merasakan bahawa ia amat penting untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih berkualiti di pengakhiran hayat mereka; iaitu bukan lagi dengan memberi fokus kepada menjaga keluarga sahaja.

Semakin lama, tradisi memberi keutamaan kepada keluarga di masa tua juga telah semakin pudar, terutamanya di bandar-bandar besar. Mereka kini, lebih gemar meluangkan masa tua dengan memenuhi hobi dan minat mereka sendiri.

Ada di antara mereka yang memilih untuk menyambung pelajaran. Ada juga yang memilih untuk menikmati kehidupan menurut definisi kebahagiaan masing-masing. Dan sebenarnya, masih ada juga yang memilih untuk mengekalkan tradisi; iaitu bersama anak dan cucu masing-masing.

Kehidupan Selepas Berpencen: Kehidupan Bersama Kawan-kawan

taichi

Amat mengujakan apabila melihat ramai warga tua yang beraktiviti di taman-taman pada setiap pagi dan petang hari.

Mereka bertaichi, berjemur di bawah cahaya matahari, menari tarian kipas, bermain catur cina, mengambil gambar pemandangan, dan sebagainya. Kesemua ini adalah aktiviti mingguan bagi mereka; atau dengan kata lain, mereka melakukannya secara berkala. Saya berpendapat bahawa, kehidupan begini sangat menenangkan dan memberi kedamaian.

catur cina

Tips Kesihatan Kekal Muda

Pernah saya menjadikan aktiviti berjalan-jalan di taman dan berbual bersama orang tua di sana sebagai rutin mingguan saya, demi meningkatkan penguasaan bahasa mandarin, di samping menambah sedikit-sebanyak info tentang keadaan masyarakat di negara China.

Disebabkan tertarik dengan sepasang suami isteri yang kelihatan masih sangat sihat walau sudah berusia, maka saya mula menyapa mereka. Sungguh seronok apabila menerima sapaan balas dari mereka. Malah, senyuman dan bait-bait kata yang menghangatkan hati itu telah membuatkan saya tersenyum sepanjang hari.

Usia pasangan suami isteri ini sebenarnya hampir mencecah 80 tahun, tetapi keadaan tubuh badan mereka yang amat sihat telah membuatkan saya berminat untuk bertanyakan mereka tentang sedikit tips kesihatan.

tua sihat
Pasangan suami isteri yang berbual dengan saya pada hari tersebut.

Kata mereka,

1) Boleh sahaja jika mahu makan nasi, tapi biarlah dalam kuantiti yang sesuai. Paling penting, jaga cara pemakanan anda dan kurangkan pengambilan makanan berminyak.

2) Lebihkan pengambilan sayur pada setiap hidangan.

3) Setiap petang, sekurang-kurangnya berjalan-jalanlah di taman untuk kesihatan diri kita.

4) Jangan biarkan diri kita terdedah dengan emosi negatif kerana itu boleh membahayakan  kesihatan.

5) Banyakkan minum teh herba pada waktu muda, lebih baik jika tidak ditambah gula.

6) Berjemur di bawah cahaya matahari pada setiap petang untuk menambahkan vitamin D (untuk mengefektifkan penyerapan kalsium).

7) Elakkan dari mengambil ubatan moden serta lebihkan ubatan herba dan tradisional.

Di samping itu, banyak nasihat berkaitan kehidupan dan pembelajaran yang turut mereka kongsikan bersama. Ini telah membuatkan saya semakin kagum dengan keramahan hati dan sikap masyarakat China keseluruhannya.

Benarlah, kita sentiasa membawa nama masyarakat, agama dan negara kita ke mana-mana sahaja kita pergi. Orang nampak kita baik, maka disangka baiklah sekumpulan kita semuanya. Tapi jika berlawanan, maka sebaliknya pula yang akan berlaku.

jaga orang tua

Warga Emas China

Situasi di China sekarang, setelah memasuki sahaja fasa warga emas, kebanyakan dari mereka mula hidup bersendirian ataupun berdua sahaja tanpa anak dan cucu di sisi, di mana hampir sama situasinya di Malaysia juga.

Selain itu, ada yang dengan sendirinya mahu dimasukkan ke dalam pusat penjagaan warga emas kerana mereka berasa sunyi apabila sudah berpencen. Dengan adanya ramai kawan yang boleh mereka temui di pusat itu, maka itulah kebahagiaan yang mereka harapkan akan mereka perolehi.

Apa yang saya mahu tekankan disini adalah, mereka mahukan usia tua mereka dipenuhi dengan kepelbagaian aktiviti bersama rakan-rakan dan bukannya hanya bersendirian sahaja di rumah. Satu situasi yang sangat menarik perhatian saya adalah, di sini kita dapat melihat ramai warga emas yang sakit atau berkerusi roda, tetapi masih bersama rakan-rakan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

orrang tua senyum

Gaya hidup sihat yang diamalkan oleh setiap warga emas di China menjadikan hari-hari tua mereka penuh makna tanpa sedikitpun rasa kesunyian dan kekal muda. Sebenarnya, saya sangat suka melihat budaya ini dan saya juga berharap gaya hidup sihat seperti ini dapat kita praktikkan di Malaysia.

Scroll to Top