China memiliki banyak destinasi pelancongan untuk dilawati, dan bersesuaian dengan iklimnya yang mempunyai 4 musim berbeza iaitu musim sejuk,musim bunga, musim panas dan musim luruh, setiap musim menjanjikan suasana percutian yang berbeza dan menakjubkan.

Bagi mereka yang gemarkan musim sejuk atau memasang impian untuk bermain salji anda boleh datang ke China pada bulan Disember hingga Februari.

Salji di Beijing

Pada musim ini suhunya dibawah 0 darjah celcius dan boleh mencecah sehingga -10 celcius pada bulan Januari.

Pada musim sejuk hujan sangat jarang turun dan jika ada matahari pun ia tidak dapat memberi anda kehangatan.Persediaan rapi dari segi pakaian terutamanya perlu dilakukan bagi mengharungi musim sejuk di China kerana istimewanya musim sejuk di China berbeza dengan negara lain ialah disini angin musim sejuk bertiup sangat kencang dan sejuknya hingga ke tulang!

Untuk pengetahuan anda semua,bukan semua daerah di China mempunyai musim sejuk, contohnya bahagian selatan China seperti Guangzhou,Shenzhen dan Hong kong iklim dan suhunya lebih kurang sahaja dengan Malaysia.

Harbin: Meredah salji tebal dan suhu ekstrim serendah -30

Jika anda merancang percutian ke China ketika musim sejuk jangan lupa untuk masukkan bersama Harbin dalam perancangan anda!

Harbin

Dimanakah Harbin? Harbin terletak diprovinsi Heilongjiang, negeri paling utara di China.Kedudukannya betul-betul bersebelahan dengan Russia yang mana terletaknya salah satu stesen keretapi terpanjang di dunia( Trans-Siberian Railroad) . Asalnya Harbin ni adalah wilayah kepunyaan Rusia tetapi ia telah dirampas oleh China suatu masa dahulu.

Lokasi Harbin
Harbin yang terletak di utara China

Harbin juga di kenali sebagai Oriental Moscow kerana kebanyakan bangunan disini dibina oleh orang Rusia.

Penduduk di sini fasih berbahasa Rusia dan rupa paras mereka juga agak berlainan dengan orang cina di tempat lain, kebanyakan mereka memiliki hidung yang agak mancung dan rupa paras yang lebih mirip orang Rusia.

“Harbin Russians” adalah istilah yang digunakan merujuk kepada generasi Rusia yang masih tinggal di Bandar Harbin.

Orang Harbin
Orang Harbin yang memiliki rupa paras seperti orang Rusia

Suhu di Harbin sangatlah ekstrim sehingga boleh mencapai -30 celcius di bawah paras beku.Bayangkan jika suhu 0 celcius pun sudah sejuk hingga ke tulang, tidak boleh kita bayangkan bagaimana mengharungi suhu serendah itu.

Apa menarik di Harbin?

Oleh kerana Harbin terkenal dengan suhunya yang ekstrim dan saljinya yang tebal maka kebanyakan aktiviti disini semuanya berasaskan ais dan salji.

Harbin Ice & Snow Festival

Harbin Ice & Snow Festival ialah tarikan utama di Harbin dan ia merupakan festival ais terbesar di dunia. Festival ini akan bermula pada 5 Januari setiap tahun dan berlangsung sehingga bulan Februari. Namun, bergantung pada cuaca setempat ia boleh bermula lebih awal dan tamat lebih lewat.

Harbin Ice Snow Festival

Disini terdapat banyak binaan yang dibina daripada ais contohnya ada replika Forbidden City Beijing, Tembok Besar China,muzium dan banyak lagi binaan yang terkenal dibuat menggunakan ais.

Pada malam hari pula anda dapat melihat lampu berwarna-warni diiringi dengan alunan musik serta letupan bunga api.

Banyak aktiviti yang anda boleh lakukan disini antaranya bermain gelongsor ais (ice sliding), bermain ski dan terdapat banyak juga acara yang dianjurkan ketika festival berlangsung seperti berenang di sungai berais, hoki ais,bola sepak di lapangan ais, memahat ais dan banyak lagi yang menjadi tarikan pelancong.

Harbin Ice Snow Festival
Harbin Ice Snow Festival pada waktu malam

Festival ini bermula jam 9 pagi hingga 9 malam.Tiket masuk bagi dewasa ialah 240 yuan dan 120 yuan bagi kanak-kanak dan percuma bagi kanak-kanak dibawah 1.2 meter.

Harbin Ice Snow Festival

Jika anda berkunjung pada siang hari tiket masuk hanya 150 yuan untuk dewasa dan 120 yuan bagi kanak-kanak.

Harbin Ice Snow Festival

Jika anda datang kesini pastikan anda mengenakan pakaian yang bersesuai,kebanyakan pelancong hanya berada disini selama beberapa jam kerana tidak tahan dengan cuaca yang terlampau sejuk.

Jadi, pastikan anda membuat persiapan rapi!

China Snow Town

China Snow Town yang juga dikenali 雪乡(Xuě xiāng) ialah perkampungan ais yang terletak kira-kira 280 km dari Harbin. Ia mengambil masa lebih kurang 6 jam perjalanan menaiki kereta.Disini anda boleh rasai pengalaman meredah salji setinggi 2m!

Harbin Snow Town

Disini terdapat banyak rumah yang dihiasi dengan jagung dan cili merah yang digantung untuk dikeringkan.

Harbin Snow Village

Tempat ini juga menjadi syurga buat pencinta fotografi kerana disini umpama ‘winter wonderland’ dan ia juga kerap menjadi lokasi pengambaran filem.

Masa terbaik untuk datang kesini ialah pada bulan Disember hingga Mac.

Harbin Snow Village

Di sini anda boleh menyelusuri kawasan perkampungan, menaiki snowmobile atau menaiki kenderaan yang ditarik oleh kuda atau anjing untuk pergi ke Yanchaoshan Mountain untuk melihat matahari terbit, mengambil gambar serta melihat kehidupan masyarakat tempatan disana.

Harbin Snow Village

Tips: Ada beberapa cara untuk anda sampai ke China Snow Town ini,antaranya:

-Naik keretapi dari Harbin( atau dari Bandar lain) ke  Mudanjian/Linhai City dan kemudian menaiki bas ke sini.

-Ambil bas berhampiran Harbin Railway Station ke Changting  Town kemudian ambil taxi atau bas ke sini.

Zhongyang Street

Zhongyang Street ini boleh dikatakan pusat bagi ibu kota Harbin dimana disini terletaknya hotel, bangunan pejabat serta kompleks membeli belah.

中央大街

Menariknya Zhongyang Street ini ialah laluan pejalan kaki disini dibina dengan reka bentuk seni bina Rusia.

Zhongyang Street

Berjalan di sekitar kawasan ini seolah membawa anda melancong ke Rusia. Untuk pengetahuan anda Zhongyang Street atau juga dikenali sebagai Central Street ini merupakan street terbesar dan terpanjang di Asia. Disini juga banyak terdapat restoran dan kedai menjual cenderamata.

Luang masa anda disini untuk menikmati gabungan keindahan seni bina China-Rusia!

Siberian Park

Siberian Park merupakan taman harimau Siberia yang dilindungi.Kawasan ini sangat luas hingga mencapai 1000 juta kaki persegi dan harimau disini dibiarkan bebas tetapi masih dalam kawasan berpagar untuk keselamatan pengunjung.

Harimau Siberia boleh dikategorikan juga antara haiwan yang terancam kerana kebanyakan habitat asal mereka telah musnah.

Harbin Serbian Tiger Park

Siberian Park ini ialah taman harimau Siberia terbesar di dunia. Pengunjung boleh menaiki kenderaan yang disediakan untuk melihat haiwan tersebut. Anda juga boleh membeli makanan untuk mereka.

Tiket masuk kesini ialah 90 yuan bagi dewasa dan 45 yuan bagi kanak-kanak dan ia dibuka seawall jam 9 pagi.

Tips: Anda boleh menaiki bas no 35 atau 122 dan berhenti di stesen Siberia Tiger Park( Hu Linyuan).

Bagaimana mahu ke Harbin?

Setakat ini tiada penerbangan terus dari Malaysia ke Harbin. Jika mahu kesini anda harus terlebih dahulu transit di beberapa tempat. Kebiasaanya, pelancong akan mengambil penerbangan Malaysia ke Beijing kemudian dari Beijing menaiki keretapi terus ke Harbin.

Jika anda menaiki keretapi laju perjalanan mengambil masa selama 8 jam. Anda boleh menaiki kereta api dari stesen kereta api Beijing ke stesen Harbin Xi (Harbin West) dan harga tiket untuk sehala lebih kurang 300 yuan.

Harbin West Station

Harga tiket bergantung pada jenis kereta api dan kelas yang kita ambil. Jika anda memilih kelas sleeper maka tiketnya akan sedikit mahal berbanding seater.

Anda boleh memeriksa jadual perjalanan kereta api di ctrip.com dan untuk tips membeli tiket kereta api boleh rujuk post kami sebelum ini > 3 Cara Mudah Membeli Tiket Keretapi Di China

Tips: Bulan Januari hingga Februari ialah peak time untuk ke Harbin, jadi anda dinasihati untuk membeli tiket sekurang-kurangnya 3 minggu awal bagi mengelakkan tiket habis dijual.

Bagaimana makanan dan penginapan?

Jika anda datang ke Harbin mengikut pakej ia tidak menjadi sebarang masalah tetapi bagi yang travel secara sendiri anda perlulah buat beberapa persediaan.

Hotel seperti biasa boleh ditempah di Booking.com tetapi satu perkara yang anda harus tahu ialah laman web ini tidak mengemaskini maklumat hotel di China secara kerap. Ada situasi dimana hotel yang telah ditempah telah ditutup atau alamat yang diberi salah kerana telah berpindah ke kawasan lain.

Jadi, seeloknya jika anda ingin menempah hotel di Harbin atau di China secara umumnya, pastikan anda menelefon hotel tesebut terlebih dahulu untuk memastikan kewujudan hotel tersebut.

Selain daripada itu, dapatkan juga alamat hotel dalam tulisan Cina dan bukannya pinyin kerana kebanyakan pemandu teksi atau orang cina tidak boleh membaca pinyin.

Dan tips yang terakhir, pastikan hotel yang ditempah ‘free cancellation’ supaya jika berlaku apa-apa perubahan pada jadual perjalanan anda tempahan boleh dibatalkan tanpa bayaran.

Untuk dapatkan maklumat mengenai makanan halal anda boleh rujuk di sini: Makanan halal di Harbin

Bagi mereka yang merancang percutian ke Harbin pastikan anda lakukan persediaan fizikal dan mental terutamanya bagi mereka yang kali pertama ingin merasai kedinginan musim sejuk.

Memakai pakaian yang kalis angin,kasut yang berbulu dibahagian dalam adalah yang terbaik. Selain itu, jangan lupa untuk bawa bersama hot-pack dan ubat-ubatan bagi yang mudah jatuh sakit.

Dandong: Pintu ke Korea Utara

Alang-alang anda sudah sampai ke utara China, ambil kesempatan untuk terus ke Korea Utara melalui Dandong.

Di manakah Dandong?

Dandong

Dandong ialah sebuah daerah di Provinsi Liaoning,dimana bersempadan dengan negara penuh misteri Korea Utara. Sempadan antara dua negara ini dipisahkan oleh Sungai Yalu.

Di sepanjang sungai ini ada perkhidmatan feri bagi mereka yang ingin melihat Korea Utara dengan lebih dekat.

Lebih daripada 2/3 barangan dari China dibawa masuk ke Korea Utara melalui kawasan ini. Dandong ini hanya terletak lebih kurang 1 km dari bandar keenam terbesar di Korea Utara iaitu Sinuiju dan jarak Dandong ke ibu kota Korea Utara,Pyongyang lebih dekat berbanding jaraknya dengan ibu kota Beijing.

Dandong
Diseberang jambatan ini ialah Korea Utara

Negara yang diperintah oleh Presiden Kim Jong- un ini tidak boleh dimasuki terus dengan menaiki kapal terbang dari Malaysia dan antara salah satu alternatifnya adalah dengan megambil penerbangan Malaysia ke Beijing kemudian mengambil kereta api kesini dan jika anda dari Harbin, anda boleh terus menaiki kereta api kesini.

Satu perkara yang anda harus tau, anda tidak boleh melancong atau memasuki sempadan bersendiri.

Anda harus menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar dengan kerajaan dan perlu menandatangani perjanjian pelancongan Korea Utara terlebih dahulu.

Anda boleh memilih pakej yang ada mengikut kemahuan anda, trip sehari harganya anggaran 1000 yuan lebih dan trip tiga hari pula dalam anggaran 4000 yuan. Apabila anda tiba di sempadan ini ada syarikat yang akan menawarkan pelbagai pakej untuk memasuki Korea Utara.

Dandong
Dandong dibahagian China dihiasi lampu LED pada waktu malam sebaliknya gelap di bahagian Korea Utara

Pelancong tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar dan sebelum meninggalkan Korea Utara petugas akan memeriksa kamera anda dan pelancong dilarang memakai denim.

Ia hanya dibenarkan untuk rakyat tempatan sahaja. Jangan lupa untuk sediakan bekalan makanan kerana tiada makanan halal walaupun anda mengikut agensi pelancongan.

Visa tidak diperlukan dan Malaysia merupakan negara pertama dan satu-satunya negara yang boleh masuk ke Korea Utara tanpa visa pelancong.

Bagi yang merancang untuk masuk ke Korea Utara melalui Dandong, pastikan anda prihatin dengan semua tips-tips dan langkah keselamatan.

Selamat mengembara!

Tulisan kali ini adalah antara perkongsian pengalaman saudara Aiman Abd Aziz. Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman bersama limau mandarin!

Sumber: Kumar Sasi/Backpackers Buddies Malaysia

About The Author

Scroll to Top