Simbol Provinsi Yunnan. Jika bercerita tentang filem Assalamualaikum Beijing, saya yakin ramai orang yang mengetahuinya.

Filem ini diadaptasikan dari novel karya Asma Nadia, yang kini terkenal dengan filem Syurga Yang Tak Dirindukan.

Asma dan Zhongwen
Perkenalan Asma dan Zhongwen

Bagi anda yang pernah menonton filem ini, pasti anda akan mengingati babak perkenalan Asma dan Zhong Wen di dalam bas.

Zhong Wen menceritakan kepada Asma tentang Lagenda Ashima dan Ahei kepada Asma yang wujud di Provinsi Yunnan.

Itulah dia, Ahei dan Ashima, simbol provinsi Yunnan yang  kaya  dengan  pelbagai budaya yang wajib anda terokai.

YUNNAN : AWAN SELATAN

Barat Daya China
Kedudukan Yunnan di barat daya China. Yunnan bersempadan dengan Vietnam, Laos dan Burma

Yunnan adalah sebuah provinsi yang terletak barat daya Tanah Besar China. Kunming adalah ibu kota Provinsi Yunnan. Yunnan unik bukan sahaja kerana bersempadan dengan Vietnam, Laos dan Burma, tetapi di Yunnan saja berkumpulnya 25 etnik minoriti seperti Kaum Naxi, Kaum Bai, Kaum Yi, Kaum Hani, Kaum Zhuang, Kaum Dai, Kaum Miao dan lain-lain.

TEMPAT WAJIB ANDA KUNJUNGI DI YUNNAN

SHILIN/ HUTAN BATU

Shilin
Pemandangan Hutan Batu Shilin telah telah wujud sejak 200 juta tahun dahulu.

Antara tempat menarik yang wajib dikunjungi ialah 石林 (Shílín) atau dikenali sebagai Stone Forest. Shilin terletak 78 kilometer dari Kunming dan wujud sejak 200 juta tahun dahulu. Di sinilah tersimpan kisah lagenda Ashima.

Menurut lagenda, Ashima ialah gadis Kaum Sani yang sangat cantik dan baik hati.  Kisah percintaan Ashima dan Ahei yang terhalang oleh orang ketiga berakhir dengan Ashima yang bertukar menjadi batu.

JIU XIANG/ NINE VILLAGES

Jiu Xiang
Jangan lepaskan peluang meneroka Jiu Xiang, gua batu kapur berusia 600 juta tahun ini!

Selain itu, anda juga disyorkan untuk ke Jiu Xiang, sebuah gua batu kapur yang sangat cantik. Jiu Xiang bermaksud Sembilan Kampung, ia terbentuk sejak 600 juta tahun yang lalu. Di sini anda boleh menaiki bot sebelum meneroka keindahan Gua batu kapur yang bercahaya dengan cahaya lampu neon yang berwarna-warni.

Semasa menelusuri gua batu kapur ini,anda boleh menikmati stalaktik dan stalakmit yang terbentuk dan air terjun yang sangat deras mengalir di dalam kawasan Gua ini. Jiu Xiang terletak 90 kilometer dari Kunming dan 20 kilometer dari Stone Forest (Shi Lin).

Yuran masuk ke Jiu Xiang ialah 90 yuan. Jiu Xiang sesuai untuk anak muda yang sihat tubuh badan, pencinta alam dan pencinta geologi.

LI JIANG

Lijiang, Yunnan
Lijiang, kota lama yang pernah diperintah oleh keluarga Mu semasa Dinasti Ming dan Dinasti Qing

Kebanyakan pelancong tidak akan melepaskan peluang untuk berkunjung ke Li Jiang. Li Jiang adalah kota lama yang wujud sejak 800 tahun yang lalu. Kota lama Lijiang terkenal dengan sistem perairannya dan keunikan jambatan yang mempunyai senibina Cina yang cantik.

Kota lama Lijiang unik dengan seni bina cina lama, sejarah dan budaya kaum minoriti di sana iaitu kaum Naxi. Kota ini pernah berada di bawah pemerintahan keluarga Mu semasa Dinasti Ming dan Dinasti Qing selama hampir 500 tahun.

Anda disyorkan menaiki bot pada waktu malam untuk menikmati keindahan kota lama Lijiang pada waktu malam. Ketika berjalan di Li Jiang dan menelusuri jalan-jalannya yang masih mengekalkan senibina cina lama, anda akan merasakan seolah-olah anda kembali ke ribuan tahun dahulu.

YU LONG XUE SHAN / THE JADE DRAGON SNOW

Gunung di Yunnan
Pemandangan yang indah datang setelah pendakian yang payah

Jika Shilin menyimpan kisah cinta Ashima dan Ahei, gunung bersalji ini pula mempuyai kisah tentang pasangan adik-beradik kembar yang bernama Yu Long dan Ha Ba. Pastikan anda tidak melepas peluang berkunjung ke Yu Long Xue Shan atau The Jade Dragon Snow Mountain jika anda sudah sampai di Li Jiang.

Menurut kepercayaan masyarakat tempatan, mereka menganggap gunung ini sebagai gunung suci. Jadi, pastikan anda tidak menunjukkan gunung ini menggunakan jari telunjuk anda kerana ia dianggap tidak sopan.

The Jade Dragon Snow Mountain ini adalah gunung bersalji yang paling selatan di China. Puncak tertingginya ialah Shanzidou yang mencapai ketinggian 5596 meter. Aktiviti mendaki gunung ini sesuai buat mereka yang sukakan cabaran mendaki gunung dalam suhu yang sangat dingin.

Etnik di Yunnan
Persembahan yang dilakukan oleh pelbagai etnik minoriti di Yunnan. Sangat menarik!

Yin Xiang Li Jiang pula adalah persembahan kaum minoriti di Yunnan yang boleh anda saksikan. Persembahan ini sangat menarik kerana dilakonkan oleh hampir seribu orang, 500 ekor kuda dan berlatar belakangkan Yu Long Xue Shan atau The Jade Dragon Snow Mountain.

ER HAI/ EAR-SHAPED SEA

Er Hai
Menikmati nyamannya angin di Ear-Shaped Lake atau Er Hai.

Bagi anda yang suka menikmati keindahan tasik, Tasik Er Hai di Dali adalah sangat disyorkan untuk anda kunjungi. Di sana, anda akan dapat menonton persembahan yang dilakukan oleh etnik minoriti di Yunnan dan diberi minum teh percuma. Tasik ini dinamakan Er Hai kerana bentuknya menyerupai telinga.

Dalam Bahasa Mandarin, Er bermaksud telinga (耳朵:Ěrduo) dan Hai bermaksud laut (海: Hǎi)

TULISAN DONGBA

Tulisan Dongba
Tulisan Dongba yang merupakan warisan Kaum Naxi

Salah satu Budaya menarik di Yunnan ialah kewujudan sistem tulisan yang merupakan budaya kaum Naxi. Dongba ialah sistem tulisan piktograf yang wujud sejak abad ke 7, iaitu ketika awal pemerintahan Dinasti Tang. Pada abad ke 10, iaitu ketika Dinasti Song, ia telah digunakan secara meluas oleh kaum Naxi.

Semasa Revolusi Budaya atau 文革 (Wéngé), ribuan manuskrip telah musnah. Hampir separuh dari tulisan Dongba yang terselamat pada hari ini telah diambil dari China dan dibawa ke Amerika Syarikat, Jerman dan Sepanyol.

Dongba adalah satu-satunya sistem tulisan piktograf yang masih wujud hingga sekarang. Meskipun ia hampir pupus, kerajaan China sedang berusaha mengekalkan kewujudan tulisan Dongba.

SHADIAN: MENEROKA SISI LAIN CHINA

Masjid Shadian
Seni bina Masjid Besar Shadian yang sangat cantik. Di perkarangan masjid disediakan makanan dan minuman percuma kepada semua pengunjung masjid.

Bagi anda yang pertama kali datang ke China, anda pasti tidak akan percaya bahawa Islam di China juga sedang berkembang pesat. Saya sendiri tidak menyangka bahawa  di  Shadian terdapat Masjid Shadian yang sangat besar bersama senibina yang sangat cantik.

Setiap minggu akan diadakan kelas bahasa Arab dan pengajian agama di masjid ini. Kebanyakkan penduduk Shadian memakai jubah hitam dan ketika  azan dikumandangkan saya melihat orang berpusu-pusu menuju ke masjid. Ketika itu, saya merasakan seolah-olah berada di sebuah negara Islam.

Islam yang begitu subur di Shadian!

Tugu di Yunnan
Tugu yang dibina bagi memperingati para syuhada yang syahid semasa Revolusi Budaya.

Di Shadian, terdapat sebuah tugu yang dibina bagi memperingati para syuhada yang terkorban semasa Culture Revolution atau dikenali dengan 文革 (Wéngé). Revolusi Budaya banyak meninggalkan kesan hitam di hati banyak penduduk China, samada Muslim atau pun tidak.

Tugu ini terletak di atas bukit. Kami harus mendaki anak-anak tangga sebelum tiba di sini. Dari atas, pemandangan bandar Shadian boleh dilihat dan akan kelihatan kubah masjid besar Shadian dari sini.

Jika diteliti nama mereka di tugu ini, kebanyakkan yang terkorban adalah dari kelurga Ma, yang merupakan Muslim. Kami tertunduk mengenang kehidupan mereka dan cuba membayangkan apa yang telah dihadapi oleh mereka. Namun, tatkala membaca patah puisi di dinding tugu ini, ternyata isinya berbeza dengan tekaan hati kami.

Para syuhada bergembira dengan kematian mereka.

MAO HUO JIE: MADRASAH PEMBENTUKAN GENERASI MUDA

Mao Huo Jie
Mao Huo Jie, sekolah yang telah banyak melahirkan ramai pelajar yang faqih dalam agama dan dihantar ke seluruh China menjadi imam.

Salah satu sekolah yang kami kunjungi di Yunnan ialah sekolah Mao Huo Jie yang merupakan sekolah yang telah melahirkan begitu ramai pelajar yang faqih dalam agama. Lepasan pelajar dari Mao Huo Jie banyak dihantar ke seluruh China untuk menjadi Imam dan ada juga dalam kalangan pelajar menyambung pelajaran ke luar negara.

Di sini, kami sempat berbual dengan imam masjid dan menemui anak-anak muda yang berkongsi pengalaman belajar di sekolah ini.

Ternyata, mereka anak muda yang penuh cita-cita di dada.

Semua Dalam Satu

Yunnan
Ukir kenangan indah anda di Yunnan!

Jika anda ingin mengenali budaya etnik minoriti Cina dan pada yang yang sama ingin melihat Islam di Cina, Yunnan adalah tempat yang terbaik yang perlu anda kunjungi. Yunnan bukan sahaja kaya dengan tempat yang menarik, budaya yang unik, juga menawarkan sisi-sisi yang tidak anda sangka tentang Islam di China.

Anda pasti jatuh cinta dengan Yunnan!

Jom terokai Yunnan.

About The Author

Scroll to Top