Selain Qing Ming Jie (Tomb Sweeping Day), Zhong Qiu Jie (Mid-Autumn Day) dan Chun Jie (Spring Festival), Duan Wu Jie (Dragon Boat Festival) atau Pesta Perahu Naga merupakan salah satu daripada 4 perayaan tradisional yang utama di China.

PESTA PERAHU NAGA

Ia merupakan hari cuti di Taiwan (Duānwǔ Jié), serta di Hong Kong dan Macau (Tuen Ng Jit). Mulai 2008, ia kembali menjadi hari cuti di Republik Rakyat China.

Perayaan Duan Wu atau Perayaan Perahu Naga ialah salah satu perayaan tradisional dalam masyarakat Cina

Hari kelima bulan kelima dalam kalendar lunar adalah perayaan tradisional yang besar kepada kaum Cina.

Perayaan ini dikenali sebagai Dragon Boat Festival juga disebut sebagai Duan Wu Jie dalam bahasa Cina. Pada hari ini , kebanyakan orang Cina akan memakan zongzi dan mengadakan perlumbaan perahu naga.

ASAL USUL PERAYAAN

Pesta Perahu Naga merupakan perayaan tradisional yang bermula di China pada Zaman Negara-Negara Berperang, ia mempunyai sejarah lebih daripada 2,000 tahun. Menurut legenda, perayaan ini adalah untuk menghargai seorang penyair patriotik yang bernama Qu Yuan.

Qu Yuan merupakan seorang ahli politik dan penyair yang tinggal di negara Chu semasa Zaman Negara-negara Berperang di China.

Jika kita melihat peta China pada hari ini, negara Chu pada zaman dahulu ialah kawasan keseluruhan Hu Bei, Hu Nan pada hari ini, dan sebahagian dari bahagian Chong Qing, He Nan, An Hui, Jiang Su, dan Jiang Xi.

Pada Zaman Negara-Negara Berperang, terdapat 7 negara yang saling berperang iaitu Qi, Chu , Yan, Han , Zhao, Wei dan Qin.

Di antara 7 negara tersebut , Qin merupakan negara yang paling kuat dan ingin menyerang negara yang lain untuk menjadi lebih kuat.

Kedudukan Negara Chu dalam peta China hari ini

Qu Yuan merupakan seorang ahli politik di negara Chu. Beliau menegaskan bahawa politik Chu harus diperbaharui dan bahawa ia perlu bersatu dengan negeri-negeri lain untuk menentang Qin.

Tetapi pendirian beliau telah ditentang oleh pengampu licik, mereka mengumpat Qu Yuan di depan Raja Chu supaya Raja Chu tidak menerima cadangan beliau dan menghalau beliau keluar dari pusat bandar.

Akhirnya, Raja Chu termakan kata-kata pengampu tersebut dan telah memerintahkan supaya Qu Yuan dibuang negara.

Walaupun dibuang negara, Qu Yuan masih sangat bimbang tentang nasib negara beliau.

Apabila beliau mendengar berita bahawa Qin telah mengalahkan negeri Chu, beliau sangat sedih dan merasakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menyelamatkan tanah air, dan seterusnya menenggelamkan dirinya ke dalam Sungai Miluo.

Hari beliau bunuh diri merupakan hari kelima bulan kelima dalam kalendar lunar iaitu pada tahun 278 sebelum masihi.

Apabila orang ramai mendengar berita ini, mereka mendayung perahu mereka di sungai Miluo dan cuba mencari mayatnya, tetapi gagal.

Disebabkan mereka tidak ingin membiarkan ikan dan udang memakan mayat Qu Yuan, orang ramai mencampakkan makanan ke dalam sungai untuk memberi makan kepada ikan dan udang.

Nak belajar bahasa Mandarin ikut masa anda?

Tak perlu hadir kelas dengan bimbingan secara peribadi.

Selepas itu, setiap tahun pada hari kelima bulan kelima dalam kalendar lunar, orang ramai akan mencampakkan makanan ke dalam sungai.

Kemudian, orang ramai berubah mengunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid (zongzi) dan mencampakkan ke dalam sungai. Dengan itu, adat makan zongzi dan mengadakan perlumbaan perahu naga pada hari tersebut telah dibentuk.

Zongzi yang berbentuk seperti piramid

ZONGZI

Zongzi merupakan sejenis makanan yang mengunakan daun buluh untuk membalut beras pulut ke dalam bentuk piramid. Makanan ini mempunyai sejarah yang panjang di dalam sejarah Cina.

Dengan perkembangan masa, orang ramai mula mencampur beras pulut dengan pelbagai jenis bahan makanan supaya Zongzi menjadi lagi sedap. Pada hari ini, terdapat pelbagai bentuk dan jenis zongzi yang dijual.

Perlawanan Perahu Naga yang diadakan pada Pesta Perahu Naga setiap tahun

PERLUMBAAN PERAHU NAGA

Perlumbaan perahu naga merupakan salah satu aktiviti yang diadakan setiap kali Pesta Perahu Naga disambut. Pada mulanya, perlumbaan perahu naga merupakan aktiviti yang diadakan untuk menghargai Qu Yuan.

Dengan perkembangan masa, Perayaan Duan Wu disebarkan ke nagara lain di Asia seperti Korea , Jepun , Vietnam dan negara-negara lain.

Adat perlumbaan perahu naga juga menjadi adat mereka apabila menyambut Perayaan Duan Wu. Sehingga zaman kini, perlumbaan perahu naga telah menjadi salah satu aktiviti sukan air di seluruh dunia.

Perayaan perahu naga selalu menjadi simbol dalam semangat dan kebudayaan bangsa Cina.

Ia merupakan salah satu dari perayaan besar masyarakat Cina yang diadakan setiap tahun, dan hari ini boleh disaksikan di seluruh penjuru dunia.

Terlibat dalam perayaan perahu naga, baik sebagai peserta ataupun penonton, merupakan hal yang menggembirakan dan kemeriahan ini dinikmati oleh semua orang.

Semangat berpasukan!

Pada hari tersebut, kita akan dapat menyaksikan perahu-perahu yang beraneka warna. Perahu-perahu ini dihiasi dengan kepala naga, ekor naga dan lukisan sepanjang badan perahu.

Kita akan dapat menyaksikan para peserta yang berusaha sekuat tenaga untuk menjadi yang pertama sampai pada di garis penamat.

Penonton berteriak dan memberi semangat bagi perahu pilihan mereka, sementara itu pemukul gendang memukul gendangnya dan berteriak untuk memberikan semangat dan menyelaraskan irama dayung bagi setiap peserta dalam perahunya.

KESIMPULAN

Republik Rakyat China ialah sebuah negara yang unik. Selain kepelbagaian kaum dan budaya, negara ini juga mempunyai sejarah yang sangat panjang. Pesta Perahu Naga adalah salah satu daripada perayaan tradisional yang utama di negara China.

Ia bermula sejak 2000 tahun yang lalu menceritakan kepada kita tentang semangat cinta terhadap negara yang ditunjukkan oleh Qu Yuan. Meskipun kisah Qu Yuan merupakan kisah yang telah terlipat dalam lapis-lapis sejarah lama bangsa Cina, namun pengajaran dan rasa cintanya tetap dapat kita rasai sehingga hari ini.

Qu Yuan yang membawa mesej cintakan negara kepada bangsa Cina

Saya kira, dari Qu Yuan, tidak hanya bangsa Cina sahaja dapat mengambil pelajaran dari ketokohan Qu Yuan, tetapi kita juga sebagai muslim.

Kisah Qu Yuan mengingatkan saya kepada penulis buku At-Tarbiyatul Islamiyah Madrasatu Hasan Al-Banna yang menulis bahawa setiap muslim perlu mencintai tanah air, berjuang untuk membebaskannya dari setiap penjajahan dan memerdekakannya dari setiap ikatan yang menghalang kemajuannya.

Setiap muslim memikul amanah di bahunya. Dia wajib mempertahankan negaranya dari serangan musuh dan bekerja memajukan negaranya.

Bagi muslim, batas tanah airnya bukanlah geografi, tetapi dia menganggap tanah air berdasarkan akidah. Setiap tanah yang ada muslim adalah tanah air yang berhak dihormati, dicintai dan diperjuangkan kebaikannnya.

Pada pandangan saya, perlumbaan perahu naga yang dilakukan oleh masyarakat Cina ini sangat bagus bagi mengeratkan hubungan baik sesama mereka dan memupuk semangat berpasukan. Hal-hal seperti ini tidak dapat kita pelajari dengan hanya membaca buku atau duduk bersendirian tanpa bercampur-gaul dengan masyarakat di sekeliling kita.

Semoga kita dapat mengambil pelajaran dari kisah Qu Yuan dan Pesta Perahu Naga ini. Selamat menyambut Pesta Perahu Naga!

About The Author

Scroll to Top