Lu Xun: Dari Stetoskop ke Mata Pena

Home » Lu Xun: Dari Stetoskop ke Mata Pena

Lu Xun, penggoncang dunia sastera China.

Saudara Asrin, dalam kuliahnya  yang bertajuk ‘Manusia Sastera dan Idea Kemanusiaan’ di page Free Read Sandakan ada membentangkan perihal manusia sastera yang memainkan peranan yang sangat besar dalam masyarakat mereka semasa mereka hidup.

A Samad Said, manusia sastera yang menggunakan sastera sebagai alat, bukan produk.

Sastera Sebagai Alat, Bukan Produk

Manusia sastera adalah mereka yang memainkan peranan sebagai penggerak budaya dan terlibat dalam gerakan literasi.

Mereka adalah orang yang melihat sastera sebagai alat, bukan produk. Mereka membuat pemerhatian terhadap masyarakat dan membawa isu-isu kemasyarakatan dan kritik sosial ke dalam karya mereka.

Manusia sastera adalah manusia pemberani. Jika wujud Nabi dalam sastera, maka mereka ini adalah  ‘Nabi Sastera’ yang diutus memimpin masyarakat dan menyelamatkan mereka dari bencana sosial.

Mereka menggunakan mata pena bagi merungkai kekeliruan masyarakat dan menyedarkan mereka melalui tulisan mereka.

Pak Shahnon Ahmad, sasterawan negara yang menulis Ranjau Sepanjang Jalan.

Jika di Malaysia, kita mempunyai manusia sastera seperti A. Samad Said, Usman Awang dan Shahnon Ahmad yang merancakkan dunia penulisan sastera dengan karya-karya yang mencabar status quo, mengkritik masyarakat dan segala sistem yang mencengkamnya, di negara Republik Rakyat China juga mempunyai begitu ramai manusia sastera yang memperjuangkan pembaikan dalam masyarakat.

Manusia Sastera Republik Rakyat China

Republik Rakyat China pada hari ini adalah sebuah negara yang dalam konteks sejarah, telah bermula sejak adanya tamadun Hua Xia di Sungai Kuning.

Setelah lebih 5000 tahun usianya, tidak terhitung begitu banyak penulis terkenal yang bukan sekadar mencatat sejarah tetapi turut mengembangkan ideologi dan idea pembaikan terhadap masyarakat.

Dinasti Tang yang ibu kotanya terletak Xi’an itu sahaja telah melahirkan begitu ramai penulis dan penyair yang terkenal.

Antaranya adalah Du Fu dan Li Bai yang sehingga kini puisi mereka menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran dalam dalam buku teks anak-anak kecil yang sedang menuntut di sekolah dan diulang baca sehingga hari ini.

Dalam artikel kali ini, saya akan menceritakan tentang salah seorang penulis moden Republik Rakyat China yang juga salah seorang manusia sastera yang sangat berpengaruh dalam dunia penulisan. Tulisan beliau disukai oleh Presiden Mao Ze Dong dan dikaji oleh pengkaji sastera sehingga hari ini.

Mengenali Lu Xun; Pengasas Sastera Vernakular Cina 

Lu Xun, seorang penulis yang hebat

Nama sebenarnya ialah Zhou Shuren. Beliau mula menggunakan nama pena Lu Xun semasa menulis “Diari Orang Gila” atau A Madman’s Diary (狂人日記;  pinyin: Kuángrén rìjì  ), sebuah cerita pendek yang diterbitkan pada tahun 1918. Lu Xun lahir pada 25 September 1881 di Shaoxing, Provinsi Zhejiang.

Beliau adalah salah satu daripada penulis Cina yang berpengaruh semasa abad ke-20. Lu Xun banyak menulis cerita pendek, esei, puisi dalam bahasa klasik dan vernakular Cina dan juga merupakan pengasas sastera vernakular Cina atau dikenali sebagai baihua (白話).

Gerakan Baihua

Kebanyakan tulisan Lu Xun diinspirasikan dari Gerakan Budaya Baharu atau New Culture Movement.

Ia merupakan satu gerakan yang cuba memajukan negara China dengan menggunakan tenaga dan pemikiran pemuda tanpa diikat dengan kepercayaan-kepercayaan tradisi lama Cina.

Hal ini demikian kerana kepercayaan-kepercayaan tradisi lama Cina terutamanyanya yang berasal dari ajaran Konfusianisme dianggap telah menghalang China dari menjadi sebuah negara yang membangun.

Gerakan Baihua (Cina ringkas: 五四运动; pinyin: Wǔsì Yùndòng) ialah gerakan anti-imperialisme, budaya dan politik yang muncul dengan demonstrasi yang dilakukan oleh para pelajar di Beijing pada 4 Mei 1919.

Mereka menentang kerajaan China atas respon lambat kerajaan terhadap Perjanjian Versailles terutamanya masalah Shandong.

Demonstrasi ini telah menyemarakkan protes peringkat nasional dan menjadi tanda semangat nasionalisme orang Cina yang inginkan perubahan kepada pergerakan politik untuk rakyat dan bukannya hanya untuk golongan elit intelektual.

Gerakan Budaya Baru yang berlaku meyaksikan lahirnya ramai penulis yang menggunakan bahasa vernakular Cina dalam karya mereka bagi mengkritik budaya tradisional Cina dan sistem feudal yang mencengkam struktur sosial pada ketika itu.

Antara penulis yang lahir dari Gerakan Budaya Baru ialah Mao Dun, Lao She, Bing Xin dan juga Lu Xun.

Buku Kuang Ren Ri Ji atau Diari Orang Gila yang ditulis oleh Lu Xun. Buku ini masih dapat dilihat di Muzium Lu Xun di Beijing

Misalnya, Lu Xun dalam dalam kebanyakan tulisannya banyak mengkritik budaya Konfusianisme.

Dalam karyanya “Diari Orang Gila” atau A Madman’s Diary (狂人日記;  pinyin: Kuángrén rìjì  ) secara langsung mengkritik budaya tradisional Cina ketika itu yang mengamalkan budaya kanibalisme dan menganggap itu sebagai perkara biasa.

Dalam tulisannya “Kampung” atau My Old Home, (家乡; pinyin: jiāxiāng ), Lu Xun membawa isu status sosial masyarakat yang berubah disebabkan sistem feudal yang menekan dan membebankan masyarakat.

Manakala tulisanya The True Story of Ah Q pula menceritakan tentang masyarakat tipikal Cina ketika itu yang sangat lemah.

Tulisan Lu Xun telah banyak membuka mata bagi kebanyakan anak muda pada ketika itu. Tulisannya “Api Mati” atau “The Dead Fire” (死火pinyin: sǐhuǒ ) menceritakan tentang seorang lelaki yang tersesat terperangkap dalam hutan ais dan tidak mempunyai tujuan hidup terjumpa dengan api di sana.

Lu Xun melalui cerita ini cuba menyampaikan pesan supaya manusia ini perlu hidup sama seperti tujuan dia dijadikan. Lu Xun membuat perbandingan dengan api yang diciptakan untuk membakar, bukan mati dalam hutan ais tersebut.

Kematian Bapa & Cita-cita Menjadi Doktor Perubatan

Lu Xun semasa kecil menerima pendidikan dalam bahasa Cina tradisional kerana beliau hidup pada zaman akhir Dinasti Qing. Beliau sangat prihatin dengan kehidupan masyarakat di sekelilingnya.

Semasa zaman kanak-kanak, Lu Xun pernah melawat kampung neneknya.

Di sana, beliau telah berkawan dan bergaul dengan anak-anak para petani di sana.

Penulis bersama rakan-rakan di rumah Lu Xun di Beijing yang kini dijadikan muzium.

Pengalamannya hidup bersama para petani menyebabkan beliau begitu memahami kehidupan dan kesusahan yang dihadapi oleh mereka.

Ketika Lu Xun masih kecil, ayahnya sering sakit dan menggunakan perubatan Cina untuk mengubati penyakitnya.

Namun, disebabkan perubatan Cina yang agak lambat keberkesanannya, ayah Lu Xun akhirnya meninggal dunia.

Kematian ayahnya yang disebabkan oleh penyakit batuk kering telah membuatkan Lu Xun bercita-cita mempelajari perubatan Barat yang lebih moden.

Dari Stetoskop ke Mata Pena

Pada tahun 1904, Lu Xun telah ke Akademi Perubatan Sendai di Sendai, Jepun untuk mempelajari ilmu perubatan.

Namun, pada tahun 1906, Lu Xun mengambil keputusan untuk berhenti mempelajari ilmu perubatan setelah melihat gambar di persembahan slaid (slide show) pensyarahnya di Jepun.

Dalam ruang prakata dalam bukunya yang berjudul Na Han atau A Call To Arms, Lu Xun mengimbau semula insiden tersebut apabila pensyarahnya yang akan berkongsi perkembangan tentang Perang Rusia-Jepun yang tercetus ketika itu.

Gambar seorang warganegara Cina yang dipancung oleh tentera Jepun kerana disyaki menjadi pengintip tentera Rusia semasa Russo-Japanese War

Persembahan slaid  (slideshow) tersebut menujukkan gambar warganegara China yang yang dituduh menjadi pengintip Rusia bagi menentang Jepun. Lelaki itu dikelilingi oleh beberapa warganegara China yang lain yang hanya memandang sahaja lelaki tersebut yang bakal dipancung kepalanya oleh tentera Jepun.

Gambar tersebut menambahkan keyakinan Lu Xun untuk meneruskan perjuangan melalui sastera berbanding ilmu perubatan. Antara petikan Lu Xun dalam prakata bukunya:

“…Persembahan slaid itu meyakinkan saya bahawa sains perubatan tidaklah penting. Masyarakat begitu lemah, negara sangat mundur.

Biarpun mempunyai tubuh badan yang kuat, namun mereka hanya mampu melihat saudaranya mati dibunuh begitu saja. Itu lebih teruk daripada mereka ini semua mati disebabkan penyakit.

Apa yang penting pada masa ini ialah untuk mengubah semangat mereka.

Sejak itu saya merasakan sastera adalah wasilah yang terbaik untuk menghentikan semua ini. Maka saya membuat keputusan untuk berjuang menggunakan sastera.”

Lu Xun
Lu Xun bersama beberapa rakannya dari Zhejiang ketika sama-sama menuntut di Jepun

Jepun pada ketika itu adalah sebuah negara yang banyak berinteraksi dengan dunia barat. Berbanding dengan negara China.

Jadi, kebanyakkan warganegara China yang ingin mempelajari ilmu perubatan Barat akan memilih untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun kerana kurangnya interaksi negara China dengan negara-negara Barat pada ketika itu.

Nikolai Vasilevich Gogol, seorang sasterawan Rusia yang menulis Diary Of A Madman, Dead Souls, The Overcoat dan lain-lain

Apa yang dipelajari oleh Lu Xun bukan sahaja pendidikan tentang perubatan Barat.

Namun, Lu Xun dengan kelebihannya telah memanfaatkan peluangnya belajar di Jepun untuk membaca karya-karya dari Jepun dan negara barat yang lain seperti Jerman dan Rusia.

Lu Xun turut memanfaatkan kelebihan penguasaan bahasa asingnya dengan menterjemahkan karya Leo Tolstoy, Nikolai Gogol, dan ramai lagi penulis realis Rusia pada abad ke-19 .

Karier dan Penerbitan

Sejak kejadian itu, Lu Xun berhenti mempelajari ilmu perubatan dan mula bergiat aktif dalam bidang penulisan.

Lu Xun banyak mengkritik sistem feudal dalam masyarakat Cina dan menggalakkan agar satu budaya baru diwujudkan dengan memanfaatkan tenaga dan fikiran para pemuda.

“Diari Orang Gila” yang mengkritik budaya kanibalisme dalam sistem feudal

Lu Xun banyak menyokong para protes dan pergerakan pelajar, banyak mengedit majalah dan surat khabar. Beliau juga mengasaskan persatuan Penulis Sayap Kiri.

Di samping itu, beliau juga banyak membaca karya-karya dari luar negara seperti Jepun dan Rusia. Antara karya yang memberi inspirasi kepada Lu Xun ialah “Diari Orang Gila” yang ditulis oleh seorang penulis Rusia yang terkenal bernama Nikolai Gogol.

“Diari Orang Gila” ini kemudiannya ditulis semula oleh Lu Xun dengan membawa latar belakang masyarakat Cina yang banyak ditekan oleh sistem feudal.

Buku Diary of A Madman tulisan Nikolai Gogol, penulis dari Rusia yang memberi inspirasi kepada Lu Xun untuk menulis semula kisah ini dengan berlatar belakangkan masyarakat Cina feudal ketika itu.

Kesimpulan

Manusia sastera seperti A. Samad Said, Usman Awang,  Shahnon Ahmad, Lao She dan Lu Xun telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam pembaikan struktur sosial pada ketika itu. Maka, ranah satera perlu diselamatkan dan tidak boleh dimatikan.

Jika Malaysia kaya dengan karya-karya besar seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, Mereka Tidak Lagi Menangis, Pagi dan sebagainya, negara Republik Rakyat China juga kaya dengan pelbagai karya sastera yang memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat.

Memetik kata-kata Saudara Asrin dalam kuliahnya ‘Manusia Sastera dan Idea Kemanusiaan’. “Kita perlu membuat pembacaan ulang terhadap karya-karya mereka kerana manusia sastera seperti mereka menulis kondisi sosial ketika mereka hidup, merakam dan menceritakan dalam karya mereka.”

Memahami Pemikiran Lu Xun

Pada akhirnya kita akan memahami mengapa seorang bakal doktor perubatan seperti Lu Xun ini sanggup berhenti belajar ilmu perubatan. Kemudian terjun ke bidang sastera demi menyelamatkan masyarakat Cina pada ketika itu.

Penulis bersama rakan-rakan ketika berkunjung ke Muzium Lu Xun di Beijing.

Lu Xun adalah antara yang menyedari bencana sosial yang berlaku dalam masyarakatnya ketika itu. Di hujung Dinasti Qing, China adalah negara yang sangat lemah. Dari maharaja sehingga ke buruh kerja, dari sistem pemerintahan sehinggalah struktur sosial, semuanya mempunyai masalah yang cukup besar. Ia menyebabkan korupsi ada di mana-mana, manusia kehilangan kemanusiaannya dan masyarakat memandang kesalahan sebagai sesutu yang biasa.

Lu Xun
Lu Xun, pegasas Penulis Sayap Kiri

Menyedari hakikat bahawa jiwa masyarakat itu perlu diselamatkan, maka lahirlah seorang penulis yang cukup hebat bernama Lu Xun. Beliau meninggalkan bidang perubatan demi membaiki dan menyelamatkan mereka. Baginya, tubuh badan yang sihat dan kuat tidak berguna jika tidak minda mereka tertawan. Malah lebih teruk sekiranya tidak mampu membezakan yang baik dan buruk.

Scroll to Top