Kisah Maharaja China Masuk Masjid Ketika Ramadhan

Betul ke ada maharaja China masuk masjid di China?

Jika ke Beijing, Masjid Niujie adalah salah satu tempat yang mesti anda pergi.

Di sana adalah kawasan majoriti muslim dalam wilayah Beijing. Jika anda mahu tahu lebih lanjut, boleh baca artikel yang lepas mengenai Perkampungan Islam Niujie di sini.

Maharaja China Pernah Masuk Masjid?

Ada cerita menarik mengenai Masjid Niujie ini. Dimana terdapat catatan bahawa Maharaja China Dinasti Qing pernah memasuki Masjid Niujie untuk menyiasat aktiviti yang mencurigakan.

Peristiwa ini juga berlaku ketika bulan Ramadhan.

Artikel ini disumbang oleh Zhang Faris, seorang yang amat meminati sejarah dan budaya masyarakat China.

Kajian dan rujukan beliau turut disertakan.

Zhang Faris, Mazlan, Nabil

Lagenda Maharaja China Masuk Masjid

Suasana malam di Bandar Diraja Beijing pada zaman Dinasti Qing biasanya agak sunyi.

Namun di bahagian pekan Niujie, seorang pengawai kerajaan yang kebetulan lalu di situ mendapati Masjid Niujie masih diterangi lampu-lampu di dalamnya.

Hairan dengan situasi begini, beliau cuba mendekati masjid ini dan mendapati suatu perhimpunan besar sedang diadakan di situ. Syak wasangka menusuk hatinya; “Mungkinkah ini perhimpunan sulit pemberontak dalam malam-malam buta ini?”

Lantas beliau melaporkan hal ini kepada istana bahawa terdapat komplot yang berniat untuk menggulingkan baginda.

Demi mengukuhkan pendapatnya, beliau mendakwa bahawa buku-buku yang ada di dalam masjid itu juga mempunyai unsur pemberontakan kerana isi kandungannya tidak mengagungkan maharaja.

Sepanjang era dinasti, pemberontakan dilihat sebagai perbuatan derhaka yang wajib dihukum mati kerana ia melibatkan kedaulatan negara.

Namun demikian, Maharaja Kangxi (memerintah 1662–1723) memilih untuk mengambil langkah selidik dahulu. Oleh itu, baginda pun menyamar sebagai orang biasa dan meninjau persekitaran Niujie.

Chef Bukan Muslim

Di situ, baginda bertemu dengan seorang tukang masak mi tarik. Chef ini adalah seorang berbangsa Han Cina dan bukan Muslim.

Ditanya mengenai kesahihan ‘perhimpunan sulit’ itu, tukang masak menafikan dakwaan ini dan menjelaskan bahawa masyarakat Hui di sini sedang menjalankan acara tahunan berpuasa (yakni bulan Ramadhan), dan ‘perhimpunan’ itu sebenarnya adalah ibadah sembahyang mereka sempena acara ini (yakni Solat).

Masjid Niujie

Berbekalkan info yang diperolehi, maka Maharaja Kangxi pun menuju ke Masjid Niujie. Tertarik dengan kemesraan para jemaah masjid menyambut setiap tetamu yang datang, baginda meneruskan niatnya untuk mengikuti upacara sembahyang mereka, iaitu Solat.

Yang menariknya, siasatan baginda tidak sahaja berakhir pada malam itu. Malah diriwayatkan bahawa Maharaja Kangxi menyertai Solat pada tiga malam berturut-turut!

Oleh sebab ketiga-tiga malam itu adalah tiga malam terakhir Ramadhan dan waktu memburu Laylatul Qadr, maka semasa Solat Terawih, dikhabarkan imam membaca Surah Al-Qadr.

Mengakhiri siasatannya, Maharaja Kangxi pulang ke istana dan menyemak kitab-kitab Islam yang tersimpan didalam koleksi perpustakaan diraja. Tiada satupun perkataan yang berbau hasutan mahupun anti-dinasti.

Setelah berpuas hati dengan maklumat siasatannya, baginda mengambil tindakan memecat pengawai kerajaan yang melaporkan kes ini daripada jawatannya. Kisah ini diakhiri dengan baginda mengurniakan titah diraja Kangxi (康熙圣旨牌匾) kepada Masjid Niujie. Titah ini masih boleh dilihat digantung di masjid tersebut.

Catatan Maharaja Kangxi melawat Masjid Niujie (Sumber : Weibo)

Secara keseluruhan, kisah lagenda ini hanyalah untuk menceritakan asal usul papan titah diraja Kangxi. Namun demikian secara intipatinya, kisah turun temurun ini menunjukkan intergrasi minoriti Hui Muslim dalam China yang majoritinya belum Muslim lagi.

Rujukan:

> M.A. Aldrich & Lukas Nikol, The Perfumed Palace – Islam’s Journey from Mecca to Peking. Garnet Publishing Limited, 2010. m/s 195

> Li Shujiang and Karl W. Luckert, Mythology Folklore of the Hui, a Muslim Chinese People; State University ofNew York Press, 1994. m/s: 222-228

> Islamic Association of Beijing Xuanwu District, An Old Islamic Tone – Beijing Niujie Mosque (清真古韻 ~ 北京牛街礼拜寺), Wenwu Publication, 2009, m/s 182

Dikemaskini pada

1 thought on “Kisah Maharaja China Masuk Masjid Ketika Ramadhan”

  1. Pingback: Aidilfitri di China ; 1001 Erti Kemenangan - Limau Mandarin

Leave a Comment

Scroll to Top