Betul ke ada maharaja China masuk masjid di China?
Jika ke Beijing, Masjid Niujie adalah salah satu tempat yang mesti anda pergi.
Niujie adalah kawasan majoriti muslim dalam wilayah Beijing.
Jika anda mahu tahu lebih lanjut, boleh baca artikel yang lepas mengenai Perkampungan Islam Niujie di sini.
Maharaja China Pernah Masuk Masjid?
Ada cerita menarik mengenai Masjid Niujie ini. Dimana terdapat catatan bahawa Maharaja China Dinasti Qing pernah memasuki Masjid Niujie untuk menyiasat aktiviti yang mencurigakan.
Peristiwa ini juga berlaku ketika bulan Ramadhan.
Artikel ini disumbang oleh Zhang Faris, seorang yang amat meminati sejarah dan budaya masyarakat China.
Kajian dan rujukan beliau turut disertakan.
Lagenda Maharaja China Masuk Masjid
Suasana malam di Bandar Diraja Beijing pada zaman Dinasti Qing biasanya agak sunyi.
Namun di bahagian pekan Niujie, seorang pengawai kerajaan yang kebetulan lalu di situ mendapati Masjid Niujie masih diterangi lampu-lampu di dalamnya.
Hairan dengan situasi begini, beliau cuba mendekati masjid ini dan mendapati suatu perhimpunan besar sedang diadakan di situ. Syak wasangka menusuk hatinya; “Mungkinkah ini perhimpunan sulit pemberontak dalam malam-malam buta ini?”
Lantas beliau melaporkan hal ini kepada istana bahawa terdapat komplot yang berniat untuk menggulingkan baginda.
Demi mengukuhkan pendapatnya, beliau mendakwa bahawa buku-buku yang ada di dalam masjid itu juga mempunyai unsur pemberontakan kerana isi kandungannya tidak mengagungkan maharaja.
Sepanjang era dinasti, pemberontakan dilihat sebagai perbuatan derhaka yang wajib dihukum mati kerana ia melibatkan kedaulatan negara.
Namun demikian, Maharaja Kangxi (memerintah 1662–1723) memilih untuk mengambil langkah selidik dahulu. Oleh itu, baginda pun menyamar sebagai orang biasa dan meninjau persekitaran Niujie.
Chef Bukan Muslim
Di situ, baginda bertemu dengan seorang tukang masak mi tarik.
Chef ini adalah seorang berbangsa Han Cina dan bukan Muslim.
Ditanya mengenai kesahihan ‘perhimpunan sulit’ itu, tukang masak menafikan dakwaan ini dan menjelaskan bahawa masyarakat Hui di sini sedang menjalankan acara tahunan berpuasa (yakni bulan Ramadhan), dan ‘perhimpunan’ itu sebenarnya adalah ibadah sembahyang mereka sempena acara ini (yakni Solat).
Berbekalkan info yang diperolehi, maka Maharaja Kangxi pun menuju ke Masjid Niujie.
Tertarik dengan kemesraan para jemaah masjid menyambut setiap tetamu yang datang, baginda meneruskan niatnya untuk mengikuti upacara sembahyang mereka, iaitu Solat.
Yang menariknya, siasatan baginda tidak sahaja berakhir pada malam itu. Malah diriwayatkan bahawa Maharaja Kangxi menyertai Solat pada tiga malam berturut-turut!
Oleh sebab ketiga-tiga malam itu adalah tiga malam terakhir Ramadhan dan waktu memburu Laylatul Qadr, maka semasa Solat Terawih, dikhabarkan imam membaca Surah Al-Qadr.
Mengakhiri siasatannya, Maharaja Kangxi pulang ke istana dan menyemak kitab-kitab Islam yang tersimpan didalam koleksi perpustakaan diraja.
Tiada satupun perkataan yang berbau hasutan mahupun anti-dinasti.
Setelah berpuas hati dengan maklumat siasatannya, baginda mengambil tindakan memecat pengawai kerajaan yang melaporkan kes ini daripada jawatannya.
Kisah ini diakhiri dengan baginda mengurniakan titah diraja Kangxi (康熙圣旨牌匾) kepada Masjid Niujie.
Titah ini masih boleh dilihat digantung di masjid tersebut.
圣旨康熙三十三年六月
圣谕
朕评汉回古今之大典,自始之宏道也。
七十二门修仙成佛,诱真归邪,不法之异端种种生焉。
已往不咎,再违犯者斩。
汉诸臣官分职,时享君禄,按时朝参;而回,逐日五时朝主拜圣,并无食朕俸,亦知报本,而汉不及于回也。通晓各省:如官民因小不忿。
借端虚报回教谋反者,职司官先斩后奏。
天下回民各守清真,不可违命,勿负朕恩有爱道之意也。
钦此钦遵。
Maksud Titah Maharaja KangXi
Titah Suci
Bulan ke-6, tahun ke-33 era Kangxi (Julai/Ogos 1694)
“Beta meneliti kitab-kitab Han dan Hui [1] yang tersohor sejak kuno hingga terkini, dan mendapati ia membimbing ke Jalan Agung. Manakala 72 aliran [2] pula yang beribadah demi mencapai keabadian dan darjat Buddha, terpesong daripada kebenaran. Ajaran sedemikian melanggar undang-undang dan membangkitkan pelbagai huru-hara. Mereka yang pernah melakukannya dulu tidak akan dihukum, melainkan yang mengulanginya tiada pengampunan terhadapnya.
Setiap menteri dan pegawai Han telah dilantik mengikut tugasan masing-masing dan menikmati kemuliaan Daulat Kami [3]. Mereka senantiasa hadir ke Dewan tepat pada waktunya. Orang Hui pula mengadap Tuan [4] mereka lima waktu sehari dan menyembah Orang Alim [5]. Walaupun tidak dikurniakan nikmat kemuliaan Beta, namun mereka masih dapat memenuhi tanggungjawab mereka. [6] Maka jelaslah orang Han tidak sebaik-baik orang Hui.
Maka demikian, diumumkan titah Beta ke setiap provinsi! Seandainya pegawai mahupun orang biasa, sekalipun atas sebab remeh, menuduh penganut agama Hui [7] sebagai pemberontak, maka pegawai bertugas diperkenankan untuk memancung kepalanya dahulu sebelum dilaporkan kepada Beta. [8]
Seluruh rakyat Hui di bawah Syurga [9] berpeganglah kepada Kebenaran Suci [10], dan tidak ingkar titah mahupun menderhakai Beta, serta mengasihi Jalan ini. Sekian titah.”
Secara keseluruhan, kisah lagenda ini hanyalah untuk menceritakan asal usul papan titah diraja Kangxi. Namun demikian secara intipatinya, kisah turun temurun ini menunjukkan intergrasi minoriti Hui Muslim dalam China yang majoritinya belum Muslim lagi.
Nota
[1] Kitab Han merujuk kepada kitab-kitab Konfucius dan Taoisme, manakala kitab-kitab Hui merujuk kepada Al-Quran dan Hadith.
[2] Kenyataan umum terhadap Buddhisme dan Taoisme.
[3] Yakni menerima gaji daripada kerajaan.
[4] Yakni “menyembah Allah”.
[5] Sebetulnya “berselawat kepada Rasulullah ﷺ”. Ayat “menyembah Orang Alim” dalam titah tersebut adalah berdasarkan pemahaman Maharaja kerana zaman itu banyak istilah Islam dipinjam daripada istilah Konfucianisme dan Taoisme. Allahualam.
[6] Yakni sebagaimana anak membalas budi orang tuanya. Ajaran Konfucianisme mengetengahkan hubungan antara rakyat dengan pemerintah bagaikan anak dan ibubapa.
[7] yakni Agama Islam
[8] Gaya ayat ini menunjukkan baginda Maharaja memandang serius akan isu ini, dan berkenan agar penfitnah yang disabitkan bersalah akan dihukum pancung kepala dahulu walaupun belum dilaporkan kepada baginda.
[9] Istilah tian xia (天下), secara harfiahnya adalah ‘di bawah langit’ yang bermaksud “segala di bawah Syurga” yakni dunia, walaupun secara teknikal bermaksud “seluruh negara”. Ini disebabkan permikiran tradisional Cina memandang Maharaja sebagai anak kepada Tuhan sekalian alam.
[10] Qing Zhen (清真) secara harfiahnya ‘Suci Benar’, merupakan istilah unik rakyat Hui untuk merujuk kepada agama Islam dan apa-apa yang menurut Syariat. Apabila digunapakai untuk makanan, ia bermaksud Halal.
Rujukan
- M.A. Aldrich & Lukas Nikol, The Perfumed Palace – Islam’s Journey from Mecca to Peking. Garnet Publishing Limited, 2010. m/s 195
- Li Shujiang and Karl W. Luckert, Mythology Folklore of the Hui, a Muslim Chinese People; State University ofNew York Press, 1994. m/s: 222-228
- Islamic Association of Beijing Xuanwu District, An Old Islamic Tone – Beijing Niujie Mosque (清真古韻 ~ 北京牛街礼拜寺), Wenwu Publication, 2009, m/s 182
- Wang, Xia, ed. Beijing Niujie Libaisi. Beijing: China Today Press, 1996, p.40.
- 牛街礼拜寺“圣旨