Hangzhou: Ibu kota Provinsi Zhejiang

Kemajuan bandar Hangzhou, Provinsi Zhejiang.

Hangzhou yang merupakan ibu kota Provinsi Zhejiang adalah pusat politik, ekonomi dan budaya di China. Bandar ini berdekatan dengan delta Sungai Yangtze dan terletak 180 kilometer dari Shanghai.  Hangzhou pernah menjadi ibu kota Wu Yue dan Dinasti Nan Song. Sejak Dinasti Qin (221 Sebelum Masihi-206 Sebelum Masihi), ia telah mempunyai sejarah yang cukup panjang, iaitu lebih 2200 tahun. Selain itu, ia juga salah satu daripada 8 kota lama di China.

Hangzhou terletak di Provinsi Zhejiang. [kredit: baidu]

Iklim monsun subtropikal Hangzhou menyebabkan ia mempunyai pelbagai pemandangan yang sangat cantik mengikut musim yang berbeza. Inilah yang menjadikan Hangzhou sebagai tarikan utama pelancong dari luar dan dalam negara sepanjang tahun. Kerana itulah, Hangzhou digelar “Ren Jian Tian Tang” yang bermaksud “Syurga Di Dunia.”

Pemandangan di Tasik Barat, Hangzhou. [kredit: baidu]

Pengangkutan

Antara pengangkutan yang boleh anda pilih untuk ke Hangzhou:

  1. Penerbangan

    Hangzhou Xiaoshan International Airport [kredit: baidu]

    Nama lapangan terbang: Hangzhou Xiaoshan International AirportLokasi: 27 kilometer dari pusat bandar, Dataran Wulin. Dari Suzhou ke lapangan terbang dengan memandu kereta akan mengambil masa 1 jam 30 minit. Dari Shanghai ke lapangan terbang akan mengambil masa 2 jam 30 minit.Kod lapangan terbang: HGH
2.  Kereta Api

Terdapat 3 stesen kereta api di Hangzhou

1.Stesen Kereta api Hangzhou (Hangzhou Railway Station)
Stesen ini adalah stesen kereta api yang tertua di Hangzhou. Kebanyakan kereta api     yang beroperasi di sini ialah kereta api biasa dan yang berkelajuan tinggi. Antara bandar yang dihubungkan oleh stesen kereta api ini ialah Beijing, Shanghai, Guangzhou, Lanzhou, Zhengzhou, Xi’an dan Chongqing.

2. Stesen Kereta Api Timur (East Railway Station)
Terletak di bahagian timur Hangzhou, stesen ini digunakan untuk kereta api berkelajuan tinggi dari dan menghala ke Ningbo, Guangzhou, Changsha, Wuhan dan Fuzhou.

3. Stesen Kereta api Selatan (South Railway Station)


Tempat Menarik Di Hangzhou

1. Tasik Barat

Pemandangan di Tasik Barat. [kredit: baidu]
Tasik Barat yang terletak di bandar Hangzhou ini digelar sebagai “Syurga Di Bumi”. Menurut lagenda, sepasang naga dan burung pheonix di langit membuat sebiji mutiara. Mutiara itu djatuhkan dari langit ke bumi dan menjadi Tasik Barat. Dalam opera China, kisah tentang percintaan antara manusia dan dewi berlaku di tebing Tasik Barat. Percintaan mereka ditentang oleh pihak di kayangan. Dewi itu dikurung di dalam sebuah menara yang bernama Menara Leifeng.

Kecantikan Tasik Barat. [kredit: baidu]
Dalam puisi purba China, Tasik Barat diibaratkan sebagai jelitawan yang sangat cantik. Keindahan Tasik Barat setanding Xizi, jelitawan yang selalu cantik walaupun tanpa solekan.

Pemandangan waktu malam. [kredit: baidu]
2. Lei Feng Ta

Lei Feng Ta yang dikaitkan dengan lagenda Bai She Zhuan. [kredit: baidu]
Pagoda Lei Feng juga dikenali sebagai Huang Fei Ta (Pagoda Huang Fei) dan Xi Guan Zhuan Ta terletak di Provinsi Zhe Jiang. Dalam kisah rakyat Cina, terdapat sebuah kisah yang sangat terkenal iaitu Bai She Zhuan. Kisah ini adalah salah satu daripada 4 kisah cinta yang terkenal dalam kalangan rakyat Cina.

Bai She Zhuan yang kini banyak dilakonkan semula dalam bentuk filem dan teater. [kredit: baidu]
Bai She Zhuan menceritakan seorang dewi ular yang bertukar menjadi manusia dan berkahwin dengan seorang lelaki. Apabila rahsianya telah diketahui, seorang sami yang bernama Fa Hai telah mengurungnya di bawah Pagoda Lei Feng. Namun,  dewi itu diselamatkan oleh anaknya 18 tahun kemudian.

3. Gunung Tian Mu

Keindahan Gunung Tianmu. [kredit: baidu]
Gunung Tian Mu terletak 84  kilometer di sebelah barat dari kota Hangzhou. Ia mempunyai ketinggian mencapai 1556 meter di atas permukaan laut.

Gunung ini pun mempunyai sejarah panjang ajaran Konfusius, Tao serta Agama Buddha. Di gunung ini, terdapat beberapa kuil dari tiga ajaran agama tersebut yang sudah berdiri sejak ratusan tahun lalu.

Tian Mu Shan atau Gunung Tianmu yang mempunyai pelbagai flora dan fauna. [kredit: baidu]
Selain itu, Gunung Tian Mu ini juga terkenal dengan kepelbagaian flora dan fauna. Dengan kewujudan pelbagai spesies hidupan dan tumbuh-tumbuhan tersebut, tak hairanlah jika pemandangan di sana juga sangat cantik dan ia menjadi pilihan mereka yang ingin merehatkan minda dari kesibukan kehidupan bandar.

Karya Tentang Hangzhou

Negara China adalah sebuah negara yang mempunyai banyak karya puisi dan tulisan yang mempunyai nilai yang sangat tinggi. Dinasti Tang (618-907) menyaksikan kemunculan begitu ramai sasterawan yang begitu berkebolehan menghasilkan puisi. Antara penyair terkenal yang muncul ketika Dinasti Tang ialah Du Fu dan Li Bai.

Du Fu antara penyair yang terkenal ketika Zaman Dinasti Tang. [kredit: baidu]
Ia yang pernah menjadi ibu kota negara China suatu ketika dahulu sering menjadi pilihan para penyair China yang menjadikan pemandangan dan kehidupan di sana sebagai sumber inspirasi dalam menghasilkan puisi. Terdapat pelbagai syair yang menceritakan keindahan bandar ini dalam pelbagai musim yang berbeza.

Zhang Dai

Dalam tulisan kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda tentang seorang penulis China dinasti Ming yang bernama Zhang Dai. Zhang Dai adalah seorang sosok hebat yang hidup pada zaman akhir dinasti Ming, iaitu dari tahun 1597 sehingga tahun 1689. Beliau berasal dari Shan Ying (hari ini: Shao Xing di provinsi Zhe Jiang).

Hu Xin Ting Kan Xue atau Melihat Salji di Pagoda Tasik Barat adalah prosa yang terkenal karya Zhang Dai. [kredit: baidu]
Beliau adalah seorang sasterawan dan sejarawan yang sangat hebat. Antara prosa yang dihasilkan oleh Zhang Dai ialah Xi Hu Qi Yue Ban, Hu Xin Ting Kan Xue, Xi Hu Meng Xun, Ye Hang Chuan, Shi Kui Shu dan banyak lagi. Hu Xin Ting Kan Xue ( Melihat Salji Di Pagoda Tasik Barat) menceritakan tentang perasaan penulis ketika melihat salji yang turun di Tasik Barat.

Penulis menggambarkan suasana musim sejuk dan pemandangan yang dilihatnya seperti kedinginan musim sejuk dan putih salji yang menutupi permukaan Tasik Barat. Penulis juga menggunakan suara burung yang hilang bagi menggambarkan kesunyian kawasan sekitar Tasik Barat ketika beliau keluar rumah ke Pagoda Tasik Barat untuk melihat salji turun. Di sana, penulis berjumpa dengan dua orang lelaki dari Nanjing yang turut berada di sana untuk melihat salji yang sedang turun.

Hangzhou ketika musim salji. [kredit: baidu]
Prosa yang sangat pendek ini sangat terkenal di China. Kebanyakan pelukis lukisan China menggunakan gambaran penulis dalam prosa tersebut bagi menghasilkan lukisan Cina.

Kesimpulan

Pemandangan waktu malam di Zhejiang. [kredit: baidu]
Hangzhou adalah sebuah tempat yang menyimpan pelbagai kisah dan sejarah yang menjadi keunikan bagi negara Cina. Nikmatilah pengembaraan ke sana!

Untuk ketahui masa sesuai ke China, klik link ini limaumandarin.com/tip-perancangan-masa-yang-sesuai-untuk-travel-ke-china/

Comments

comments

Mula terinspirasi untuk belajar di Eropah sejak membelek ruang Salam Perantauan di bungkusan nasi lemak. Tak sangka, bumi Tembok Besar China jadi takdir yang terikat. Perkenalkan, Shaa Ismail, pengasas Buku Jalanan Beijing yang bercita-cita besar melahirkan masyarakat berjiwa besar. Manusia yang laparkan sejarah dan dahagakan kembara. Membaca untuk memahami kehidupan, menulis untuk meraikan perasaan.