Kembara Berdua ke Lanzhou dan Linxia Menemukan Saya Dengan Erti Hidup

Lanzhou

nanguan

Lanzhou adalah ibu kota dan bandar terbesar dalam Provinsi Gansu. Lanzhou yang terletak di tebing Sungai Kuning ini adalah hab pengangkutan serantau yang utama yang telah menghubungkan kawasan dari barat ke timur melalui laluan kereta api.

map china

Jika kita menelusuri sejarah China, Lanzhou pernah memainkan peranan yang penting sebagai penghubung utama bagi Laluan Sutera. Lanzhou juga adalah pusat bagi perindustrian berat dan industri petrokimia.

Ada Apa di Lanzhou?

lanzhou
Lanzhou, bandar terbesar dalam Provinsi Gansu.

Tiba stesen keretapi Lanzhou, seorang lelaki bertanya kepada saya dan Nadia: “Kenapa datang ke Lanzhou? Lanzhou tiada apa yang menarik pun.” Pertanyaannya membuatkan saya tidak ragu-ragu untuk menjawab: “Ada. Lanzhou ada komuniti muslim. Boleh melihat masjid-masjid di sini.”

Lanzhou meski tiada apa yang “menarik” bagi sesetengah orang tetapi sebenarnya ia punya sisi-sisi lain yang menarik untuk diteladani.

Lanzhou, selain terkenal dengan Sungai Kuning, turut istimewa dengan tempat tempat seperti Wu Quan Shan dan pembinaan jambatan yang pertama yang merentasi Sungai Kuning dan beberapa tempat lain di samping makanan-makanan yang menjadi keistimewaan Lanzhou.

masjid

Bagi saya, Lanzhou tambah istimewa lagi di hati saya dengan pembinaan masjid masjid dan komuniti Islam di sini. Kembara berdua ke Lanzhou mengajarkan saya dengan banyak hal terutamanya santunan dan layanan yang begitu baik sekali yang kami terima dari penduduk setempat di sini.

Semangkuk Lanzhou Lamian

Perjalanan kami ke Lanzhou bermula dari Beijing. Dari Beijing, saya dan Nadia menaiki keretapi yang mengambil masa selama hampir 19 jam untuk sampai ke Lanzhou. 19 jam berada di dalam keretapi ini tidak berlalu dengan begitu saja. Kami membaca buku, memerhatikan keletah mereka yang turun naik keretapi dan juga menikmati pemandangan luar tingkap keretapi yang berubah-berubah setiap sejam atau dua jam.

Kami tiba di stesen keretapi Lanzhou pada awal pagi. Sampainya kami di Lanzhou, kami dibawa oleh Puan Aishah ke hotel dan kemudiannya mengajak kami bersarapan di kedai yang berhampiran dengan hotel. Terkejut kami apabila melihat kebanyakan pelanggan yang makan di kedai tersebut memesan mee tarik.

Saya melihat jam di tangan. Masih awal untuk menjamah sarapan yang berat seperti mee tarik ini. Puan Aishah tetap menyuruh kami memesan mee tarik tersebut. Beliau kemudiannya menerangkan kepada kami memang kebiasaan orang-orang di sini makan mee tarik sebagai sarapan mereka.

Lanzhou Lamian, makanan yang wajib anda cuba bila sudah sampai di Lanzhou!

Untuk pengetahuan anda, lamian adalah sejenis mee cina yang dibuat dengan cara menarik, melipat doh kepada bentuk yang panjang dan nipis. Dalam bahasa Mandarin lā, (拉) bermaksud tarik, miàn (面) bermaksud mee. Panjang dan ketebalan mee bergantung kepada berapa kali doh diuli. Mempunyai sejarah sejak tahun 1504, proses pembuatan mee menggunakan tangan ini melibatkan proses menarik mee ini beberapa kali bagi menghasilkan bentuk yang panjang dan nipis.

Nikmat Yang Didustakan

rumah
Rumah penduduk kampung di Lanzhou.

Sampai di sini, Puan Ma membawa kami melawat asrama kanak-kanak di sini. Puan Ma juga membawa kami melalui jalan-jalan kampung bagi menziarahi penduduk di sini. Kami terkedu tatkala melihat bagaimana mereka hidup dalam sebuah rumah tapi keluasannya bagi kita hanya layak dipanggil sebagai bilik kerana ruangannya yang kecil dan sempit.

"<yoastmark

Di bilik yang pada mereka adalah rumah itulah tempat mereka menyediakan masakan buat ahli keluarga, tempat mereka membasuh baju, juga tempat mereka tidur.

Kami masuk dan melihat seorang anak perempuan sedang membaca buku bersama adik kecilnya di atas katil. Ibu mereka pula sedang memasak di salah satu sudut di rumah mereka yang sempit itu, dan beberapa baldi yang berisi air sabun dan pakaian kotor yang sedang direndam.

lanzhou2
Jangan batasi cita-citamu, anak!

Manis sekali senyuman tuan rumah menjemput kami masuk. Tidak tergambar langsung riak wajah menyesali takdir hidup. Masih belum pulih dari kejutan ini, perlahan-lahan kaki kami melangkah masuk. Mereka benar-benar adalah manusia yang bersyukur.

lanzhou1
Surah Ar-Rahman yang bergema di seluruh ruang kelas yang dibalut kesejukan.

Pagi pertama di Lanzhou pada hari itu terisi apabila Puan Ma membawa kami ke kelas pengajian Al-Quran. Suara murid-murid mengikuti bacaan Surah Ar-Rahman bergema di seluruh kelas.

Perlahan-lahan, kami duduk di kerusi bahagian belakang. Kelihatan seorang perempuan dalam lingkungan 30-an mendekatkan tangannya ke cerek yang diletakkan di atas api untuk memanaskan dirinya yang kesejukan.

lanzhou4

Suhu yang sejuk, persekitaran pembelajaran yang tidaklah semewah mana tidak mematahkan semangat mereka menuntut ilmu dan mempelajari agama. Ruangan kelas yang kami lawati itu bergema dengan lantunan Surah Ar-Rahman. Begitulah kami kehadiran kami di Lanzhou disambut dengan bacaan Surah Ar-Rahman yang saya kira adalah sebuah teguran halus buat kami.

Mata saya dan Nadia bertemu. Sudah berapa banyak nikmat Tuhan yang telah kita dustakan?

Peradaban Lembah Sungai Kuning

Sejarah tertua di Cina dimulai dari muara Sungai Kuning. Sungai Kuning atau Huang He bersumber di daerah pegunungan Kwen-Lun di Tibet. Setelah melalui daerah pengunungan Cina Utara, sungai panjang yang membawa lumpur kuning itu membentuk dataran rendah Cina dan bermuara di Teluk Tsii-Li di Laut Kuning.

Sungai Kuning sudah lama menjadi saksi bisu atas pembangunan tamadun awal dunia, tamadun Cina. Sejak 5000 tahun yang lalu, Sungai Kuning dianggap berkah bagi bangsa Cina. Lahan-lahan di sekitar sungai menjadi subur setelah terjadi banjir yang membawa lumpur-lumpur.

Kekayaan alam Cina yang begitu melimpah menyebabkan kemajuan kebudayaan yang beragam. Mengalirnya Sungai Kuning merupakan sumber kehidupan bangsa Cina dengan cara bercucuk tanam dan menternak binatang.

Seandainya Sungai Kuning ini mampu berperasaan dan bersuara, saya ingin sekali bertanya, apakah perasaannya menjadi saksi manusia yang sejak dahulu membangunkan peradaban dunia.

Menyiapkan Generasi

Chen Chen yang merupakan guru Pengajian Al-Quran menemani kami sehingga hari akhir kami di sini. Di Universiti Lanzhou, melalui Chen Chen kami mengenali Puan Mariam dan Puan Sofiyyah.

lanzhou9

Universiti Lanzhou (兰州大学: Lánzhōu Dàxué) adalah universiti penyelidikan yang utama di Provinsi Gansu. Ia diasaskan pada 1909, adalah salah satu daripada 10 universiti terbaik yang banyak menyumbang kepada dalam bidang penyelidikan

Di sini, mereka membawa kami melawat perpustakaan universiti, berjalan-jalan di tepi gelanggang bola keranjang. Universiti adalah tempat anak-anak muda berkumpul, berdiskusi tentang ilmu dan membangunkan potensi diri.

Pepatah Cina ada menyebut: 10 tahun diperlukan untuk menanam pokok, 100 tahun diperlukan untuk membina manusia. (十年树木百年树人: shínián shù mù, bǎi nián shù rén). Pepatah ini membuatkan saya tambah yakin akan kepentingan sebuah pendidikan.

Pendidikan yang baik, tidaklah bermula di sekolah atau universiti, tetapi sejak di rumah lagi. Penting untuk kita menyiapkan generasi yang berilmu kerana umat manusia yang kuat dan bijak tidak dibina dalam masa sehari dua, tetapi melibatkan sebuah proses yang panjang dan berterusan.

Lin Xia

Lawatan ke Lanzhou University menemukan kami dengan 2 orang guru iaitu Pn Mariam dan Pn Sofiyyah. Perbualan demi perbualan secara tidak sengaja kami bercakap tentang Lin Xia. Akhirnya mereka mengajak kami ke Lin Xia yang perjalanan mengambil masa 2 jam menaiki bas dari Lanzhou.

Lin Xia Hui Zu Zi Zhi Zhou (临夏回族自治州: Línxià Huízúzìzhìzhōu) dikenali dengan Linxia Zhou adalah antara dua wilayah autonomi kaum Hui yang terbesar di China. Linxia juga terletak berhampiran dengan kawasan Sungai Kuning dan masih termasuk dalam Provinsi Gansu.

Lin Xia diklasifikasikan sebagai kawasan autonomi. Bermakna pentadbirannya dengan bandar lain seperti Beijing dan Shanghai tidak sama. Menurut Puan Mariam, kerajaan hanya menguruskan hal hal besar yang berkaitan dengan kawasan ini, tetapi hal hal kecil diuruskan sendiri oleh penduduk di sini, bukan dibawah kawalan kerajaan China. Jadi, kawasan ini agak mundur berbanding bandar bandar besar seperti Beijing dan sebagainya.

Muslim di Lin Xia agak ramai. Dan penduduk di sini adalah Kaum Hui yang beragama Islam. Jadi untuk mendapat makanan halal sangat mudah berbanding di Beijing.

linxi

Masjid di sini juga agak banyak dan kami dapat mendengar azan Maghrib dilaungkan tatkala kami sampai di sini. Setelah begitu lama telinga saya tidak menangkap bunyi azan dari corong masjid, hati saya dengan segera rasa terharu dapat mendengar seruan azan dikumandangkan di China ini.

Cahaya

Di China, jam 7.30 malam kelihatan seperti jam 9 malam di Malaysia. Langit sudah gelap. Musim sejuk membuatkan siang menjadi pendek dan malam menjadi panjang. Waktu Maghrib di Beijing sekarang adalah sekitar jam 5.30 petang.

Perjalanan pulang ke Lanzhou dari Linxia melalui kawasan berbukit-bukau. Dari dalam bas kami dapat melihat kawasan perumahan yang dibina di kawasan yang agak rendah. Keadaan yang sudah gelap pada waktu sebegini hanya memungkinkan kami dapat melihat bumbung-bumbung rumah dan cahaya yang terlihat menyinari dari dalam rumah tersebut.

Perjalanan pulang ini benar-benar membuat saya larut dalam perasaan sendiri. Peluang berkunjung ke Lanzhou dan Linxia ini adalah sesuatu yang tidak pernah saya sangka. Benarlah, manusia merancang dengan cita-cita, sedangkan Allah merancang dengan cinta.

Saya tertanya, apakah yang Allah ingin ajarkan sepanjang kembara berdua saya dan Nadia di Provinsi Gansu ini? Kami datang dengan tujuan menziarahi saudara Muslim di sana dan berharap dapat menjadi orang tengah, penghubung kepada mereka yang berbaik hati menghulurkan bantuan kepada saudara Muslim di sana.

Allah sungguh baik hati. Ia memberikan sesuatu yang jauh lebih istimewa. Peluang bersama saudara Islam di sini benar-benar telah membuatkan saya lebih memaknai tentang erti persaudaraan Islam yang disebutkan dalam Surah Al-Hujrat ayat ke-10.

Mereka membuatkan saya tersentuh dengan layanan mereka memuliakan tetamu dan mengajarkan saya tentang erti kesyukuran dan kecukupan. Yang paling penting, ia membuka mata saya bahawa sentiasa ada dalam kalangan hamba-Nya yang melakukan dakwah Islam ini sentiasa di belahan bumi mana saja mereka berada.

Perjalanan menaiki kereta api dari Beijing ke Lanzhou yang memakan masa hampir 19 jam dan juga perjalanan dari Lanzhou pulang ke Beijing yang memakan masa 22 jam seperti tidak terasa apabila kami larut dalam perasaan masing-masing, mendoakan semoga cahaya Islam di China ini akan sentiasa terpancar dan menerangi seluruh kehidupan masyarakat China seluruhnya.

Tidak layak mengatakan apa yang kami terima sepanjang kami di sini adalah kerana balasan kebaikan atas amalan kami sebelum ini kerana diri sendiri tidak pernah menginfakkan kebaikan sebanyak mereka. Tuhan, mungkin sengaja menemukan kami dengan mereka agar kami belajar bagaimana memuliakan tetamu selayaknya dan bagaimana saling membantu saudara seIslam.

Pilihan Manusia

Manusia dengan akalnya membuatkan darjat mereka lebih tinggi berbanding makhluk lain di atas muka bumi ini. Dengannya mereka berfikir, merenung, mencipta, mengolah segala sumber yang ada untuk manfaat kehidupan.

Melakukan perjalanan dan melihat kehidupan manusia manusia lain adalah sesuatu yang bakal membuatkan kita merenung betapa banyak nikmat yang telah Allah berikan pada manusia. Tinggal saja manusia, mahu mensyukuri atau mengkufuri.

 

Mula terinspirasi untuk belajar di Eropah sejak membelek ruang Salam Perantauan di bungkusan nasi lemak. Tak sangka, bumi Tembok Besar China jadi takdir yang terikat. Perkenalkan, Shaa Ismail, pengasas Buku Jalanan Beijing yang bercita-cita besar melahirkan masyarakat berjiwa besar. Manusia yang laparkan sejarah dan dahagakan kembara. Membaca untuk memahami kehidupan, menulis untuk meraikan perasaan.

TINGGALKAN KOMEN

Sila Tulis Komen Anda!
Masukkan Nama Di Sini