Jangan Datang Sebelum 5 Perkara ini!

Bahasa Mandarin sebenarnya agak unik, dan ia sangat berbeza dengan bahasa Malaysia. Sesuatu perkataan yang berbunyi sama boleh sahaja membawa berpuluh-puluh maksud yang berbeza. Mereka dibezakan dengan karakter hanzi (tulisan) mahupun nada yang berlainan sahaja.

Saya ambil satu contoh, perkataan “yi”;
“Yi” jika ditandakan dengan nada satu, ia membawa maksud nombor “satu” (一yi).
“Yi” jika ditandakan dengan nada dua, boleh menjadi (遗 yi— 遗憾)yang bermaksud “menyesal”.
“Yi” jika ditandakan dengan nada tiga, ia boleh menjadi (以yi —以前)yang bermaksud “masa lalu”. Ataupun (已 yi — 已经) yang membawa maksud “sudah”. Ataupun (椅 yi —椅子) yang membawa maksud “kerusi”.
“Yi” jika ditandakan dengan nada empat, ia boleh menjadi (意 yi —意思)yang bermaksud “maksud”.

Sebenarnya banyak lagi contoh perkataan “yi” yang ada dalam bahasa Mandarin yang membawa maksud yang berbeza-beza tapi tidak mahu lagi saya senaraikan di sini.

Cukuplah anda tahu, kebanyakan dari pantang-larang tradisional orang China adalah berpunca daripada sebutan hampir sama dengan maksud yang kurang baik dalam bahasa Mandarin itu sendiri. Jom kita kenali beberapa pantang-larang yang boleh membuatkan anda dipandang-pandang jika anda lakukan sepanjang percutian anda di China!

Pantang-larang

1) Buah Pear Tidak Boleh Dimakan Berasingan
Jika anda mahu makan buah pear di sini, adalah menjadi kewajiban untuk anda habiskannya sekaligus. Jangan cuba berkongsi buah pear di khalayak ramai dan jangan membelahnya di khalayak ramai juga. Anda mungkin akan dipandang-pandang jika berani melakukannya di hadapan orang ramai.

buah pear
kredit: baidu.com

Dalam bahasa Mandarin, pear berbunyi 梨 (li), dan mengasingkan atau membahagikan adalah berbunyi 分 (fen). Membahagikan buah pear akan berbunyi 分梨 (fenli), yang mempunyai bunyi yang hampir sama dengan 分离 (fenli) yang bermaksud berpisah mahupun berpecah.

Disebabkan takut berlaku perpecahan ke atas keluarga mahupun sesuatu persahabatan itu, maka mereka tidak gemar untuk memakan buah pear secara berasingan kerana mereka risau ia akan menjadi satu doa buruk kepada mereka.

Klik Sini untuk dapatkan harga pakej travel muslim ke Beijing yang berpatutan, berbaloi dan memudahkan perjalanan anda!

2) Tidak Boleh Memacakkan Chopstick Di Atas Mangkuk Nasi

Anda mungkin akan teruja untuk makan nasi menggunakan chopstick ketika baru sahaja tiba di China, bukan!

Dalam keterujaan itu, jangan sampai bermain-main dengan ia di atas nasi, ya! Perlu anda ingat bahawa, orang China amat tidak gemar jika anda membiarkan chopstick terpacak di atas nasi. Itu adalah perbuatan yang amat tidak sopan dan menyakitkan mata mereka.

Ini adalah kerana perbuatan itu kelihatan seperti sedang memacakkan colok yang dibakar untuk orang mati.

chopstick
kredit: baidu.com

Jadi, jangan jadikan mencucuk chopstick di atas nasi sebagai kebiasaan anda, okay!

3) Tidak Gemar Dengan Nombor 4 Dan 13

Orang China kebanyakannya tidak akan memilih tarikh mahupun nombor yang berkaitan dengan 4 dan juga 13. Semua ini berkait-rapat dengan sebutan bahasa Mandarin kedua-dua nombor ini yang mempunyai bunyi yang hampir sama dengan perkataan yang membawa maksud malang.

4 dalam bahasa Mandarin disebut sebagai 四 “si” yang mempunyai bunyi yang hampir sama dengan 死 “si” yang bermaksud mati.

13 pula dalam bahasa Mandarin disebut sebagai 十三 “shisan” dan ia mempunyai bunyi yang hampir sama dengan 失散 (shisan) yang bermaksud kehilangan.

Jadi, mereka kurang gemar menganjurkan aktiviti pada tarikh-tarikh berikut bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara buruk.

kalender
kredit: baidu.com

Klik Sini untuk dapatkan harga pakej travel muslim ke Beijing yang berpatutan, berbaloi dan memudahkan perjalanan anda!

4) Tidak Boleh Menghadiahkan Jam (钟表), Payung (伞), Kipas Tangan (扇), Cawan (杯子)

Kita suka memberikan hadiah sebagai tanda penghargaan buat orang lain, bukan?

Tapi di China, anda perlu berhati-hati dalam memilih hadiah. Atas faktor seperti yang disebutkan pada awal tadi lagi, ada hadiah yang tidak sesuai anda hadiahkan kepada orang China.

Kita ambil “jam” sebagai contoh. Dalam bahasa Mandarin, ia berbunyi 钟表 yang berbunyi hampir sama dengan 终悲 (zhongbei) yang membawa maksud pengakhiran hayat.

hadiah
kredit: baidu.com

5) Jangan Menulis Nama Orang Menggunakan Pen Merah

Terdapat satu cerita tradisi di China yang menceritakan bahawa, pada zaman dahulu orang ramai yang ditangkap secara kejam oleh pemerintah untuk dimasukkan ke dalam penjara akan ditulis namanya di bahu menggunakan pen berwarna merah.

Jadi, jika ada yang menulis nama menggunakan pen berwarna merah, ia adalah seolah-olah kita mencaci orang tersebut dan mendoakan agar dia dimasukkan ke dalam penjara. Ia sebenarnya adalah sejenis perbuatan mengutuk orang lain.

Selain itu, ada juga yang tidak gemar dengan perbuatan menulis nama menggunakan pen merah kerana ia menyamai dengan warna nama orang mati yang ditulis di atas batu kubur.

Nama yang ditulis dengan pen merah, bukankah seolah-olah anda sedang mengutuk seseorang? Kerana anda menyamakannya dengan orang mati!

pen merah
kredit: baidu.com

 

Diharap agar anda semua lebih berhati-hati setelah membaca beberapa perkara yang kurang digemari oleh masyarakat China ini, ya! Kami juga sarankan untuk anda menggunakan servis Limau Mandarin jika mahu makan angin di China untuk pengalaman yang menarik dan tidak risau untuk sebarang masalah.

Jom, kita pergi makan angin di China!

Klik Sini untuk dapatkan harga pakej travel muslim ke Beijing yang berpatutan, berbaloi dan memudahkan perjalanan anda!

Comments

comments

Ilyana. Menetap di Sungai Petani, Kedah. Merupakan pelajar di Beijing Foreign Studies University dan dijadualkan akan tamat belajar pada sekitar Julai 2018. Suka kepada keadaan ramai orang di sisi, tapi bukanlah seorang yang banyak berkata-kata pun. Sebab itu memilih untuk menulis; kata-kata lebih mudah disampaikan melalui tulisan.