Tahun Baru Cina

Dunia umumnya mengetahui Cheongsam bagi perempuan dan Samfu bagi lelaki adalah pakaian tradisional masyarakat China dan kita juga kebiasaanya melihat pakaian ini dipakai ketika sambutan Tahun Baru Cina. Tetapi tahukah anda sebenarnya Cheongsam dan Samfu ini hanyalah pakaian klasik dan bukannya pakaian tradisi.

Asal-Usul Cheongsam

Cheongsam

Cheongsam atau dalam Bahasa Mandarin disebut 旗袍( qípáo ) ini tidak berasal daripada kebudayaan bangsa Han yang merupakan kaum majoriti di China tetapi ianya merupakan pengadaptasian pakaian orang Manchu iaitu kelompok etnik yang memerintah China dari 1644 hingga 1911.

Siapakah orang Manchu ini? Orang Manchu juga dikenali sebagai 旗人(Qírén) dan mereka ini bukan etnik Cina tetapi berasal dari kawasan Manchuria di bahagian timur laut China dimana kini terletaknya provinsi Heilongjiang,Jilin dan Liaoning.

Ketika mereka menakluk China, mereka ini cuba untuk mengasimilasikan orang cina dengan mengharamkan pakaian tradisi cina yang asli iaitu 汉服( hànfú )atau pakaian orang Han. Bukan itu sahaja kaum lelaki juga dipaksa mencukur rambut depan dan mengikat rambut belakang dalam bentuk tocang mirip orang Manchu.

Timur laut China
Orang Manchuria di timur laut China Kredit:https://en.m.wikipedia.org/wiki/Manchuria

Nota: orang Cina juga dikenali sebagai orang Han. Di China, istilah “Cina Han” (Han Chinese) digunakan untuk membezakan warganegara China etnik Cina dan etnik bukan Cina (seperti Manchu, Mongol, Uyghur, Tibet).

Selepas Dinasti Qing digulingkan oleh revolusioner Cina Han yang dipimpin Sun Yat-Sen pada 1911, orang Cina terus memotong tocang sebagai tanda pembebasan dari pemerintahan Manchu.

Namun gaya rambut dan busana tradisi Han yang asal tidak dikembalikan. Sun Yat-Sen ialah seorang yang berfikiran moden dan berpaksikan Barat, dan trend intelektual ketika itu juga berpaksikan modenisme. Maka, tradisi pakaian Cina Han yang pernah berlangsung selama 2000 tahun tenggelam begitu sahaja.

Begitulah hingga kini sangat jarang kita dapat melihat orang China yang memakai Hanfu. Cheongsam yang kita kenali pada hari ini tidak dipanggil Cheongsam tetapi dipanggil Qipao.

Asalnya Cheongsam dan Qipao ini ialah dua benda yang berbeza dimana Qipao mempunyai potongan yang longgar, lebar dan hanya memperlihatkan bahagian kepala dan jari sahaja. Pada zaman dahulu, wanita diwajibkan untuk memakai pakaian ini kemana sahaja dan potongan untuk setiap kolompok usia juga tiada bezanya.

Bersama peredaran masa,Qipao yang asalnya kelihatan sopan dan longgar bagi menyembunyikan susuk tubuh si pemakai akhirnya mengalami perubahan.Versi moden Qipao yang ketat dan singkat pada hari ini dikenali sebagai Cheongsam.

Cheongsam
Cheongsam versi moden

Menurut pensyarah kami, jika mahu lihat kita benar-benar kurus atau tidak, pakailah Cheogsam! Cheongsam yang kita lihat pada hari ini tidak seperti Qipao yang sesuai untuk semua kelompok umur.

Nilai Kesantunan Hanfu

Hanfu

Hanfu mempunyai kesinambungan reka bentuk kelepak yang longgar dan terbuka serta lengan yang panjang dan longgar. Ia berbeza dengan pakaian orang Manchu yang berkolar tertutup, dan berlengan sempit dan ketat. Reka bentuk busana tradisi Korea (Hanbok) dan Jepun (Kimono) juga adalah berdasarkan Hanfu.

Hanfu mengandungi nilai-nilai kesantunan dan keadaban yang tidak dapat dibawa oleh fesyen moden. Sesuatu yang sangat menyedihkan apabila pemuliharaan terhadap tradisi ini tidak dilakukan.

Hanfu

Jika kita melihat kepada sejarah, orang China asalnya mempunyai cara pemakaian yang sangat sopan sama seperti orang Jepun dan Korea tetapi peredaran zaman telah membuatkan nilai-nilai kesopanan ini telah mula hilang terutamanya bagi golongan muda. Menurut orang-orang tua di China, mereka sendiri tidak suka melihat anak-anak muda berpakaian yang tidak sopan kerana bagi mereka budaya mereka tidak seperti itu.

Samfoo

Samfu
Samfu

Samfoo bermaksud ‘baju dan seluar’ dalam dialek kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita selain Cheongsam. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur.Samfoo juga turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi terdapat sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai oleh kaum wanita.

Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di hadapan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar yang longgar. Ia biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera.

Revolusi perubahan qipao yang sopan kepada cheongsam yang kita lihat pada hari ini juga ada persamaannya dengan revolusi pakaian tradisonal orang melayu iaitu baju kurung. Jika dahulu baju kurung yang dipakai labuh,longgar dan tidak menampakkan bentuk badan tetapi baju kurung yang dijual dipasaran hari ini kebanyakannya singkat, ketat dan mengikut bentuk badan.

Ia telah dimodenkan mengikut peredaran zaman tetapi saya tidak melihat ini satu perubahan yang bagus dimana nilai tradisional yang terdapat pada baju tersebut telah hilang dan kita boleh lihat ia dimodenkan seperti ada kainnya yang terbelah hingga ke paras lutut. Baju kurung juga sama seperti pakaian tradisi China Hanfu, mempunyai nilai kesopanan buat si pemakai tetapi pakaian versi moden ini telah menghakis kesemua elemen tersebut.

Kesimpulan yang dapat kita buat ialah tradisi pakaian Cina Han iaitu Hanfu yang pernah berlangsung selama 2000 tahun itu boleh tenggelam begitu sahaja kerana tiada usaha untuk memeliharanya dilakukan.

Sama juga dengan sejarah tradisional negara kita, jika kita sendiri yang tidak peliharanya ianya juga akan lenyap begitu sahaja dan jika kita sendiri yang tidak kenalkan ia pada generasi muda maka ia juga akan lenyap begitu sahaja.

Jangan biarkan budaya tradisi kita ditelan arus permodenan!

Rujukan:

https://www.facebook.com/ayman.rashdan.wong/

Bian Xiangyang, Origin of Qipao Fashion in Early Republic Period (2003)

Zhou Xibao, The History of Ancient Chinese Clothing and Ornaments (1956)

About The Author

Scroll to Top