Budaya Kerja Di China Yang Mengagumkan

Budaya Kerja di China Sangat Hebat

Seperti Jepun, budaya kerja di China juga sama hebatnya.

Apabila bercakap soal negara China, banyak perkara negatif yang bermain di fikiran kita seperti persekitarannya yang kotor dan macam-macam lagi. Kali ini saya ingin bawakan sudut positif rakyat China ketika bekerja dari sudut pandang saya yang sudah menetap di China selama 3 tahun.

Sudut positif yang dimaksudkan adalah budaya kerja di China dalam kalangan orang China. Budaya kerja di China sangat positif dan memberi contoh yang sangat baik buat kami.

Menepati masa

Hal ini memang tidak dapat disangkal lagi,orang China sangat mematuhi masa. Jika kelas akan bermula jam 8 pagi, guru mahupun pensyarah biasanya akan hadir 10 minit awal. Dalam satu semester pengajian sangat sukar sekali untuk melihat mereka lambat walaupun sekali.

Jika kelas akan tamat pada jam 10 pagi, mereka akan serta merta menamatkan pembelajaran tanpa menambah masa walaupun seminit kerana tidak mahu mengganggu jadual guru seterusnya.

Universiti China

Universiti di China menggunakan sistem loceng bagi menandakan permulaan dan pengakhiran sesuatu kelas. Saya pernah melihat situasi seorang guru yang berlari untuk ke kelas kerana loceng telah berbunyi. Pada mereka tidak menepati masa bukanlah etika seorang guru,dan biasanya jika terjadi hal seperti itu mereka akan bersungguh-sungguh meminta maaf pada pelajar.

Bukan sahaja budaya kerja orang China yang mementingkan penjagaan masa malahan sistem pengangkutannya juga menepati masa. Contohnya, kereta api laju bawah tanah di Beijing atau dikenali sebagai Beijing Subway juga menepati masa yang dipaparkan pada skrin.

Subway di Beijing

Subway Beijing

Jadi, untuk sesebuah negara mencapai kemajuan budaya menepati masa ini perlu diterapkan dalam jiwa setiap orang bagi meningkatkan produktiviti kerja yang dilakukan.

Efisien

Urus niaga atas talian seperti membeli- belah membangun dengan sangat pesat di China. Ini telah menjadikan pekerjaan seperti posmen atau penghantar barang menjadi satu pekerjaan yang sangat sibuk di China.

Betapa efisiennya mereka bekerja, barang yang dibeli dalam tempoh tiga atau empat hari atau paling lama dalam tempoh seminggu sudah sampai dihadapan pintu rumah anda. Bukan itu sahaja, mereka juga akan memastikan barang yang dibeli akan sampai tepat pada masanya.

Jika ada sebarang masalah mereka akan terus berhubung dengan pembeli. Sekiranya berlaku sebarang kes kehilangan barang yang dihantar mereka sendiri akan bertanggungjawab.

Online Shopping China

Online shopping china

Jika di Malaysia, pekerjaan penghantar barang bukanlah satu prospek kerjaya yang dipandang tinggi. Di China, pekerjaan ini menjadi salah satu faktor penyumbang kepada berkembangnya industri urus niaga atas talian.

Antara pengalaman yang pernah dilalui, kadang-kadang mereka akan menghantar mesej untuk memberitahu barang akan sampai hari ini. Ada sekali dua mereka kata jika ada sampah yang ingin dibuang didalam rumah boleh tinggalkan diluar pintu.

Kemudian apabila mereka menghantar barang akan tolong buangkan sampah sekali. Belum lagi kes mereka yang sanggup memanjat tangga hingga tingkat 6 untuk menghantar barang.

Gerak kerja mereka yang sangat efisien telah memudahkan urusan semua orang.

Komited

Budaya kerja yang komited memang terserlah dalam kalangan rakyat China terutamanya pensyarah di universiti. Saya banyak beri contoh pensyarah di universiti adalah kerana sebagai pelajar disini, merekalah orang yang kami jumpa setiap hari.

Pensyarah ataupun yang kami lebih selesa menggelar mereka sebagai guru sangat komited terhadap tugas mereka. Setiap bab yang akan diajar sudah disediakan satu perancangan khusus mengikut tahapan dan penerimaan pelajar. PPT yang digunakan juga bukan sikit-sikit, lengkap dan sangat menarik perhatian.

Universiti di China

Ada seorang cikgu yang mengajar di universiti (Beijing Foreign Studies University) saya pernah bertanya tentang kualiti cara pengajaran beliau dan penambahbaikan yang beliau patut lakukan. Pada mereka sesuatu tugas itu harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan serius, tiada istilah sambil lewa.

Apabila tiba musim peperiksaan akhir, ada juga cikgu yang sudah meninggalkan pesanan yang beliau akan tidur hingga lewat malam, jadi pelajar boleh terus berhubung dengan beliau untuk bertanya soalan.

Selain itu, menurut pemerhatian saya juga, pekerja- pekerja di sektor kerajaan juga mempunyai budaya kerja positif ini. Sangat jarang berjumpa dengan pekerja-pekerja di bank contohnya yang bermasam muka dihadapan pelanggan.

Rajin

Yang terakhir ialah rajin, masa baru-baru datang China satu benda yang menghairankan ialah jarang dapat tengok orang muda melepak di pusat beli belah tanpa tujuan. Orang China sangatlah rajin. Kalau datang ke China kita boleh lihat dari orang muda hinggalah orang tua ada sahaja kerja yang dilakukan bagi menjana ekonomi.

Kedai di China

Ketika musim panas, seawal jam 4:30 pagi langit sudah mula cerah, seawal pagi kita boleh lihat orang China dah mula bekerja.

Kerja di China

Mungkin disebakan faktor rakyat mereka yang terlalu ramai, semua orang harus bijak mencari peluang bagi menyara hidup.

Ini antara budaya kerja di China yang ramai tak tahu kan? Kita di Malaysia boleh ambil dan serap budaya kerja yang positif ini di Malaysia.

Leave a Comment

Scroll to Top