Alibaba.com Atau Aliexpress.com, Nak Pilih Yang Mana Satu?

Alibaba.com vs Aliexpress.com

Anda berhasrat untuk memiliki kedai online atau perniagaan import dari China? Disini terdapat beberapa panduan yang boleh anda ikuti.

Bagaimana nak mulakan?

Berdasarkan pengalaman, perbincangan serta hasil kajian di laman web, saya simpulkan beberapa panduan untuk anda ketahui sebelum memulakan perniagaan yang berkaitan dengan pembelian barangan dari China.

Alibaba ke aliexpress
Mana lagi sesuai?

Alibaba.com dan Aliexpress.com amat terkenal dalam kalangan peniaga-peniaga atau otai-otai pemborong barangan import. Kedua-dua platform ini dimiliki sepenuhnya oleh Alibaba Group yang berpusat di Hangzhou, China. Jika dilihat secara kasar, kedua-dua laman web ini tiada perbezaan yang besar.

Namun sebagai seorang yang bakal bergelar sebagai usahawan berjaya, terdapat perbezaan dalam model perniagaan dalam kedua-dua laman web ini yang perlu anda ketahui. Artikel ini akan membantu anda menentukan laman web yang manakah sesuai dengan model perniagaan anda.

Fakta Alibaba.com

Logo Alibaba
Logo Alibaba
  • Sebuah portal B2B (business to business) iaitu menghubungkan pembekal China dengan peniaga antarabangsa.
  • Tiada sistem pembelian atas talian. Setiap rundingan dibincangkan dan ditentukan melalui email dan fungsi chat yang disediakan.
  • Tiada yuran transaksi atau komisen perlu dibayar kepada Alibaba.com. Hal ini kerana sumber pendapatan utama mereka adalah yuran keahlian “Pembekal Emas” yang dibayar oleh para pembekal. Setiap pembekal emas adalah syarikat yang berdaftar secara sah yang disemak oleh Alibaba Group. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu jaminan untuk produk yang berkualiti.
Gold Supplier
Gold Supplier melambangkan tahap kepercayaan
  • Para pembekal pada dasarnya tidak mengiklankan ready stock mereka. Malah menyenaraikan senarai rujukan sebagai panduan kepada pembeli. Ini bermakna mereka akan cuba memenuhi setiap citarasa dan kehendak yang digariskan oleh setiap pembeli.

Fakta Aliexpress

Logo Aliexpress
Logo Aliexpress
  • Sebuah portal yang berdasarkan platform B2B dan B2C(business to customer) yang menghubungkan antara syarikat perdagangan terutamanya dari China dengan pembeli dari luar negara.
  • Lebih tertumpu kepada transaksi produk sedia ada dan pesanan kuantiti yang kecil. Maka amat sesuai kepada pengimport kecil atau kepada mereka yang tidak mengadakan perniagaan dalam skala besar.
aliexpress 2
Laman web Aliexpress

Perbezaan Alibaba and Aliexpress

Minimum Order Quantity (MOQ)

Pembekal perlu meletakkan satu bilangan tertentu untuk mereka dapat menampung kos yang diperlukan dalam penghasilan sesuatu produk. Pembekal bahan-bahan mentah juga mengenakan keperluan MOQ kepada pembekal produk anda. Ini kerana mereka juga perlu menampung kos penghasilan bahan mentah tersebut. Maka, jika anda tidak dapat mencapai kuantiti minima yang telah ditetapkan, pembekal tidak akan melakukan perniagaan dengan anda. Inilah yang dimaksudkan dengan MOQ.

Alibaba: Para pembekal di Alibaba lebih cenderung untuk meletakkan kuantiti minima penghasilan produk (MOQ) dalam kuantiti yang besar. Ini kerana desakan MOQ daripada pembekal bahan mentah dan juga lebih tertumpu kepada proses pengilangan sahaja. Antara contohnya adalah seperti MOQ untuk satu jenis jam tangan adalah sebanyak 300 unit.

Jika anda mahu memesan dua jenis jam tangan yang berbeza, anda perlu memesan sebanyak 300 unit setiap jenis, maka jumlahnya adalah sebanyak 600 unit. Bagi mereka yang menjalankan perniagaan kecil, jumlah tersebut amat besar kerana tidak memerlukan kuantiti yang besar untuk sesuatu produk.

Aliexpress: Kebanyakan pembekal di Aliexpress menawarkan MOQ yang kecil seperti 10 unit dan keatas. Ini kerana mereka terdiri daripada pemborong yang memiliki modal besar. Ini sekaligus menjadikan kuantiti minima untuk setiap produk itu adalah rendah dan mampu dibeli oleh usahawan perniagaan kecil. Namun, tentunya akan memberi kesan kepada nilai harga produk tersebut.

Alibaba Group
Ibu Pejabat Alibaba Group

Harga

Harga bagi sesuatu produk itu ditentukan oleh dua faktor utama : kualiti produk dan juga jumlah kuantiti yang anda beli. Jumlah harga yang ditentukan oleh para pembekal di Alibaba dan Aliexpress amatlah berbeza dan  wajib untuk anda tahu kenapa.

Alibaba: Tiada harga yang ditetapkan untuk setiap produk yang dijual. Anda perlu menghantar spesifikasi produk (warna, dimensi, bahan, keperluan pensijilan, dan lain-lain), cara penghantaran dan kuantiti yang anda mahukan. Seterusnya anda akan diberikan nilai kos harga berdasarkan info yang anda bekalkan.

Sebagai contoh, kos harga untuk sebuah jam tangan boleh mencecah daripada $2 sehingga $200 USD. Namun, harus diingatkan bahawa harga yang ditawarkan adalah selari dengan kualiti sesebuah produk tersebut.

Jika anda membeli dengan kuantiti berdasarkan kuantiti minimum(MOQ) yang ditetapkan oleh pembekal, anda akan mendapat harga pemborong. Yakni jauh lebih murah jika anda membeli dalam 10 ke 20 unit di Aliexpress.com.

Aliexpress: Terdapat senarai produk beserta harga tetap mengikut jumlah kuantiti yang berbeza-beza. Kerana platform ini tidak lebih kepada tawar-menawar. Namun begitu, ia menjadikan harga seunit untuk sesuatu produk itu sedikit lebih tinggi berbanding Alibaba.com.

Kelebihannya adalah anda tidak perlu membeli dalam kuantiti yang terlalu banyak untuk satu transaksi malah boleh membeli dengan satu unit sahaja.

Beli online
Credit

Penjenamaan Produk

Pembinaan satu jenama baru untuk sesuatu produk itu boleh meningkatkan sedikit nilai tarikan dan nilai kualiti produk tersebut. Apa yang dikatakan berjenama adalah mempunyai logo, warna tema tertentu atau juga rekabentuk tersendiri. Kadang-kala sesetengah pembeli mahukan produk jenama mereka sendiri ataupun penjenamaan semula produk yang sedia ada. Tentunya adalah untuk membina empayar perniagaan mereka sendiri.

Alibaba: Kebanyakan pembekal disini mempunyai servis design dan mencetak logo. Tetapi, untuk membangunkan sesuatu produk yang baru tidak begitu mudah dan memerlukan ilmu pengetahuan mengenai penghasilan produk yang mendalam. Ini termasuklah  spesifikasi bahan mentah, komponen, warna paten, logo dan juga reka bentuk bungkusan.

Aliexpress: Produk-produk disini semuanya adalah produk siap dan sedia untuk dijual kepada pembeli. Ianya amat mustahil untuk menghantar semula beberapa unit kecil ke kilang untuk menukar alih reka bentuk produk atau mencetak logo yang baru. Oleh itu, Aliexpress bukanlah satu pilihan yang tepat jika anda sedang mencari produk yang boleh diolah semula atau menukar jenama kepada jenama produk anda sendiri.

bungkus

Isu Kualiti Dan Risiko

Benar, untuk membeli barangan import daripada China amatlah berisiko. Hampir semua industri mengambil berat kepada isu kualiti dan barangan tiruan yang terkenal di China. Sememangnya isu barangan tiruan dan kualiti tidak memuaskan amat sinonim dengan Negara China sejak dahulu lagi. Tanpa penelitian yang rapi kepada perkara ini boleh membuatkan bisnes anda terus lingkup dan gulung tikar.

Alibaba: Tidak semuanya pembekal di sini sesuai untuk kehendak anda. Lebih-lebih lagi jika anda mahukan pengolahan semula produk serta mempunyai syarat-syarat pensijilan yang perlu anda penuhi. Anda perlu menghabiskan masa yang lebih untuk sesi soal jawab bersama pembekal yang anda hubungi untuk mengetahui kemampuan mereka dalam memenuhi kehendak dan keperluan anda.

Risiko untuk masalah isu kualiti akan meningkat jika anda tidak mengetahui secara menyeluruh spesifikasi kualiti produk yang anda mahukan. Dengan kata lain, semakin banyak anda mengenali produk anda, semakin banyak masalah isu kualiti dapat dielakkan.

Aliexpress: Di Aliexpress, ianya terlalu mudah dan anda mendapat seperti mana yang telah ditawarkan. Tidak kurang seperti laman web pembelian atas talian yang ada di dalam Malaysia. Namun, kelebihannya adalah terdapat ruangan maklum balas pembeli di setiap ruangan kedai yang ada di dalam Aliexpress.

Jadi, pastikan anda mengkaji dan melihat terlebih dahulu maklum balas pembeli bagi sesuatu produk tersebut untuk mendapat gambaran kasar kekurangan dan kelebihan mereka.

kasi libas

Tempoh Masa

Masa adalah wang! Ungkapan ini semakin terasa apabila anda mengimport barangan dari China. Di bawah ini saya sediakan beberapa fasa masa untuk anda fahami sebelum membeli barangan dari China :

  1. Pesanan
  2. Penghasilan produk
  3. Penghantaran produk

Alibaba: Ia boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk anda mengenal pasti pembekal yang sah, serta untuk mengesahkan spesifikasi produk berdasarkan sample yang diterima. Secara kebiasaan, tempoh masa untuk pesanan anda diproses dan diambil tindakan memerlukan anggaran selama 15 hari serta mampu mencecah selama 6 bulan! Semakin besar kuantiti pesanan anda, semakin kompleks dan panjang tempoh masa diperlukan.

Tempoh masa untuk penghasilan produk kebiasaannya adalah selama 30 hari sejurus selepas pembayaran telah dibuat oleh anda.

Bagi tempoh masa penghantaran bergantung pada jenis penghantaran yang anda pilih, samaada melalui udara ataupun laut. Servis penghantaran melalui udara akan mengambil tempoh  masa dalam 5-7 hari. Manakala servis penghantaran melalui laut pula mengambil masa hampir 4 minggu. Namun, memandangkan anda sedang mencari kilang untuk penghasilan produk dalam kuantiti besar, pastinya servis penghantaran menerusi laut amat berbaloi dan sesuai untuk anda.

Aliexpress: Memandangkan kesemua produk di Aliexpress adalah produk siap dan sedia untuk penghantaran, maka tempoh masa untuk penyediaan dan proses penghasilan produk boleh diabaikan. Bagi servis penghantaran, pastinya servis penghantaran melalui udara lebih berbaloi dari segi masa kerana di Aliexpress tentunya anda tidak membeli dalam kuantiti yang besar.

Namun, pastikan anda melihat kesesuaian barangan yang anda beli terlebih dahulu berdasarkan berat barangan tersebut. Jika sesuai, pastinya servis melalui udara lebih menguntungkan dan sesuai untuk anda. Sedikit info untuk anda, Aliexpress dinamakan bukan secara kebetulan; “ekspres”. Eh!

courier laut

Kesimpulan

Perbezaan ali

LimauMandarin mencadangkan Alibaba.com jika…

  • Anda mampu membeli dalam kuantiti yang besar untuk sesuatu jenis produk
  • Dan mahu produk yang boleh diolah mengikut kehendak anda
  • Serta mahukan produk yang boleh diletakkan logo jenama atau bungkusan anda sendiri
  • Anda sedang cuba mengimport produk yang mempunyai spesifikasi tertentu untuk anda penuhi

LimauMandarin mencadangkan Aliexpress.com jika…

  • Anda hanya membeli dalam kuantiti 10 – 100 unit untuk satu jenis produk
  • Anda tidak mahukan mengolah semula logo, reka bentuk  dan jenama produk tersebut
  • Tiada sebarang spesifikasi tertentu yang perlu anda penuhi untuk sesuatu produk tersebut
  • Anda mahukan produk tersebut dalam masa yang singkat

Jadi, mana satukah yang sesuai dengan anda, Alibaba.com atau Aliexpress.com?

Nota Editor : Artikel ini ditulis hanya untuk tujuan maklumat sahaja dan penulis tidak memihak kepada mana-mana syarikat atau pembekal yang disebut dalam artikel ini. Artikel ini mewakili pandangan penulis dan tidak disokong oleh mana-mana pihak

1 Komen

TINGGALKAN KOMEN

Sila Tulis Komen Anda!
Masukkan Nama Di Sini