Perginya Seorang Sultan Abdul Halim Yang Disayangi
Suasana di Negeri Kedah pastinya bertukar sedih dan pilu pada hari ini. Sultan yang paling disayangi oleh rakyat Almarhum Sultan Abdul Halim telah pulang menghadap ilahi.
Media sosial kini dipenuhi dengan status ucapan takziah susulan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit, kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Segala jasa yang ditaburkan oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah selama 58 tahun menjadi Sultan Kedah sungguh tidak ternilai.
Kenangan Almarhum Sultan Abdul Halim Di Beijing
Kemangkatannya pada 11 September 2017 turut terasa kepada kami pelajar Malaysia di Beijing. Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pernah beberapa kali berangkat ke Beijing untuk mengadakan lawatan Negara.
Lawatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong adalah untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China yang terjalin lebih 700 tahun lalu dan secara diplomatik terjalin selama 40 tahun.
Ketika lawatan Almarhum ke Beijing, Baginda juga sempat berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam dan beramah mesra bersama rakyat Malaysia di sini. Walaupun sibuk, Baginda masih ingat akan rakyatnya di Beijing, China.
Almarhum Sultan sangat baik hati dan merendah diri terhadap rakyat. Kata-kata yang penuh sopan ini membuatkan Almarhum amat disegani oleh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Negeri Kedah.
“Almarhum Sultan memang seorang Sultan yang berjiwa rakyat. Walaupun majlis dihadiri oleh ratusan rakyatnya, Almarhum Sultan tetap berdiri tegak berdiri melayani dan bersalaman dengan semua rakyat yg hadir.” Idzhar Baharin.
Ucapan Dan Harapan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Antara intipati ucapan Almarhum adalah mengharapkan Malaysia menjadi salah satu imej yang baik pada masyarakat dunia di Beijing khususnya.
Sememangnya kami sebagai duta kecil Malaysia ke China amat mengharapkan kata-kata seperti ini daripada pimpinan tertinggi negara. Harapan dan impian Almarhum Sultan Kedah yang berjiwa rakyat ini akan kami ingat untuk membawa perubahan yang lebih baik kepada Malaysia.
Pada tanggal 11 September 2017, perginya seorang Sultan Kedah yang tiada ganti. Berita yang kami terima pada hari Isnin, amat memilukan hati kami rakyat Malaysia. Semoga Allah menempatkan roh Tuanku dalam kalangan orang beriman. Al- Fatihah.
Gambar dari Muhammad Idzhar bin Baharin
Baca sejarah tembok besar Negara China di sini