8 Tempat Percuma Boleh Anda Lawati Di Beijing

Home » 8 Tempat Percuma Boleh Anda Lawati Di Beijing

Apabila melancong di Beijing, anda perlu membuat perancangan perjalanan dengan teliti. Ini adalah untuk memastikan percutian anda berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Antara faktor yang perlu diambil kira adalah masa atau musim yang anda akan datang ke Beijing. Telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat China khususnya Beijing di mana mereka gemar ke tempat-tempat pelancongan atau rekreasi terutama pada waktu cuti umum mahupun cuti di hujung minggu.

forbidden city
suasana di hadapan Forbidden City

Mereka akan meluangkan masa bersama ahli keluarga setelah penat bekerja mencari duit. Antara cuti-cuti umum bagi negara China ialah seperti Cuti Spring Festival, Hari Kebangsaan China pada 1 Oktober dan lain-lain lagi. Tidak lupa pada hari-hari hujung minggu (Sabtu dan Ahad), kebiasaannya tempat-tempat pelancongan akan dipenuhi dengan ramai orang.

great wall
suasana di Great Wall

Oleh itu, bagi mengelakkan diri daripada bertembung dengan ribuan rakyat China, anda tidak digalakkan ke tempat-tempat seperti Great Wall, Forbidden City dan tempat-tempat lain yang mana anda perlu untuk beratur panjang membeli tiket.

Jika anda bercuti di Beijing pada waktu-waktu seperti tersebut, jangan khuatir kerana dalam artikel ini, saya senaraikan beberapa tempat menarik yang boleh dilawati. Tempat-tempat ini boleh dilawati dengan percuma tanpa memerlukan anda beratur panjang untuk membeli tiket. Anda juga boleh menjimatkan bajet ketika melancong ke sesuatu tempat.

Jadi saya ingin berkongsi 8 tempat yang boleh dilawati di Beijing tanpa memerlukan bayaran tiket masuk.

Shichahai (什刹海Shichāhǎi)

Terletak di bahagian Utara kota lama Beijing, Shichahai melambangkan kota lama Beijing. Di sini terdapat banyak cafe dan bar. Keindahan tasik yang terbentang luas juga amat menenangkan jiwa.

Pada musim sejuk, tasik ini akan beku dan anda boleh berjalan diatasnya. Anda juga boleh berjalan di lorong-lorong jalan (hutong) sambil melihat ciri-ciri seni binaan China.

shenchahai
Senja di Shichahai
shichahai
suasana musim sejuk di Shichahai

Alamat : No. 23 Yangfang Hutong, Xicheng District

Pengangkutan : Ambil bas No. 13, 42, 107, 111, 118, 701, 810, 823, 850 ke arah Beihai Beimen Station.

shichahai

Sanlitun (三里屯Sānlǐtún)

Terletak di daerah Chaoyang, tempat ini diberi nama Sanlitun kerana ianya terletak 3km dari pusat Beijing. Ianya adalah salah satu syurga membeli-belah di Beijing. Terdapat banyak butik yang menjual barang-barang berjenama di situ. Harga barangnya juga agak mahal.

sanlitun

Alamat : No. 6 Jia Gongtibeilu, Chaoyang District.

Pengangkutan : Ambil bas No. 113, 118, 701 ke arah Sanlitun Station.

sanlitun

Tiananmen Square (天安门广场Tiān’ānmén guǎngchǎng)

Terletak di pusat bandar Beijing, Tiananmen Square adalah salah satu daripada dataran yang terbesar di dunia yang boleh memuatkan seramai 1,000,000 dalam sesuatu masa. Keluasannya jauh lebih besar dan luas daripada Dataran Merdeka.

Lokasinya terlekat di antara Qianmen Street dengan Forbidden City.

tiananmen
tiananmen

Alamat : West Chang’an Avenue, Dongcheng District.

Pengangkutan : Ambil bas No. 1, 4, 5, 8, 10, 20, 22, 37, 52, 728 ke arah Tiananmen East Station atau ambil subway line 1 ke Tiananmen East Station.

Wangfujing Street (王府井大街Wángfǔ jǐng dàjiē)

Wangfujing Street merupakan di antara pusat perniagaan yang terkenal di Beijing. Terdapat juga makanan ringan atau kudapan dan makanan tradisional Beijing yang dijual di sepanjang jalan di Wangfujing. Bagi pelancong Muslim, jangan khuatir kerana disini juga terdapat makanan halal. Anda hanya perlu mencari kedai yang mempunyai tanda (清真Qīngzhēn) . Papan tanda ini bermaksud halal.

wangfujin

Anda juga boleh membeli cenderahati di sini. Tetapi dinasihatkan agar anda berhati-hati supaya tidak ditipu. Anda perlu mahir tawar menawar dengan peniaga jika mahu membeli barang di sini.

Alamat : Wangfujing Street, Dongcheng District.

Pengangkutan : Ambil subway line 1 ke arah Wangfujing Station (keluar pintu A).

Qianmen Street (前门大街Qiánmén dàjiē)

Qianmen Street merupakan tempat perniagaan tradisonal dan bersejarah di Beijing. Terdapat banyak kedai di sepanjang kiri dan kanan jalan di situ. Kini di Qianmen Street terdapat Madame Tussauds yang merupakan muzium lilin patung-patung artis dan orang terkenal di dunia. Namun anda perlu membeli tiket jika mahu masuk ke situ.

qianmen

Anda boleh berjalan kaki sepanjang jalan di Qianmen Street. Selain itu, anda juga boleh menaiki The Dangdang Che (Tram).

Alamat : No. 16 Qianmen Street, Dongcheng District.

Pengangkutan : Ambil subway line 2 ke arah Qianmen Station atau ambil bas No. 2, 5, 8, 9, 17, 20, 22, 23, 44, 48, 59, 66, 67, 69, 71 ke arah Qianmen Street.

Olympic Forest Park (奥林匹克森林公园Àolínpǐkè sēnlín gōngyuán)

Olympic Forest Park kini merupakan tempat untuk orang ramai membuat aktiviti riadah seperti bersenam atau tempat bersiar-siar.

Alamat : No. 15 Beicheng Donglu, Chaoyang District.

Pengangkutan : Ambil subway line 8 ke arah pintu selatan Forest Park Station (keluar pintu B).

Zizhuyuan Park (紫竹院公园Zǐzhú yuàn gōngyuán)

Sebagai tempat pemandangan tradisional yang indah di Beijing, Zizhuyuan Park terkenal dengan pemandangan pokok buluh. Ianya direka berdasarkan taman-taman di selatan China yang memberi tumpuan kepada landskap air.

Zizhuyuan Park

Alamat : No. 35 Zhongguancun Nandajie, Haidian District.

Pengangkutan : Ambil bas No. 334, 347, 360, 482, 特5 ke arah Zizhuyuan Park.

The 798 Art Zone

The 798 Art Zone dinamakan sempena sebuah kilang yang dibina pada 1950-an. Kini The 798 Art Zone terkenal dengan pameran seni yang unik. Di sini terdapat banyak galeri memaparkan seni yang sangat menarik.

798

Setiap galeri juga menjual banyak cenderamata yang pasti membuatkan anda terasa mahu membelinya. Di sini juga terdapat muzium 3D. Tetapi anda perlu membeli tiket untuk masuk ke muzium berkenaan.

798

Alamat    : No.4 Jiuxianqiao Road, Chaoyang District

Pengangkutan : Ambil bas No. 403, 593, 851 atau 854 ke arah Dashanzi Lukou Dong Station.

(subway) – naik subway line 14 dan turun di Wangjing Nan Station. Kemudian keluar pintu B1 dan ambil bas No. 403 ke arah Dashanzi Lukou Dong Station. Jalan kaki 20 minit hingga ke destinasi.

Kesimpulannya, saya cadangkan anda memilih untuk ke mana-mana tempat seperti yang dinyatakan di atas jika anda berada di Beijing pada waktu cuti umum. Pada hari berikutnya barulah anda ke tempat-tempat popular seperti Great Wall dan sebagainya.

Scroll to Top