9 Perkara Wajib Tahu Sebelum Datang China!

Home » 9 Perkara Wajib Tahu Sebelum Datang China!

Datang China dan alami pengalaman menakjubkan melawat negara tembok besar ini.

Sejak mula membuka pintunya pada dunia, negara tembok besar ini mengalami pertumbuhan pesat yang membawa kepada banyak perubahan besar pada negara.

Olympic Bird Nest

Negara yang kaya dengan tinggalan sejarah ini, semakin lama semakin menjadi pilihan pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Maka tidak hairan lah jika kebanyakan pusat pelancongan utama seperti Tembok Besar China misalnya sentiasa dibanjiri dengan pelancong dari luar.

Dan tidak sedikit juga yang datang China semasa musim sejuk.

Booking hotel di China

Anda boleh menempah hotel secara online dimana-mana laman sesawang yang dipercayai seperti Booking.com, Ctrip dan banyak lagi. Cuma satu perkara yang anda harus tahu ialah laman web ini tidak mengemaskini maklumat hotel di China secara berkala. Ada situasi dimana hotel yang telah ditempah telah ditutup atau alamat yang diberi salah kerana telah berpindah ke kawasan lain.

booking online hotel

Jadi, seeloknya jika anda ingin menempah hotel ketika datang China pastikan anda menelefon hotel tersebut terlebih dahulu untuk memastikan kewujudan hotel tersebut.

Selain daripada itu, dapatkan juga alamat hotel dalam tulisan Cina dan bukannya pinyin kerana kebanyakan pemandu teksi atau orang cina tidak boleh membaca pinyin.

Dan tips yang terakhir, pastikan hotel yang ditempah ‘free cancellation’ supaya jika berlaku apa-apa perubahan pada jadual perjalanan anda tempahan boleh dibatalkan tanpa bayaran.

Berhadapan dengan pencemaran udara yang dasyat!

jerebu di China

Anda sangat beruntung jika dapat melihat langit biru ketika datang China! Rata-rata penduduk di China termasuk kami pelajar Malaysia disini akan berasa sangat seronok apabila dapat melihat kepulan awan serta langit biru. Pada waktu ini laman-laman sosial yang popular di China seperti Weibo, Wechat akan dipenuhi dengan gambar-gambar keindahan langit dan tiada siapa yang akan lepaskan peluang ini untuk keluar bersiar-siar!

Bandar besar seperti Beijing dan Hong Kong sering diselaputi kabus jerebu dengan jarak penglihatan yang sangat terhad dan ia sememangnya membahayakan kesihatan.Jadi, jangan lupa untuk pakai mask .

Walaupun telah banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan namun masalah pencemaran udara ini masih berada di tahap kritikal.

Jangan pernah lupa bawa tisu tandas

tandas di china

Kebanyakan tandas di China tidak menyediakan tisu tandas. Jadi, bawalah tisu ke mana saja anda pergi.

Bagi orang Malaysia, anda pasti akan mengalami sedikit kesukaran kerana tandas di China tidak mempunyai air. Oleh sebab itu,jangan lupa untuk bawa bersama wet tissue kerana itu sahaja pilihan yang anda ada!

Sampai awal ke Lapangan Terbang

Anda dinasihatkan untuk sampai lebih kurang tiga jam awal ke lapangan terbang untuk penerbangan antarabangsa dan dua jam awal bagi penerbangan domestik.

Lapangan terbang China biasanya penuh sesak dengan manusia, jadi anda sememangnya perlukan masa tambahan!

Selain daripada itu, anda juga perlukan masa tambahan kerana pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang China agak rumit dan detail.

Anda perlukan masa untuk mengemas semula semua barang-barang yang dikeluarkan ketika pemeriksaan keselamatan seperti komputer riba, telefon bimbit, power bank dan lain-lain lagi.

china airport

Ketika anda tiba di China atau mahu keluar dari China, anda terlebih dahulu harus mengisi borang maklumat penerbangan anda, jadi sekali lagi anda harus meluangkan sedikit masa untuk mengisi maklumat kerana kadang-kala terdapat ramai orang juga sedang beratur untuk mengisi borang.

Jangan lupa muat turun VPN

Seteguh tembok besar China yang melindungi negara ini dari ancaman dari luar ,seteguh itu juga kerajaan China berusaha untuk melindungi maklumat-maklumat negaranya dari pengetahuan pihak luar.

Di China, laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan banyak lagi disekat aksesnya.

Disebabkan banyak laman sosial dan web yang disekat penggunaannya, China telah mewujudkan laman sosial dan web mereka sendiri seperti baidu bagi menggantikan google, youku bagi mengganyikan youtube, weibo bagi menggantikan twitter dan banyak lagi.

vpn

Jadi, jangan lupa untuk memuat turun aplikasi Virtual Private Network( VPN) bagi membolehkan anda mengakses semua laman sosial yang disekat.

Untuk maklumat lanjut tentang VPN boleh baca disini : https://limaumandarin.com/cara-mudah-dan-percuma-online-facebook-di-china/

Wang Tunai lebih digalakkan dari kad kredit

Walaupun terdapat banyak perniagaan terutamanya rantaian hotel besar dan restoran kini menerima Visa dan Mastercard, skim kad yang paling banyak diterima adalah Union Pay. Tetapi untuk membeli-belah saya lebih sarankan anda untuk menggunakan wang tunai sahaja.

Salah satu sebabnya ialah bagi mengelakkan anda ditipu, peniaga di China sangat licik, kemungkinan untuk harga yang dicas berlainan dengan harga yang sepatutnya anda bayar adalah besar. Belum lagi cerita bila ia melibatkan pertukaran mata wang asing, anda perlu lebih berhati-hati.

China hanya terima satu mata wang

duit China

Mata wang rasmi China adalah yuan, atau dikenali sebagai RMB atau sering juga disebut ‘kuai’ secara santai.

Not duit boleh didapati dengan 1RMB, 10RMB, 20RMB, 50RMB dan 100RMB. Terdapat juga 1RMB syiling serta pecahan yang lebih kecil dikenali sebagai ‘Mao’ merujuk kepada sen.

Peniaga di China tidak menerima mata wang lain selain RMB termasuklah dolar AS mahupun dolar Hong Kong.

Bagi mereka yang ingin datang China saya cadangkan untuk terlebih dahulu menukar wang di Malaysia kerana syarikat pengurup wang sangat jarang ditemui. Jika di Beijing, sangat sukar untuk anda menukar mata wang asing dan pilihan mata wang yang ada juga sangat terhad.

Untuk memudahkan urusan, kira anggaran perbelanjaan anda dan terus tukar wang anda di Malaysia sebelum datang China.

Salah satu tindakan kerajaan China dalam mengawal ekonomi China ialah dengan mengawal aliran keluar masuk wang termasuk mata wang asing. Oleh sebab itu, di China kebanyakannya hanya akan ke bank untuk menukar wang.

Setiap tahun juga bagi mengekalkan kestabilan ekonomi, kerajaan China akan pastikan bilangan US Dollar yang masuk kedalam negara lebih banyak berbanding jumlah US Dollar yang keluar.

Catat semua maklumat penting dalam tulisan hanzi

Satu perkara yang wajib anda tahu ialah 80% orang China tidak boleh berbahasa Inggeris. Jika anda mencatat maklumat hotel mahupun tempat yang ingin dituju pastikan anda mencatat bersama tulisan Hanzi. Ia kerana kebanyakan orang China juga tidak boleh memaca tulisan pinyin.

contoh hanzi dan pinyin
contoh hanzi dan pinyin

Apabila anda ada menyimpan maklumat dalam tulisan Hanzi, maka anda tidak perlu risau. Asalkan maklumatnya betul anda pasti akan sampai ke destinasi yang ingin dituju!

Sebagai tambahan, anda juga boleh mencatat beberapa ayat penting dalam Bahasa Mandarin bagi memudahkan urusan anda ketika berada China.

Muat Turun Aplikasi Wechat

wechat

Wechat atau di China disebut 微信(Wēixìn) adalah aplikasi mesej utama di China. Ia digunakan oleh semua orang termasuklah ahli-ahli perniagaan yang sering datang China atas urusan perniagaan.

Jika anda sampai di Beijing Capital Airport, WIFI percuma di lapangan terbang hanya boleh diakses menggunakan nombor yang didaftarkan dengan sim kad China sahaja atau akses melalui Wechat.

Semoga sedikit tips ini bermanfaat buat anda yang merancang untuk datang China!

Scroll to Top