Negara Impian?

Jika berbicara tentang negara impian untuk tinggal atau menyambung pelajaran, negara China tidak pernah terlintas dalam fikiran saya. Sekali pun tidak pernah.

Namun, 4 tahun berada di Tanah Besar China, kini saya mula menyedari betapa saya mula jatuh cinta dengan Republik Rakyat China. Di sini, saya kongsikan kepada anda mengapa saya jatuh cinta dengan negara ini.

fakta menarik negara China

 

#1 Sejarah 5000 Tahun

Kota Larangan. Kredit: www.baidu.com

Menyusuri arus kegemilangan ibu kota ini pada zaman dahulu membuatkan saya terpegun dengan khazanah sejarahnya. Walaupun China sudah tidak mempunyai maharaja, namun warisan berdaulat ini tetap dipelihara untuk tatapan generasi seterusnya.

Sejarah mempunyai nilai yang sangat besar bagi sesebuah negara. Bagi negara China yang mempunyai sejarah lebih 5000 tahun, ia merupakan sebuah kebanggaan bagi rakyat negara ini sendiri.

Tamadun Cina purba yang merupakan antara tamadun terawal di dunia. Ia telah berkembang dengan makmur di lembangan subur Sungai Kuning yang mengalir merentasi Dataran China Utara. Telah banyak sumbangan yang dilakukan oleh peradaban bangsa ini sejak zaman dahulu. Antaranya, sumbangan dari perubatan tradisional cina, penciptaan kertas, kompas, belerang dan banyak lagi.

Dalam tempoh masa 5000 tahun, negara ini telah mempunyai 24 dinasti. Antaranya Dinasti Han, Dinasti Tang, Dinasti Song, Dinasti Yuan, Dinasti Ming, dan Dinasti Qing. Dinasti pertamanya ialah Xia, tetapi pada zaman dinasti Qin barulah negara China yang bersatu iaitu pada tahun 221 SM. Dinasti terakhir ialah Dinasti Qing yang berakhir pada tahun 1911 dengan penubuhan Republik China.

Setiap dinasti mempunyai kestimewaan yang tersendiri dari segi budaya, kelahiran tokoh terkenal, dan sumbangan mereka terhadap peradaban Cina. Sejarah sememangnya perlu dipentaskan dengan nilainya yang tersendiri. Mengenali sejarah ialah mengenali diri sendiri.

#2 Landskap Bumi yang Pelbagai

 

Ming Sha Shan: Padang pasir di Dun Huang, China.

China adalah antara negara yang sangat besar. Maka, tidak hairanlah jika China mempunyai pelbagai jenis bentuk muka bumi yang berbeza. Landskapnya dipelbagaikan dari tanah hutan steppe dan gurun (Gobi dan Taklamakan) di bahagian utara yang kering bersebelahan dengan Mongolia dan Siberia di Rusia, hingga ke hutan-hutan subtropika di bahagian yang lembap bersebelahan dengan negara-negara Vietnam, Laos dan Myanmar.

Rupa bumi di bahagian baratnya tinggi dan berceranggah, dengan banjaran-banjaran Himalaya dan Tian Shan yang membentuk sempadan semula jadi China dengan India dan Asia Tengah.

Bentuk muka bumi Danxia di Zhangye

Antara yang menarik untuk saya kongsikan dengan anda ialah kewujudan bentuk muka bumi Danxia di Zhangye. Bentuk muka bumi Danxia ini merujuk kepada pelbagai landskap ditemui di tenggara, barat daya dan barat laut China. Ia adalah sejenis petrografik yang unik dan hanya boleh ditemui di China. Bentuk muka bumi Danxia terbentuk daripada batu pasir berwarna merah dan konglomerat. Kawasan ini akan menghasilkan warna yang berbeza-beza bergantung kepada keadaan cuaca dan cahaya matahari.

#3 Pengangkutan Yang Murah dan Selesa

Kemudahan bas yang sangat banyak di Beijing menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam. Kredit: www.baidu.com

Sistem pengangkutan dan pembandaran di Beijing juga sangat terancang dan teratur. Oleh itu, sangat mudah untuk meneroka kota lama yang berwajah moden ini. Pengangkutan awam di sini adalah murah dan selesa.

Untuk memudahkan perjalanan, kita boleh membeli kad pengangkutan awam yang boleh digunakan untuk menaiki subway dan bas. Pengumuman dilakukan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris sebelum bas tiba di setiap hentian.

Kad pengangkutan awam. Kredit: www.baidu.com

Untuk pengetahuan anda, laluan pertama subway di Beijing mula dibuka pada tahun 1969. Laluan 1 merupakan laluan subway tertua di Beijing. Tiket subway boleh dibeli di kaunter atau menggunakan mesin tiket yang disediakan.

Sebelum menaiki subway, semua beg penumpang perlu diperiksa. Ia adalah bagi memastikan tiada penumpang yang membawa barang yang berbahaya ke dalam tren. Air minuman juga diperiksa bagi mengesahkan bahawa air tersebut selamat dan tidak mengandungi asid atau apa-apa jenis virus atau senjata biologi.

Harga tiket subway berbeza mengikut jarak destinasi. Dulu, harga subway ialah 2 yuan seorang untuk ke mana-mana destinasi selagi penumpang tidak keluar dari rangkaian subway berkenaan.

Kenderaan di China menggunakan pemanduan di sebelah kiri. Kredit: www.baidu.com

Semasa menaiki bas, semua orang dikehendaki beratur mengikut barisan dan nombor bas. Sistem ini sangat memudahkan orang ramai. Kenderaan di China menggunakan pemanduan di sebelah kiri dan bukan di sebelah kanan seperti di Malaysia dan negara-negara Komanwel yang lain. Kebanyakkan bas di sini menggunakan tabung dan juga mempunyai konduktor bas.

#4 Niujie: Perkampungan Muslim      

Sambutan Hari Raya Aidil Adha di Masjid Niujie

Bagi anda yang datang  ke Beijing, anda wajib ke daerah Xuanwu untuk melawat masjid yang terkenal di Beijing iaitu Masjid Niujie. Hal ini kerana, Niujie merupakan penempatan orang Muslim terbesar di Beijing. Kebanyakkan orang Muslim bermaustatin di sini. Kedai dan restoran halal juga banyak terdapat di sini.

Masjid Niujie merupakan masjid tertua di Beijing. Masjid ini dibina pada tahun 996 dan dibesarkan pada tahun 1622. Ruang solat masjid ini mampu menampung seribu jemaah dalam satu masa.

Seni bina yang cantik.

Gaya seni bina dan reka bentuk masjid ini juga merupakan gabungan seni bina istana China dengan bangunan Arab. Struktur kayu masjid pula mempunyai hiasan bercorak Arab. Masjid Niujie juga mempunyai ruang solat lelaki dan perempuan yang terpisah. Bangunan solat lelaki di hadapan dan bangunan solat perempuan di bahagian belakang.

Terdapat juga Menara Pemerhati Bulan atau Moon Observation Tower yang dibina pada tahun 1662. Lampu di atas menara ini akan dipasang sepanjang bulan Ramadhan bagi menghormati bulan tersebut dan dipadam pada 1 Syawal.

Akmal, salah seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Beijing membawa Ustaz Hussin melawat masjid Niujie.

Setiap kali mengunjungi Masjid Niujie, ia mengingatkan saya bahawa Islam sampai ke China dengan adanya mereka yang menyedari tujuan kehidupan mereka. Ia menyedarkan saya betapa akan sentiasa ada golongan yang berusaha menyebarkan rahmat Islam ke seluruh pelusuk dunia dengan mengajarkan Islam kepada orang ramai sebagai cara hidup.

#5 Gedung Ilmu Yang Tercinta

Peluang belajar di China adalah sesuatu yang amat saya syukuri. Di sini, saya berpeluang mengenali dengan lebih dekat mengenai budaya bangsa Cina dan dapat berinteraksi secara langsung dengan mereka.

Hari Graduasi pelajar Malaysia di Beijing Foreign Studies University

Antara perkara yang menyentuh hati saya ialah layanan yang sangat baik oleh guru di universiti dan sikap pihak universiti yang begitu prihatin menjaga kebajikan pelajar Malaysia di sini. Kami disediakan sebuah kelas untuk menunaikan solat dan tandas yang dilengkapi dengan kemudahan paip untuk beristinjak. Walaupun berbeza budaya dan agama, namun hasil hubungan baik antara pensyarah dan pelajar, mereka cuba memahami cara hidup pelajar Malaysia sebagai Muslim.

Selain itu, di Beijing Foreign Studies University, terdapat juga fakulti Bahasa Melayu. BFSU ialah universiti pertama di China yang telah menawarkan kursus bahasa Melayu. Kini, kewujudan kursus Bahasa Melayu di universiti-universiti di seluruh China dipelopori oleh graduan lepasan Beijing Foreign Studies University sebagai yang bertugas sebagai tenaga pengajar

Fakulti Bahasa Melayu di BFSU telah bekerjasama dengan Universiti Malaya dalam program pertukaran pelajar. Setiap tahun, pelajar China akan berkunjung ke Malaysia untuk mempelajari bahasa Malaysia dan mengenali budaya Malaysia dengan lebih mendalam selama satu semester.

Puan Roziah. pensyarah Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu BFSU bersama Azim dan Hasmin yang membantu pelajar China mengenali budaya Malaysia.

Pusat pengajian Melayu China di BFSU telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keenam iaitu YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada September 2005.

Pada tahun 1959, Beijing Russian Institute telah ditukar menjadi Beijing Foreign Language Institute. Kemudian pada 1994, namanya telah ditukar menjadi Beijing Foreign Studies University. Sejak itu, BFSU menjadi tempat bagi para pelajar antarabangsa belajar pelbagai jenis bahasa. Sehingga tahun 2016, terdapat 86 jenis bahasa yang diajar di BFSU.

BFSU begitu istimewa di hati saya kerana di sinilah saya mula menghargai nilai pendidikan yang tidak hanya terhad kepada pendidikan formal tetapi juga pendidikan tidak formal yang banyak disampaikan oleh mereka yang hadir dalam hidup saya sebagai ibu-bapa, guru, mahupun rakan.

#6 Bahasa Mandarin: Antara Cabaran dan Hadiah Berharga

Bahasa Cina unik kerana sejarahnya yang sangat panjang. Ia bermula sejak zaman Cina kuno lagi dengan sistem piktograf. Bahasa Mandarin adalah antara bahasa yang tersenarai dalam kategori bahasa yang susah untuk dipelajari. Kajian membuktikan bahawa penutur bahasa Mandarin menggunakan kedua-dua belah bahgian otak, kiri dan kanan sekaligus! Menarik kan?

Mempelajari bahasa Mandarin susah, tapi tidaklah mustahil.

Bagi saya yang mula belajar bahasa Mandarin pada umur 18 tahun, saya mengakui kenyataan ini, namun mempelajari bahasa Mandarin ini tidaklah mustahil. Asalkan kita konsisten dan bersungguh-sungguh dalam mempalajari bahasa ini, kita pasti dapat menguasai bahasa ini dengan baik.

Dengan kelebihan bertutur bahasa Mandarin membuatkan saya lebih mengenali budaya dan kehidupan bangsa Cina khususnya di China. Mempelajari bahasa Cina membuatkan saya mula mengenali rakan baru yang mempunyai kebolehan bertutur bahasa Cina tidak kira dari negara China, Malaysia dan negara lain seperti Jepun, Rusia, Amerika, Ukrain dan Belarus.

Bersama Yi Xuan dan Yippee ketika persembahan Tarian Singa di Beijing University of Chinese Medicine.

Yang menarik lagi, rakan berbangsa Cina dari Malaysia saya yang pertama saya kenal ialah ketika di Beijing, bukan di Malaysia. Hal ini adalah disebabkan latar belakang keluarga dan pendidikan yang membuatkan saya sangat jarang berinteraksi dengan rakan berbangsa Cina. Bergaul dan mengenali kehidupan mereka membuatkan saya bersikap lebih terbuka dalam meraikan perbezaan antara bangsa terutamanya di Malaysia.

#7 Makanan

8 jenis makanan yang terbahagi mengikut provinsi di China

Makanan ialah identiti kepada sesuatu budaya dan bangsa. Setiap tempat mempunyai cara pemakanan yang berbeza. Secara umumnya, kebiasaan cara makan orang Cina di bahagian utara China berbeza dengan cara makan orang Cina di bahagian Selatan Cina.

Makanan ruji orang Cina di bahagian utara ialah mee, manakala makanan ruji orang Cina di selatan ialah nasi. Selain itu, makanan juga boleh dibahagikan mengikut provinsi. Terdapat 8 jenis makanan yang boleh kita bahagikan mengikut provinsi di China.

Jika anda sudah sampai di China, jangan lupa merasai keenakan pelbagai jenis makanan Cina yang sangat unik dan lazat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, China telah mengajarkan saya tentang pelbagai sisi kehidupan. Dari sejarah, budaya sehinggalah peluang berinteraksi secara langsung dengan penduduk China, semuanya telah memberi perspektif baharu kepada saya tentang negara China yang dahulu tidak pernah tersenarai dalam negara impian saya untuk menyambung pelajaran.

Kehidupan, adakalanya memang begitu. Apa yang tidak kita sangka, itulah yang mendatangi kita. Namun, itulah yang nanti menjadi kenangan yang begitu berharga kerana telah mengajarkan  kita begitu banyak hal, terutamanya tentang makna kehidupan.

Comments

comments

Mula terinspirasi untuk belajar di Eropah sejak membelek ruang Salam Perantauan di bungkusan nasi lemak. Tak sangka, bumi Tembok Besar China jadi takdir yang terikat. Perkenalkan, Shaa Ismail, pengasas Buku Jalanan Beijing yang bercita-cita besar melahirkan masyarakat berjiwa besar. Manusia yang laparkan sejarah dan dahagakan kembara. Membaca untuk memahami kehidupan, menulis untuk meraikan perasaan.